Indikator pemikiran politik rakyat

Indikator pemikiran politik rakyat

BAGI masyarakat Tionghoa, tahun ini merupakan Tahun Harimau yang merupakan simbol keberanian dan cabaran. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK akhir-akhir ini, tersiar banyak laporan media cetak dan dalam talian berkaitan pengurusan kerajaan (governance). Golongan rakyat yang terhimpit dengan penularan Covid-19 yang tidak berkesudahan semakin gusar tentang masa depan mereka.

Masyarakat Tionghoa yang baru sahaja menyambut Tahun Baharu Cina juga menyuarakan kegusaran mereka terhadap kemalapan ekonomi negara. Bagi mereka, tahun ini merupakan Tahun Harimau yang merupakan simbol keberanian dan cabaran. Kaum Tionghoa mengharapkan tahun ini akan memberikan semangat bagi menghadapi rintangan dan dugaan malah keuntungan kepada mereka.

Meskipun rakyat beranggapan program vaksinasi kerajaan dengan perbelanjaan RM5 bilion akan melindungi dan membendung penularan pandemik, gejala Covid-19 dilihat kembali menular dengan lebih deras dan cepat. Berlaku peningkatan jumlah kes Covid-19 sehingga melebihi 20,000 sehari, baru-baru ini.

Namun, kita perlu lihat meskipun jumlah kes meningkat tetapi kadar kematian dan kemasukan ke wad unit rawatan rapi (ICU) tidaklah banyak seperti tahun-tahun sebelumnya. Virus baharu, iaitu varian Omicron dilaporkan kian merebak dan menular walaupun hampir 80 peratus penduduk sudah divaksin.

Walaupun kerajaan mendakwa program vaksinasi berjaya mengurangkan masalah bergejala, namun kadar kes Covid-19 yang terus mencanak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat. Perkembangan terbaru ini membuatkan rakyat menyoal keberkesanan tindakan kerajaan dalam mengawal pandemik Covid-19 dalam negara.

Dalam pada itu, pengumuman Menteri Kesihatan baru-baru ini tentang perubahan status vaksinasi seseorang individu sekiranya dos penggalak tidak diambil, menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. Warga emas khususnya menyuarakan kebimbangan kerana mereka akan menghadapi pelbagai sekatan dalam urusan harian di luar rumah. Tidak dapat dinafikan pengumuman polisi yang kurang konsisten ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Selain itu, rata-rata keluhan rakyat kedengaran mengenai kenaikan harga barangan keperluan asas. Masalah kekurangan bahan makanan juga menjadi isu hangat dibincangkan sesama mereka.

Kekurangan bahan makanan harian seperti sayur-sayuran, minyak, telur dan sebagainya dengan kenaikan harga yang tinggi meletakkan rakyat daripada golongan miskin dan sederhana dalam suatu keadaan tidak menentu. Masalah kekurangan bahan makanan keluaran tempatan akibat bencana alam yang berlaku baru-baru ini dikhuatiri akan berterusan sehingga ke suatu masa akan datang.

Rakyat bimbang masalah kekurangan bahan makanan akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat dengan kuasa beli ringgit Malaysia semakin merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Memandangkan Malaysia membuat urus niaga luar negara bersandarkan dolar AS, maka kejatuhan nilai ringgit akan menjejaskan kuasa beli negara yang berkaitan dengan import barangan dari luar negara.

PENGANGGURAN

Kemelesetan nilai ringgit dan kekurangan pekerja asing dalam sektor pembuatan, pertanian dan perkilangan dijangka meningkatkan kos pengeluaran. Peningkatan dalam kos pengimportan barangan bukan sahaja meningkatkan harga barangan, malah akan menjejaskan ekonomi negara.

Sementara itu, masalah pengangguran juga kian dirasai dengan mencecah kadar pengangguran 4.5 peratus. Jumlah ini dijangka meningkat pada tahun hadapan. Pengangguran akan menyukarkan rakyat dalam urusan membeli keperluan harian keluarga.

Sementelah itu, ada segelintir pihak pula masih menimbulkan isu kesahihan kerajaan dan kewibawaan institusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik untuk mewakili kepentingan rakyat kelihatan lebih menjaga periuk nasi mereka sahaja.

Isu lompat parti sudah menjadi satu kebiasaan di Malaysia di mana ada ahli-ahli Parlimen yang mementingkan kelangsungan mereka dalam dunia politik tempatan. Secara tidak langsung, tindakan mereka ini menjejaskan pemerintahan kerajaan dan menggugat kestabilan politik negara.

Malah, indeks rasuah Malaysia pula semakin teruk berbanding negara-negara jiran. Malaysia diletakkan di tangga 57 daripada 180 buah negara. Pada 2019, Malaysia berada pada tangga 51 daripada 180 yang menunjukkan peningkatan enam mata.

Peningkatan kedudukan ke tempat teratas ini jelas menunjukkan berlakunya keparahan kepada imej dan reputasi Malaysia di kaca mata dunia. Kedudukan ini akan mempengaruhi persepsi pelabur asing untuk melabur di negara kita.

Perlu diingatkan, kerajaan yang memerintah negara secara terus menerus lebih 60 tahun sejak merdeka jatuh terjunam disebabkan faktor persepsi rakyat. Persepsi rakyat yang nampaknya terpengaruh dengan propaganda pihak tertentu kononya kepimpinan dan kerajaan ketika itu diselubungi dengan rasuah sehinggakan rakyat hilang keyakinan.

Persepsi negatif terhadap kerajaan menyebabkan mereka tukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Justeru, pihak pemerintah perlu sentiasa peka terhadap persepsi rakyat yang merupakan indikator pola pemikiran politik negara yang boleh menentukan survival sesebuah kerajaan. Apatah lagi kerajaan semasa yang akan menghadapi PRU15 tidak lama lagi. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial dan politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×