PEMERINTAHAN daripada rakyat oleh rakyat untuk rakyat’ merupakan ungkapan oleh Abraham Lincoln yang lazim dirujuk apabila membincangkan soal demokrasi.
Demokrasi memberikan kuasa kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang mereka sukai yang dilakukan secara majoriti. Idea demokrasi ini bukanlah suatu yang asing di Malaysia memandangkan sistem demokrasi berparlimen yang diwarisi dari era pemerintahan British terus menjadi amalan di negara ini.
Secara idealnya, melalui sistem demokrasi berparlimen, rakyat boleh memilih wakil-wakil untuk membawa suara mereka di Parlimen serta di Dewan Undangan Negeri.
Sistem ini menjadi amalan sejak 1955 apabila pilihan raya umum pertama diadakan dalam negara.
Dengan menerima pakai sistem pilihan raya ini, secara tidak langsung masyarakat juga menerima untuk beralih daripada sistem kerajaan monarki mutlak yang terpakai di Tanah Melayu sebelum ini kepada sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Sehubungan itu, masyarakat telah sepakat dan bersetuju menyatakan demokrasi merupakan wadah yang mereka gunakan untuk memilih, membuang atau mengekalkan pemimpin negara.
Cuma diakui dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia, rakyat tidak mengundi secara langsung Perdana Menteri yang mereka mahukan. Kuasa rakyat terhad kepada memilih wakil pemimpin bagi kawasan mereka dan seterusnya memberikan mandat kepada wakil rakyat yang terpilih untuk bersuara bagi pihak mereka.
Ini berbeza sekali dengan negara jiran kita, Indonesia yang boleh memilih secara terus Presiden mereka melalui Pemilihan Umum Presiden (Pilpres). Sedangkan menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan ahli dewan yang pada hemat Seri Paduka memiliki kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat. Ini tidak menghakis sifat demokrasi itu kerana rakyat memilih wakil mereka dalam Dewan Rakyat yang seterusnya menunjukkan keyakinan kepada mana-mana ahli dewan untuk menjadi Perdana Menteri.
Sehubungan itu, kuasa yang ada pada rakyat perlu dimanfaatkan sewajarnya supaya dapat memastikan pemimpin dilantik dapat melaksanakan mandat yang telah diberikan. Kepentingan melantik wakil-wakil rakyat yang tepat adalah penting kerana mereka merupakan ahli badan legislatif yang akan menggubal undang-undang negara. Nasib dan hala tuju negara bergantung penuh kepada ahli-ahli badan perundangan. Adalah malang sekiranya wakil rakyat yang dilantik tidak mampu untuk menjalankan peranan sebagai ahli dewan dan mempertahankan elemen penting Perlembagaan Persekutuan.
PASAK
Amalan demokrasi juga berkait rapat dengan kelestarian Perlembagaan Persekutuan. Segala tindak-tanduk pemimpin dan rakyat harus memastikan amalan demokrasi ini ditunggangi bagi mempertahankan nilai teras Perlembagaan Persekutuan dan bukanlah sebaliknya. Demokrasi tidak boleh dijadikan wadah untuk mengubah pasak atau identiti negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebagaimana dimaklumi, agama Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan dan diangkat menerusi Perkara 3. Maka mana-mana wakil yang dilantik berteraskan sistem yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seharusnya mempertahankan dan memelihara kedudukan Islam merentasi sempadan politik. Isu dan institusi agama Islam tidak boleh dijadikan subjek sindiran ataupun bahan kempen mana-mana pihak.
Selain itu, dalam memperkukuhkan amalan demokrasi, amatlah penting ditekankan bahawa sebarang polisi atau undang-undang yang hendak dibawa ataupun dicanang tidak boleh sama sekali bercanggah dengan prinsip moral masyarakat Malaysia serta mengetepikan undang-undang syariah. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan itu sendiri adalah dokumen rundingan yang telah mengambil kira roh, semangat dan kesatuan rakyat di Tanah Melayu pada ketika perlembagaan direncanakan.
Terdapat pihak yang menghujahkan bahawa demokrasi memberikan kebebasan tanpa had kepada pihak-pihak untuk menyuarakan apa sahaja isu termasuklah dalam isu yang melibatkan agama Islam. Namun, tanggapan ini tidak benar kerana melalui Perkara 10(2), Parlimen boleh menggubal undang-undang untuk menyekat hak bersuara bagi memelihara ketenteraman awam dan prinsip moral.
Ini menunjukkan sebarang idea songsang yang bukan sahaja bercanggah dengan prinsip agama Islam tetapi juga agama-agama lain, tidak boleh sama sekali dijaja waima atas nama demokrasi. Amat dangkal bagi mereka yang biadab menggunakan alasan demokrasi untuk mengubah struktur dan elemen Perlembagaan Persekutuan kononnya dengan idea yang progresif tetapi sebaliknya akan mengganggu gugat semangat negara ini.
Kerangka perundangan sedia ada telah pun memastikan tampuk pemerintahan negara yang dilantik rakyat haruslah menghormati sistem demokrasi berparlimen. Tindakan ahli politik yang lampau dengan biadab memperkecilkan Keluhuran Perlembagaan dalam menggarap dasar negara, sehinggakan nilai moraliti dan agama luntur daripada pegangan masyarakat haruslah dijadikan sempadan.
Tuntasnya, demokrasi perlu diamalkan dengan penuh hikmah dan tertib.
Merujuk dan mencedok budaya luar yang bercanggah dengan prinsip agama Islam dan prinsip moral untuk disuaimanfaatkan dalam negara bukanlah satu tindakan yang menyokong demokrasi tetapi mengganggu gugat amalan demokrasi.
Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat yang penuh dengan tatasusila dan sejarah yang membentuk ketamadunannya harus terus dipimpin, diacu dan dicanai mengikut resam tempatan. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (Wilayah Persekutuan); Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).










