‘BN perlu menang besar’ - Utusan Malaysia

‘BN perlu menang besar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BERBANDING pertemuan sebelum ini, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad tampak lebih terbuka melontarkan pandangan beliau berhubung perkembangan politik semasa susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, 22 Januari lalu.

Namun, Menteri Besar Johor itu kekal tenang menjawab satu persatu soalan yang dilontarkan termasuk soal calon Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menegaskan Johor ada cara tersendiri menentukan siapa yang layak dipertaruhkan Barisan Nasional (BN) kali ini.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan MUHAMAD AIMY AHMAD serta jurufoto, RAJA JAAFAR ALI dalam pertemuan di Saujana, Kediaman Menteri Besar di Johor Bahru, Ahad lalu, Pengerusi BN Johor itu mengulas berterus-terang isu-isu yang ditanyakan kepadanya.

BAHANG PRN JOHOR

UTUSAN: Banyak parti berminat bertanding di Johor?
HASNI: Lebih ramai lebih meriah. Ini menunjukkan kalau begitu banyak sekali parti yang berhasrat untuk bertanding dalam PRN Johor, mungkin kerana kesan dirasai mereka pada PRN Melaka dan Sarawak tempoh hari.

Macam JDT (Johor Darul Ta’zim) lawan Perak, satu negara akan sokong Perak. Jadi, bila bertanding PRN Johor saya ingat semua parti melihat BN patut dikalahkan atau mereka rasa tak puas hati itu makin meluap-luap bila tak berjaya di Sarawak dan Melaka. Jadi, mereka akan cuba sekali lagi di Johor.

Itu juga gambaran Johor ada satu daya tarikan untuk mereka jadi calon. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka menang dan berkhidmat dengan masyarakat di Johor, cabaran dan peluang yang ada serta mungkin juga kejayaan yang boleh dicapai sebagai wakil rakyat dapat beri lebih kepuasan.

Jadi, sebab itu mereka rasa berbaloi bertanding di Johor. Kalau menang, dapat jadi platform kepada calon-calon ini untuk terus maju ke hadapan.

Mengapa agaknya?
Maksudnya mereka boleh cipta kejayaan berbanding mungkin kalau dia jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri lain. Masing-masing menjangka ‘nilai’ ADUN di Johor mungkin lebih.

Itu tidak pula menafikan kebolehan calon-calon yang bertanding atau yang menang di Melaka dan Sarawak. Tapi di Johor agaknya ramai bertanding kerana sekiranya mereka menang, keadaan, ruang dan peluang sebagai ADUN di sini dapat menjadikan mereka bernilai lebih tinggi sedikit, macam pemain JDT. Itu yang mungkin ramai nak bertanding.

Johor ibu segala PRN?
Bagi parti-parti yang ada kini sama ada dalam kerajaan atau pembangkang, ya mereka akan menjadikan ini kesempatan untuk menguji sokongan kepada parti masing-masing sebelum pilihan raya umum (PRU).

Suka tak suka, tempoh adakan PRU tidaklah begitu lama dari sekarang. Betul (ibu segala PRN), itu mungkin juga, jadi sebab itu banyak parti bertanding supaya mereka dapat buat rumusan sama ada perlu atau tidak bertanding dalam PRU nanti.

BN belum umum calon, mengapa?
Ya, calon penting. Ada yang kata perlu tampil lebih ramai muka baharu. Ada yang cadang kita tampilkan orang muda. Sebagai parti besar, proses meneliti calon-calon ini perlu diberi keutamaan.

Kita tak boleh calonkan seseorang semata-mata kerana dia berjawatan, semata-mata kerana dia dicadangkan, tidak. Tetapi kita perlu lihat kawasan demi untuk letak calon yang sesuai. Tak semestinya orang berkelulusan sahaja layak jadi calon atau orang yang pegang jawatan ketua bahagian mesti jadi calon.

Kita tak hadkan pilihan kepada kriteria itu. Semua orang berpeluang, cuma yang pasti calon bertanding bukan calon MB (menteri besar), atau calon presiden atau calon dikehendaki PM (Perdana Menteri), itu tiada.

Itu bukan jadi kriteria kita langsung tapi sebaliknya Johor ada cara Johor. Kalau nak letak calon mungkin dia sesuai di Bukit Permai tapi tak semesti calon kriteria sama boleh letak di Larkin. Tengok pada keadaan, banyak kriteria atau faktor-faktor yang mempengaruhi penetapan calon.

Terlalu berhati-hatikah pilih calon, kena lihat sejarah lalu?
Saya tak rasa dengan letak sehingga 80 peratus muka baharu sebagai satu jaminan itu pendekatan terbaik. Pengalaman calon penting dan yang selebihnya nilai tambah kepada kekuatan mereka yang akan dipilih.

Pada saya, pengalaman nombor satu, penglibatan mereka dengan khidmat masyarakat sama ada melalui parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pengalaman sebagai pemimpin pelajar itu semua penting.

Kalau dia graduan Universiti Oxford, kerja di firma besar yang menjadikan tiga suku masa berharga dia dengan syarikat sahaja tanpa bercampur masyarakat, saya tak fikir dia calon sesuai mewakili BN walaupun dia tokoh usahawan berjaya. Kita nak calon BN ada pengalaman dengan masyarakat dan sentiasa berdamping dengan mereka.

Bila mahu muktamadkan senarai calon BN?
Kita cuba lebih awal daripada biasa, dulu sehari dua sebelum penamaan tapi kali ini mungkin boleh muktamadkan 22 atau 23 Februari ini menjelang hari penamaan calon, 26 Februari.

Proses mengenal pasti peringkat akhir mungkin boleh dibuat pada 21 atau 22 Februari. Cuma kita perlukan lebih masa untuk buat semakan rekod.

Mungkin ada yang tak puas hati nanti?
Itu boleh jadi penyumbang besar menggugat peluang calon-calon untuk menang sekiranya ada unsur tak puas hati, kecewa atau tak setuju atau membantah walaupun ia perkara biasa. Tetapi saya yakin walaupun tak puas hati macam mana sekalipun, pemimpin UMNO-BN semua peringkat sedar kali ini kita perlu menang besar dalam PRN.

Jadi, perkara yang boleh gugat keadaan, saya yakin dapat diatasi.

Sebagai contoh, ramai ketua bahagian serah kepada pucuk pimpinan tentang calon-calon. Tiada yang jumpa saya untuk nyatakan hasrat mahu jadi calon. Sebaliknya mereka serahkan kepada pimpinan. Saya rasa kalau ada yang tak puas hati, itu taklah membimbangkan dan tak mungkin berlaku pada PRN kali ini.

‘SIAPA KATA GAGAL, INI YANG PATUT BERSATU TAHU’

Johor diuar-uarkan kubu kuat Bersatu?
Memandangkan Presiden Bersatu dari Johor, secara semula jadi Johor diharapkan menjadi homeground atau negeri Bersatu atau juga negeri Perikatan Nasional. Itu saya kira agak wajar kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden, dia asal Johor, pernah jadi MB dan Pengerusi Bersatu Johor.

Malah, untuk menjadikan Johor sebagai kubu mereka adalah perkara yang kita tak boleh nafikan. Kemenangan kerusi-kerusi Bersatu memang sesuatu yang menjadi penanda aras terhadap sokongan di semua peringkat sama ada kalau dia kalah pun sejauh mana kekalahan dia. Atau kalau dia menang, sejauh mana pula penerimaan terhadap mereka.

Tapi Muhyiddin tak pertahan Gambir?
Kalau kita tengok trend PRU-14 ramai yang cuma bertanding satu kerusi sahaja dan yang dua kerusi pula lebih kepada persefahaman antara parti yang bertanding. Itu mungkin strategi Bersatu tak tanding lebih satu kerusi. Maknanya, kalau Tan Sri hanya bertanding Parlimen, dia ada lebihan kerusi yang boleh jadikan rundingan dengan parti lain.

Saya tak anggap beliau takut atau tak berani nak bertanding, tak berani nak diuji. Saya rasa keputusan tak bertanding di Gambir itu hanya sebagai pendekatan untuk beri opsyen tambahan misalnya untuk runding dengan Pas atau Gerakan atau dengan parti lain yang mereka hasrat untuk kerjasama dalam pilihan raya kali ini.

Saya belum dengar lagi calon-calon akan bertanding dua kerusi. Contoh, Dr. Abd. Latiff Ahmad kata tak tanding PRN seperti Tan Sri Muhyiddin, kecuali Dr. Maszlee Malik yang mungkin bertanding (sudah diumumkan).

Wan Saiful Wan Jan dakwa Datuk Seri ‘MB yang gagal’?
Dia lupa 22 bulan pertama lepas PRU14 satu keadaan, kemudian saya ambil alih kita berdepan Covid-19. Bisnes tutup, sekolah tutup dan sekejap-sekejap ada PKPD, PKPP dan PKPB.

Itu tahun pertama dan disambung lagi sampai sekarang dengan sempadan belum buka dan kemasukan pelaburan masih tak berlaku. Tapi walaupun dalam keadaan hasil kerajaan berkurangan 20 peratus, kita masih boleh beri insentif, bantuan, geran kepada peniaga, golongan B40, pelajar-pelajar sehingga kepada keperluan asas keluarga miskin.

Kalau tak kerana kecekapan dalam mengurus kerajaan negeri, tak mungkin perkara itu dapat kita lakukan. Jadi, sebaliknya saya nak tanya apa mereka buat dalam tempoh 22 bulan pertama melainkan sekadar mencari alasan mengapa janji manifesto sukar dipenuhi.

Maka 22 bulan itu orang kata mereka luangkan masa untuk beri justifikasi janji tak dapat dilaksanakan, PTPTN tak dapat hapus dan banyak lagi. Ini kerana mereka tak ada pengalaman yang jadi penyebab utama manifesto silap dirangka.

Apa yang Bersatu tak tahu tentang Datuk Seri?
Untuk bajet tahun pertama saya ambil alih (angkat sumpah jawatan Menteri Besar 28 Februari 2020) kita peruntukkan RM850 juta untuk perbelanjaan kepada rakyat dan RM870 juta lagi tahun berikutnya, tak termasuk rancangan pembangunan pihak berkuasa tempatan.

Dalam keadaan hasil terus berkurang demi untuk kurangkan beban rakyat, premis sewa kita kecualikan, cukai tanah diberi rebat, tangguh bayaran denda dan pengecualian bayaran denda. Itu perkara saya rasa Wan Saiful kena tahu.

Johor ini daripada mulanya hanya ada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sahaja. Hari ini kita ada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dari Mersing sampai Segamat. Kita dilibatkan dalam Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan belum lagi masuk soal Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Bila ada badan-badan berkuasa secara pembangunan wilayah ini, itu bererti kita telah meyakinkan pelabur dan kerajaan Pusat bahawa Johor perlu dilibatkan dalam pembangunan seperti itu kerana potensi yang ada.

Itu langkah yang kerajaan ambil sewaktu saya tadbir Johor. Kalau dia kata saya gagal sebagai menteri besar dalam konteks tak runding dengan mereka untuk adakan PRN saya setuju sebab saya tak fikir Tan Sri (Muhyiddin) nak tekan butang akan runding dengan saya dulu, jadi apa bezanya.

Sekurang-kurangnya saya dapat bertahan hampir setahun dan buat pilihan raya tanpa siapa desak tapi Tan Sri terpaksa lepas jawatan kerana hilang sokongan selepas 17 bulan. Jadi, Presiden dia sendiri dia (Wan Saiful) tak dapat pertahankan macam mana dia nak cerita pasal saya.

‘KLUSTER MAHKAMAH’ CALAR BN?’ 

Kluster mahkamah’ dengan BN menjelang PRN Johor, kenapa?
Saya rasa yang sibuk-sibuk tentang ‘kluster mahkamah’ ini dalam kalangan pimpinan parti-parti, ia berbeza dengan (tanggapan) rakyat yang anggap mahkamah telah ambil langkah sepatutnya. Jadi, walaupun ada anggapan begitu, BN akan terus beri keyakinan kepada sistem kehakiman kita.

Orang yang bertanding mesti layak dari segi undang-undang dan setakat ini saya tidak nampak sesiapa yang akan bertanding dalam kalangan dipanggil ‘kluster mahkamah’ macam Datuk Seri Ahmad Maslan, Tan Sri Shahrir Samad dah umum juga tak bertanding PRN.

Johor gelanggang akhir kayu pengukur Pas?
Saya rasa Pas kalau di Johor khususnya perlu ada formula baharu, bertanding lebih 20 kerusi DUN pada PRU-14 hanya satu menang. Kemudian Parlimen satu pun tak ada yang menang daripada 15 kerusi disertai. Maka, Pas kena ada formula sama ada dia bentuk bersama-sama dengan Bersatu atau mana-mana pihak pun saya rasa Pas tak akan berjaya di mana-mana kerusi UMNO bertanding. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya