PEMBANGUNAN sesebuah institusi dan universiti mempunyai hubungan rapat dengan peranan dan keberkesanan pelaku utamanya. Faktor penting dalam pembangunan sesebuah universiti adalah peranan yang dimainkan oleh para pensyarah dan profesornya. Malap dan lemah pensyarah dan profesor, secara kasar lemah dan malaplah juga pembangunan sesebuah universiti. Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, hasilnya adalah graduan walaupun ada hasil sampingan lain. Tidak dinafikan universiti juga ada fungsi lain yang ada kaitan dengan penyelidikan dan inovasi. Asas utama adalah menghasilkan graduan bermutu.
Memetik kata-kata Profesor Syed Naguib Al-Attas dalam buku Dr. Zaini Ujang, Mengangkasa Pengajian Tinggi: “….universiti bukan hanya bangunannya, bukan hanya kenyataan zahirnya. Sesungguhnya dalam sejarah universiti mana pun, pengajar atau gurunya dan yang belajar daripada mereka adalah unsur utama kewujudan universiti.
Jadi cemerlang atau tidak universiti itu bergantung kepada ilmu pengetahuan dan pengenalan yang ada pada diri guru-gurunya masing-masing. Sekiranya ilmu yang ada pada guru itu tidak betul-betul matang serta mendalam, maka tentu sahaja taraf universiti itu tidak akan cemerlang.”
Apa yang ingin difokuskan dalam perbincangan ini adalah pensyarah dan profesor universiti kita sekarang. Dari segi kategori, mereka adalah knowledge worker. Ia berbeza dengan industrial worker.
Adakah pentadbir utama universiti benar-benar memahami tentang knowledge worker? Adakah arahan dan peraturan yang dikenakan adalah selaras dengan ciri-ciri sebagai knowledge worker atau pensyarah dan professor itu diletakkan dalam kategori industrial worker?
Saya mengenengahkan persoalan ini kerana daripada pemerhatian, masih ada pengurusan universiti mengenakan peraturan yang dikaitkan dengan industrial worker terhadap para pensyarah dan profesor mereka. Masih ada yang mengenakan peraturan clock in dan clock out.
Paling teruk lagi, ada yang bermegah dengan kata-kata, “datang sebelum jam 8 pagi dan pulang selepas jam 5 petang.” Ungkapan ini bermakna pensyarah dan profesor hanya (seolah-olah) boleh melakukan kerja di universiti dan tidak di tempat lain di luar kampus.
Ini adalah pemahaman yang silap. Jumlah jam kerja begini (seperti lapan jam sehari) dan tempat yang khusus hanya sesuai bagi kategori industrial worker dalam bidang/aspek tertentu. Bagi kerja sebagai pensyarah dan profesor, peraturan begini adalah langsung tidak sesuai.
NIAT
Pensyarah dan profesor universiti (khususnya bidang sains sosial dan kemanusiaan) boleh bekerja di mana-mana yang difikirkan sesuai dan pada bila-bila masa sesuai.
Pensyarah dalam bidang sains tulen, teknologi dan kejuruteraan mungkin sedikit berbeza dalam beberapa aspek.
Pensyarah dan profesor pada hakikat sebenarnya bukan bekerja lapan jam sehari dan lima hari seminggu. Kita dapat katakan pensyarah bekerja 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu, di mana masa dan tempat yang difikirkan sesuai dan dalam kemampuannya.
Apa yang lebih penting adalah niat dan keinginan sebenar seseorang pensyarah dan profesor itu. Pada umumnya yang menjadi pensyarah adalah mereka yang cintakan ilmu (walaupun ada sebilangan kecil tidak bersifat demikian).
Kategori dan sifat kerja pensyarah mesti difahami oleh pentadbir dan pengurusan utama universiti. Pensyarah perlu diberi kebebasan sama ada perlu datang ke kampus atau tidak. Terpulang kepada seseorang pensyarah sama ada mahu datang atau kerja di mana yang difikirkan sesuai.
Apa yang lebih penting adalah tugas utama berjalan dengan baik dan apa yang dihasilkan. Kuliah, tutorial dan bimbingan akademik dengan mahasiswa perlu berjalan dengan sempurna. Kerja-kerja penyelidikan, persidangan dan penerbitan berjalan dengan baik dan sepatutnya. Pensyarah tidak semestinya berada di kampus.
Ahli akademik yang memegang jawatan utama universiti mungkin sedikit berbeza dengan ahli akademik yang tidak memegang jawatan utama pentadbiran. Golongan ini mungkin perlu ke kampus lebih teratur mengikut jadual dan peraturan kerana urusan berkaitan pentadbiran.
Walaupun begitu dengan kemudahan teknologi komunikasi moden dan canggih, ia boleh diuruskan dengan lebih mudah yang tidak menjadi satu kemestian berada di pejabat selama lapan jam sehari, lima hari seminggu. Walaupun memegang jawatan pentadbiran, tugas utama akademik masih perlu diutamakan.
Tugas sebagai pentadbir adalah tugas bersifat rotation. Ahli akademik perlu berada dalam pengurusan universiti bagi menjamin unsur-unsur akademik terpelihara dan mengimbangi kedudukan universiti sebagai sebuah institusi pendidikan. Falsafahnya adalah jabatan pendaftar (diketuai Pendaftar Universiti) tidak dapat memahami semua hal berkaitan akademik sekiranya Naib Canselor (NC) dan tiga orang Timbalan Naib Canselor (TNC) bukan daripada ahli akademik. NC dan tiga TNC bukan jawatan kekal.
Kalau ada NC dan TNC yang terus mahu kekal jawatan pengurusan utama itu, sebenarnya mereka belum benar-benar memahami kedudukan, fungsi dan tugas sebenar dan tugas hakiki mereka sebagai seorang ahli akademik.
Pemahaman yang benar-benar jelas tentang knowledge worker dan industrial worker adalah perlu bagi membentuk suasana kerja yang berkesan dan positif bagi memastikan pembangunan universiti sebagai institusi ilmu tidak terbantut. Aspek ini ada hubungan rapat dengan mutu graduan yang akan dihasilkan. Salah faham dan peraturan yang tidak sesuai akan memberikan kesan negatif kepada mutu graduan dan pembangunan universiti sebagai institusi ilmu secara menyeluruh.
Walaupun tidak begitu jelas dalam aspek fizikal dan dalam jangka pendek, tetapi pembinaan roh sebenar universiti akan cacat. Pembangunan jangka panjang universiti sebagai institusi ilmu akan terbantut.
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.










