Nampaknya, cadangan memperkenalkan subsidi haji bersasar mendapat respons positif beberapa mufti dan juga ahli akademik. Sifir mudahnya, Lembaga Tabung Haji (TH) boleh menjimatkan kos subsidi haji sehingga lebih RM350 juta setahun jika mengambil langkah memperkenal mekanisme tersebut.
Buat masa ini, kos menunaikan haji di Malaysia kekal RM9,980 seorang. Kos itu kekal sejak 2001 meskipun jumlah sebenar ditetapkan kerajaan Arab Saudi adalah RM23,000. Tahun ini, ia dijangka meningkat kepada lebih RM30,000.
Kenaikan itu secara dasar disebabkan cukai nilai tambah (VAT) Arab Saudi naik daripada lima peratus kepada 15 peratus bagi tahun 2022.
Selain itu, beberapa perkara berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 turut menyumbang kepada peningkatan kos haji.
Sebenarnya, TH pada masa ini sudah pun membuka peluang kepada mana-mana jemaah haji yang tidak mahu mengambil subsidi kos haji, cuma tidak ramai yang menyahut peluang itu.
Untuk itu, yang perlu diperhebatkan adalah usaha mendidik dan mempromosi agar lebih difahami oleh umat Islam tentang mekanisme subsidi bersasar ini. Salah satu aspek penting tentunya bab istito’ah atau berkemampuan.
Memanglah orang yang nak menunaikan haji itu mampu, cuma ia perlu diberikan ukuran. Tujuannya, agar golongan B40 terus mendapat subsidi penuh manakala M40 dan T20 dapat peratusan tertentu atau tiada langsung subsidi.
Mengerjakan haji bukan sahaja melengkapkan rukun Islam kelima tetapi ia memerlukan pengorbanan wang ringgit, masa dan tenaga.
Sebab itu, ia diletakkan pada kedudukan kelima iaitu selepas setiap Muslim sempurna melaksanakan ibadat fardu yang lain.
Isunya bukan tentang subsidi bagi B40. Sebaliknya bagi M40 dan lebih adil untuk dikaji semula adalah bagi kumpulan T20. Dalam hal ini, kita merujuk kepada isu keadilan.
Ia juga sebagaimana kita memberikan hadiah songkok kepada anak lelaki dan kain tudung kepada anak perempuan.
Walaupun adil yang biasa difahami masyarakat adalah saksama, adalah suatu yang pelik dan tidak adil bagi seorang bapa memberi songkok sebagai hadiah kepada anak perempuannya.
Adil mengikut istilah syariat Islam adalah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.
Jika mekanisme subsidi bersasar haji ini dilaksanakan, akan terserlah lagi keadilan dalam Islam. Malah ia juga dilihat lebih menepati konsep taawun atau bantu-membantu dalam perkara kebajikan terutama sesama muslim.
Bayangkan, betapa bersyukur dan bernilainya subsidi ini bagi golongan yang berpendapatan rendah. Orang yang bekerja membanting tulang empat kerat seperti pesawah, penoreh getah dan nelayan.
Sering kita terbaca dalam akhbar kisah golongan begini yang menabung berdikit-dikit berpuluh tahun lamanya untuk menunaikan haji.
Golongan berkemampuan terutama dalam kategori berpendapatan RM20,000 ke atas sebulan senarionya pasti berbeza. Barangkali mereka hanya menabung setahun untuk menunaikan haji pada kos semasa.
Setiap jemaah haji muassasah berada di Mekah dan Madinah puratanya 40 ke 42 hari. Kos jika tanpa subsidi katalah RM30,000 tahun ini sudah meliputi semua termasuk tiket penerbangan, penginapan di hotel, pengangkutan dan makan minum.
Orang yang berada dan berkemampuan tidak sepatutnya berasa rugi atau berkurangan harta mereka jika mereka kena bayar penuh iaitu tiada subsidi bagi tunai haji.
Analoginya, jika anda mampu makan angin dua atau tiga minggu di London dan Eropah dengan belanja antara RM20,000 ke RM30,000 seorang, apalah sangat kosnya jika dibandingkan dengan kos haji.
Kefarduan haji adalah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepada-Nya. (ali-Imran: 97)
Adapun berkemampuan itu bermaksud:
1. Mampu mengadakan bekalan dan perbelanjaan untuk diri dan saraan nafkah mereka yang di dalam tanggungan dan yang ditinggalkan.
2. Mampu mendapatkan kenderaan pergi dan balik.
3. Aman perjalanan bagi diri dan harta daripada musuh dan wabak penyakit.
4. Sihat tubuh badan.
5. Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji dan umrah. (al-Idhah fi Manasik al-Haj, 1/96, al-Fiqh al-Manhaji, 2/123)
Bagi yang tidak mampu melakukannya sendiri disebabkan keuzuran atau meninggal dunia tetapi telah cukup semua syarat, hendaklah dia mewakilkan kepada orang lain atau disebut melakukan badal haji.
Untuk mengesan mereka yang layak atau tidak dapat subsidi, antara kaedah yang boleh dilakukan adalah mengumpul maklumat berdasarkan pendaftaran haji masing-masing. Biasanya dalam borang ahli itu sudah ada maklumat tentang pekerjaan dan anggaran kasar pendapatan pemohon.
Ini sudah pasti memudahkan urusan mengesan dan mengkelaskan permohonan bagi subsidi haji bersasar. Bagi yang menjalankan perniagaan sendiri, kejujuran mestilah diutamakan.
Kita semua faham rezeki Allah itu berbeza antara satu dengan lain. Bagi yang dikurniakan limpahan rezeki sepatutnya tidak timbul iri hati atas perasaan dengki jika tidak mendapat subsidi.
Ingatlah peristiwa Qabil dan Habil. Adik-beradik ini mempersembahkan korban mereka. Qabil mempersembahkan gandum dan Habil pula sebagai seorang penternak mempersembahkan kambing.
Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab:
“Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang yang bertakwa.” (al-Maidah: 27)
Kisah ini menginsafkan kita agar sentiasa melakukan yang terbaik dalam ibadat terutama korban. Begitulah juga boleh kita praktikkan dalam bab mengeluarkan belanja untuk haji. Pastikan amal ibadat kita berkualiti.
Mereka yang mampu, sepatutnya bersyukur dan memilih tidak mengambil subsidi. Sebabnya, sedar rezeki itu datangnya daripada Allah dan setiap sen yang dibelanjakan untuk taqarrub kepada-Nya, akan dibalas insya-Allah.
Lebih penting, kita tidak mahu termakan atau terambil hak orang lain untuk menunaikan haji.
Ini ditegaskan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor: “Menerima subsidi Tabung Haji bagi golongan yang berada adalah haram dan termasuk dalam pengertian memakan harta orang secara batil yang dilarang di dalam syariat”. – UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zain ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










