“BERI aku 1,000 orang tua, nescaya akan ku cabut semeru dari akarnya. Beri aku 10 pemuda, nescaya akan ku goncangkan dunia.” Itulah petikan kata-kata berapi Presiden Republik Indonesia pertama, Soekarno yang masih relevan dan diulang-ulang sepanjang masa.
Kata-kata mutiara yang membawa maksud generasi muda memacu masa hadapan kegemilangan sesebuah bangsa dan negara ini perlu difahami dan diambil perhatian secara serius, bukan sekadar bait-bait kata yang menyedapkan telinga pendengar.
Kita sentiasa diberitahu, generasi tualah seharusnya mempersiap siagakan generasi masa hadapan yang terdiri daripada anak muda. Namun, pemimpin dan ahli politik tanpa mengira parti yang kebanyakannya dalam kalangan lanjut usia ini seolah-olah belum bersedia atau tiada langsung perancangan ke arah itu.
Masalah yang membelenggu dunia politik kita sejak beberapa tahun kebelakangan sangat merisaukan pemikir dan pejuang sejati. Biarpun di sebalik hati yang kecewa, terselit sekelumit senyuman di bibir tatkala melihat beberapa pemimpin muda yang teguh, bersemangat serta bermatlamat jelas dalam memperjuangkan nasib rakyat di samping menentang segala kebatilan.
Sosok seperti Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Young Syefura Othman, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan P. Prabakaran begitu aktif bersuara demi rakyat.
Akuilah, sekalipun kita dan mereka berbeza pandangan, parti dan matlamat perjuangan, namun saya yakin jauh di lubuk hati kita semua masih mengagumi dan berterima kasih atas segala penat lelah mereka mewakili masyarakat yang sememangnya sudah lali dan tenat dimamah salah laku kuasa.
RETORIK
Saya mengikuti rapat perkembangan pemimpin-pemimpin muda ini. Apa yang saya boleh simpulkan, lagi ramai pemuda-pemudi terjun ke dalam dunia politik, lagi banyaklah lahir figura yang berjuang mengangkat martabat rakyat serta mengembalikan imej negara di peringkat antarabangsa.
Saya tidak bermaksud ingin melecehkan atau merendahkan pemimpin-pemimpin lanjut usia, tetapi inilah hakikat perlu ditelan, iaitu ahli politik generasi lama tidak lagi mampu berfungsi dengan baik terutama pada pascadunia serba moden dengan kepantasan perkembangan teknologi.
Pemimpin lama sudah kekeringan idea, tidak lagi produktif, sukar memahami cita rasa anak muda serta gagal menyelusup masuk ke dalam jiwa mereka. Ya, ini hakikatnya.
Kata orang, generasi lama dan generasi baharu perlu berganding bahu mengubah negara. Pada awalnya saya bersetuju tetapi melihatkan situasi semasa, ia tidak lain sekadar retorik, sebuah impian palsu yang tidak akan tercapai.
Lihat sahaja bagaimana sebahagian pemimpin muda kita dibuli sewaktu berbahas dalam persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Cadangan, pandangan dan seruan mereka tidak dilihat sebagai sesuatu yang serius, kadang-kadang diperlecehkan pula.
Nasihat ikhlas buat pemuda-pemudi yang sedang atau ingin berkecimpung dalam dunia politik, teruskan perjuangan dan jangan takut untuk menyuarakan hak rakyat.
Percayalah, 100 orang yang mentohmah anda, 1,000 yang akan bangkit mempertahankan.
Inilah detiknya untuk anak muda sedar dan peka tentang isu-isu seputar politik. Jangan terus hidup dibuai mimpi dan fantasi. Gunakanlah usia muda anda untuk melakukan pengorbanan demi negara sementara mengaktifkan akal fikiran yang masih segar bugar bagi mewujudkan idea-idea bernas dan sihat demi pembangunan sebuah negara dan bangsa yang hebat dan berkuasa pada masa hadapan.
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.










