Idea siapa MB Johor ni? - Maszlee

Idea siapa MB Johor ni? – Maszlee

MASZLEE MALIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DESAS-DESUS menyebut nama bekas Menteri Pendidikan DR. MASZLEE MALIK bakal menjadi calon menteri besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac depan. Namun, beliau menafikannya.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN, Ahli Parlimen Simpang Renggam, DR. MASZLEE MALIK tenang menjelaskan yang beliau mahu memberi fokus dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa terlalu gopoh berpolitik.

Ikuti temu bual tersebut di Cyberjaya, Selangor, baru-baru ini.

BELUM DIPUTUSKAN SEBAGAI CALON MB JOHOR
Pada mulanya, saya tidak tahu siapa punya idea untuk menaikkan saya sebagai calon menteri besar tetapi nama saya disebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi menerusi Twitter. Dari situ perkara ini mula mendapat tumpuan.

Pada masa sama, bermula usaha-usaha untuk menjatuhkan saya dengan mengaitkan isu-isu yang boleh menjatuhkan reputasi saya. Sayang sekali, ini adalah budaya politik Malaysia yang telah dinormalisasikan.

BUAT YANG TERBAIK DI SIMPANG RENGGAM
Prinsip saya, jalankan tugas sebaik mungkin selepas diberi amanah. Kita perlu berusaha untuk melakukan tugas dengan lebih baik daripada yang selalu diamalkan. Saya komited untuk memberikan yang terbaik terutama berkaitan kebajikan dan pendidikan sehingga ke detik akhir Parlimen dibubarkan.

Sehingga kini belum keluar keputusan parti untuk mana-mana ahli Parlimen bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Sekiranya ada, saya tidak kisah di kawasan mana kerana komitmen saya ada dua.

Pertama, untuk pastikan kedua-dua DUN di bawah Simpang Renggam iaitu Machap dan Layang-layang dimenangi PH. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kedua-dua kerusi dimenangi UMNO.

Kedua, saya akan menggembleng tenaga untuk memenangkan PH di Johor. Jentera parti di kedua-dua DUN kini jauh lebih baik dari ketika PRU14. Pada masa itu, jentera parti hanya bergantung pada apa yang ada dan tidak begitu tersusun. Tapi sekarang, kita dapat bina kekuatan sendiri di peringkat bawah. Ada jentera kita yang pernah menjadi ketua kampung serta ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

LATAR BELAKANG BERBEZA PENDUDUK
Demografi penduduk berbeza-beza. Ada yang celik politik dan sedar dengan tanggungjawab mereka untuk melakukan sesuatu serta berpihak pada parti. Ada juga yang jemu dan letih kerana baru sahaja wabak Covid-19 melanda. Ada yang baru hendak mulakan hidup dengan norma baharu, jadi mereka tertanya-tanya mengapa perlu ada PRN ini?

Kemarahan ini kerana sikap beria-ria Barisan Nasional (BN) yang memilih untuk mengadakan PRN. Rakyat juga keliru kerana mereka sangkakan PRU15.

PKR BERBEZA DI JOHOR
PRN Johor adalah berbeza daripada PRN Melaka dan PRN Sarawak kerana akar umbi PKR di Johor lebih kuat dan membangun. Jentera parti juga lebih baik, namun itu bukan cabaran sebenar. Cabaran sebenar adalah peratusan pengundi yang akan keluar untuk mengundi. Di Melaka, pengundi yang memenangkan PKR sebelum ini adalah mereka yang kerja di luar terutama Selangor.

Di Johor, cabarannya adalah pengundi dari Johor yang bekerja Singapura. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengaturkan sebaik mungkin kemudahan untuk membolehkan pengundi di sana mengundi.

MANIFESTO MASZLEE MALIK
Bersama PH, saya akan perjuangkan pendidikan yang lebih baik untuk rakyat. Bukan sekadar pendidikan tetapi juga jaminan pekerjaan. Saya akan bawa perkara ini dan kita akan memperhebatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melalui kolaborasi erat antara pihak industri dan pengendali pendidikan. Ini adalah solusi untuk masalah pengangguran.

Kita mahu ubah Johor sebagai negeri berpendidikan dengan memperbanyakkan program-program pengabadian ilmu sepanjang hayat dan mencari ruang untuk menyediakan insentif kepada rakyat untuk sambung belajar. Apa yang mereka pelajari itu mempunyai peluang pekerjaan. Kita tidak mahu mereka ini bila habis belajar masih tercari-cari peluang kerja.

Kita akan hidupkan perpustakaan komuniti dan daerah seperti mana di Selangor. Di setiap kawasan dan komuniti ada perpustakaan dan rangkaian ini akan dijaga oleh Perbadanan Perpustakaan Johor. Kita hendak pastikan bukan sekadar menjadi tempat membaca buku tetapi pusat sehenti untuk pendidikan.

PH juga perlu melihat untuk menyegerakan pembinaan rumah mampu milik serta menyelesaikan isu tanah di kampung-kampung serta di pinggir bandar. Apabila kita berada dalam kerajaan, saya terlibat menyelesaikan isu berkaitan pemilikan tanah dalam kalangan orang Melayu.

PKR MASA DEPAN MALAYSIA
Saya memilih PKR kerana saya nampak potensi parti ini untuk mengangkat aspirasi rakyat menuju masyarakat yang sedar, bersih daripada salah guna kuasa. PKR yang merupakan parti pelbagai kaum tidak mengetepikan pegangan ataupun ketetapan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

PKR bekerjasama dengan DAP sejak Barisan Alternatif ditubuhkan, terlalu lama mereka telah bekerjasama. Saya bercakap dengan Presiden PKR dan parti mempunyai jiwa yang besar untuk mengetengahkan semua orang. Mereka menerima Parti Amanah Negara (Amanah) dan ketika ini, mereka terbuka untuk berbincang dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Ini menunjukkan sikap mereka yang sentiasa mengalu-alukan.

Saya juga harus kongsikan impian saya untuk melihat Malaysia yang bersatu tidak kira kerajaan ataupun pembangkang, Malah di Johor juga, saya mahu lihat kematangan politik sedemikian. Mungkin kalau kita menang di Johor, kita boleh tunjukkan bagaimana untuk mentadbir secara profesional. Kita perlukan landskap baharu dalam politik yang tidak dicampurkan dengan kepentingan peribadi serta kebencian.

Kebelakangan ini, banyak situasi atau peristiwa yang berlaku menunjukkan Malaysia semakin ketinggalan. Kita lihat masalah rasuah, kebebasan media serta ketidakstabilan politik. Kita perlu bergerak secara agresif untuk membetulkan keadaan dengan cepat. Kita perlu bergerak ke depan. Kita tidak akan kompromi dengan rasuah dan PH akan mengamalkan sikap yang tegas dalam memerangi rasuah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×