KUASA agama yang memang mampu membawa integrasi sosial selaku asas penubuhan negara dan pembentukan negara bangsa kita hendaklah digembleng bukan sahaja secara positif tetapi sepenuhnya untuk membolehkan rakyat yang berlainan kaum dan agama memahami keadaan istimewa di Malaysia dari segi kerohanian. Ini dapat dilakukan berdasarkan nilai, kepercayaan dan norma yang diajar setiap agama.
Sesungguhnya pegangan setiap kelompok penganut ini, baik Kristianiti, Buddhisme, Hinduisme, Sikhisme, Taoisme dan Bahai yang dipimpin Islam selaku agama negara boleh dijadikan asas kepada tujuan bersama rakyat dalam menjalani kehidupan harmoni. Ia antaranya meliputi soal hidup dan juga mati di bumi tercinta ini, kewujudan masyarakat majmuk itu sendiri selain segala macam lain yang rohaniah sifatnya.
Tujuan bersama inilah yang perlu dijadikan bukan sahaja pengimbang untuk menyetarakan pelbagai pengaruh bersifat persengketaan dengan beraneka perasaan tidak rasional. Tetapi lebih penting lagi ialah ia boleh menjadi penghubung bagi mendekatkan kita semua yang berlainan kaum dan agama.
Untuk ini, pemahaman tentang budaya khususnya unsur utama di dalamnya, iaitu sejarah, agama, nilai, organisasi sosial dan bahasa bukan sahaja harus diketahui tetapi juga dihayati. Dengan ini, sejarah setiap kaum dari susuk budaya dan warisan hendaklah diajar.
Begitu juga agama setiap kaum sebagai cara hidup serta nilainya selaku panduan kehidupan yang baik. Seterusnya organisasi sosial berkaitan sistem sosial yang sebetulnya membantu sesuatu kaum menjalani kehidupan sosialnya wajib juga diketahui.
Tidak ketinggalan ialah bahasa sesuatu kaum khususnya dalam konteks budaya yang berkaitan dengan budi bahasa. Kesemua ini serta lain-lain penting diketahui kerana ia dapat membentuk pandangan dunia setiap kaum.
Pandangan hidup atau worldview inilah sebenarnya menjadi pemahaman tentang kehidupan dimiliki untuk dijalani yang dipamerkan sesuatu kaum itu. Sehubungan ini, agama diketahui memberi manusia yang menganutinya panduan tentang garis hidup selain pandangan dunia ini hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Dengan ini, kepentingan agama perlu dijelaskan dalam kurikulum dan sukatan mata pelajaran Pengetahuan Antara Budaya khasnya atau pada mana-mana mata pelajaran secara amnya. Ini amat diperlukan untuk dimanfaatkan kepentingan agama dalam memupuk dan mengekalkan solidariti, iaitu kesetiakawanan rakyat, keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.
Dalam hal ini, tujuh tradisi keagamaan, iaitu Kristianiti, Buddhisme, Hinduisme, Sikhisme, Taoisme dan Bahai dengan petunjuk Islam dipilih untuk diteliti dalam kurikulum dan sukatan pelajaran itu. Ini kerana ia bukan sahaja sudah lama wujud di dunia dan dianuti di negara ini oleh kelompok yang signifikan bilangannya semenjak sekian lama.
SUCI
Kesemua agama ini juga perlu diketahui oleh rakyat Malaysia sebab kita semua perlu menerima seadanya ataupun setidak-tidaknya bertoleransi dengan kesemuanya dalam kehidupan seharian di negara yang majmuk sifatnya. Oleh itu, satu pemahaman tentang kesemua tradisi ini amat sangat diperlukan.
Ia boleh bermula dengan memperlihat persamaan dan tidak sesekali perbezaan antara tujuh agama ini. Ini penting sekali kerana ia pasti dapat membawa kita semua ke arah persefahaman antara budaya yang amat diperlukan dalam kalangan rakyat.
Persamaan ini antaranya boleh berbentuk maklumat tentang rujukan suci, wibawa, ritual tradisional, pegangan, perlindungan, etika dan sangkala kudus. Pada rujukan suci, ia berkaitan dengan kitab yang mengandungi pelbagai akal budi kudus. Wibawa pula berkenaan pengaruh pada individu dan entiti tertentu dalam setiap agama.
Pegangan pula ialah moraliti yang diwajibkan, perlindungan sebagai jaminan dan etika selaku amalan baik.
Sementara itu, sangkala kudus adalah tarikh dan peristiwa tertentu dalam setiap agama. Selain penekanan kepada persamaan ini, setiap agama perlu diperlihat sebagai satu cara hidup sempurna kepada penganutnya. Ini hendaklah diperlihat melalui beberapa tajuk. Antaranya termasuklah konsep asas yang disampaikan sebagai ajaran penting dan cara beridabah pada setiap agama itu.
Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah semata-mata untuk memupuk dan mengekalkan solidariti antara penganut. Peranan agama ini sebenarnya mempunyai kaitan langsung dengan perbuatan bantu membantu sesama manusia atas asas kita semua tanpa mengira kaum dan anutan agama adalah makhluk Tuhan yang dicipta-Nya untuk sokong menyokong antara satu sama lain.
Dalam konteks kita sebagai Keluarga Malaysia, solidariti ini adalah pemilikan perasaan, pandangan dan tujuan bersama. Berhubung dengan solidariti ini, kolektivisme sebagai ketetapan asas budaya Timur kita hendaklah dipegang pada setiap masa.
Jangan ia sesekali digantikan individualisme dari Barat yang hanya mementingkan orientasi perseorangan atau kelompok tertentu dalam sesuatu persekitaran, baik sosiobudaya, sosioekonomi mahupun sosiopolitik. Sebaliknya kolektivisme yang memberi penekanan kepada matlamat dan kehendak kumpulan terbanyak haruslah dipertahan sebagai kerjasama dan komitmen bukan sahaja dalam memupuk solidariti tetapi sebagai pola budaya kita di Malaysia khasnya dan di Timur amnya. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










