RASUKAN gaya hidup konsumerisme melampau dalam masyarakat terutama elit korporat dan politik tidak boleh diperemeh atau diperkecilkan. Gaya hidup begini boleh menjeratkan dan membawa pada pencabulan amanah. Seterusnya ditambah dengan matlamat hidup yang hanya diukur pada kebendaan.
Konsumerisme antara tonggak sistem kapitalis di seluruh dunia terutama Barat. Ia sangat berpengaruh dan menjadikan pengguna sebagai alat menggerakkan dan menjana ekonomi. Gaya hidup ini menjadikan barangan sebagai status diri melampaui keperluan.
Kerana itu, bukan suatu yang luar biasa kalau elit politik atau korporat yang mempunyai hampir sedozen kereta mewah, berdozen jam tangan mewah yang nilai satunya sama dengan sebuah semi-D di Damansara dan lain-lain lagi termasuk kediaman bagaikan istana.
Kebendaan begini boleh menjadikan sesetengah individu tidak mampu mengelak daripada diperangkap konsumerisme. Perlumbaan dalam kebendaan tidak ada garis penamat. Maka selama itulah yang terasuk kebendaan mahu mengatasi daripada yang lain.
Hal ini tidak menjadi masalah kepada yang berkemampuan. Tetapi yang kurang mampu ditambah dengan nilai pekerti yang nipis. Dengan kuasa yang ada, banyak ruang boleh digunakan bagi kepentingan peribadi. Semua ini bukan luar biasa kerana media banyak melaporkan kes-kes yang serupa ini.
Amanah selalunya lari ikut tingkap apabila kebendaan berada di muka pintu kecuali mereka yang memegang teguh pada prinsip amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Melindungi amanah itu daripada dicabul oleh desakan kebendaan pula adalah luar biasa cabarannya.
Sejuta ringgit malah beratus juta ringgit bukanlah nilai yang besar kepada individu yang ditawan hidup bermatlamat kebendaan. Maka dengan desakan kebendaan untuk melunaskan rasukan konsumerisme, amanah berada dalam nombor yang akhir.
Konsumerisme sebenarnya bukan kecil. Dalam buku Das Kapital, Karl Marx mengingatkan bahawa masyarakat kapitalis moden telah diasuh supaya percaya pada barangan sebagai status sosialnya. Barangan dalam konteks kapitalis moden bukan sahaja kegunaannya, tetapi lambang kedudukan dalam sosial.
Hal yang disentuh oleh Karl Marx itu adalah konsumerisme dalam kehidupan masa kini. Ini adalah perkakas penting dalam kehidupan kapitalis moden yang mengukur semua perkara dengan keuntungan. Masyarakat secara tanpa sedar sudah menjadi alat mencapai matlamat – menjana ekonomi dalam sistem kapitalisme.
Keadaan yang berlaku dalam masyarakat moden hari ini sangat selari dengan pemikiran Karl Marx dalam Das Kapital. Semua lapis atau tahap sosial mempunyai penanda status mereka. Mereka yang dalam kelas rendah mempunyai barangan yang membawa maksud tertinggi dalam kelasnya. Begitu juga kelompok menengah.
ELIT KORPORAT
Bagaimanapun, paling dibimbangi adalah golongan elit korporat atau politik yang besar kuasanya. Mereka memburu lambang-lambang kebendaan tertentu yang menunjukkan kelas sosialnya. Lambang-lambang ini berkait dengan gaya hidup yang ultra mewah hingga seolah-olah tidak boleh diterima akal.
Media tempatan dan luar negara juga sudah banyak melaporkan mengenai pencabulan amanah atau penyalahgunaan kuasa. Malah banyak berlaku skandal kewangan melibatkan elit korporat hilang susila kerana tarikan kebendaan dan konsumerisme. Hal ini berlaku kerana besarnya kuasa di tangan mereka.
Bagaimanapun, mencabul amanah bukan lagi suatu yang luar biasa. Lepas satu, muncul kes baharu yang lebih kurang sama – menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. Bagaimanapun, dalam dalam lingkaran hidup yang bermatlamat kebendaan, pelanggaran amanah sudah dianggap satu normal baharu.
Masyarakat pula seolah-olah tidak merasa ancaman yang luar biasa akibat keruntuhan nilai moral dan pekerti individu yang berkuasa. Misalnya, ada yang diberi kuasa, menerima ‘duit kopi’ bernilai dua atau tiga juta ringgit kerana ‘pertolongan’ dianggap bukan suatu yang besar.
Disebabkan berlaku perubahan nilai dalam masyarakat, perbuatan rasuah tidak lagi memberikan tekanan kepada pelaku. Mereka yang didakwa atau sudah menerima hukuman tidak rasa terhukum oleh sosial, malah semakin dominan di tengah masyarakat.
Malah menjadi lebih berpengaruh kalau berjaya mencipta naratif yang membawa maksud niat menghalalkan cara. Niatnya baik (seperti Robin Hood) untuk membantu masyarakat, cuma caranya yang tidak betul. Ahli masyarakat yang pendek akalnya tentu segera percaya. Bagaimanapun dalam konteks amanah, tidak ada perkara yang baik mesti dilakukan dengan cara yang tidak baik.
Disebabkan perubahan nilai dalam masyarakat juga, pelanggaran atau pencabulan amanah dilakukan dengan sewenang-wenang. Pelakunya terlepas daripada pandangan serong masyarakat walaupun ada kalanya tidak terlepas daripada undang-undang.
Normalisasi pencabulan amanah terutama dalam kalangan elit korporat dan politik memberi kesan yang buruk dalam jangka panjang. Ini menghalang usaha memperkasakan sistem yang mempunyai hubungan dengan kepentingan masyarakat.
Masyarakat marhaen yang kais pagi, tetapi tidak cukup pun untuk makan pagi tentu hairan dengan perlumbaan mengejar kebendaan golongan elit ini yang tidak pernah cukup. Sanggup pula mencabul amanah untuk kepentingan peribadi. Maka tertanya-tanyalah golongn marhean: “Adilkah hidup kepada kami yang setiap hari mencakar dan mengais, tetapi masih kelaparan?”
Hidup sebenarnya adil kepada semua manusia. Walaupun golongan marhaen terpaksa terus bekerja dengan upah yang kecil, lelah kerana tidak cukup rehat dan berasak dalam kediaman yang sempit tetapi mereka menikmati hidup yang sejahtera. Mereka tidak terbeban dengan perkara-perkara yang belum selesai.
Berbanding mereka yang harta begunung banyaknya tetapi kalau bertahun-tahun terpaksa berulang-alik ke mahkamah, itu bukanlah keindahan hidup namanya. Ketika itu kebendaan dan konsumerisme sudah tidak ada makna. – UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.










