Hilang RM40,000, mangsa tipu pelaburan terpaksa kerja tiga pekerjaan

Hilang RM40,000, mangsa tipu pelaburan terpaksa kerja tiga pekerjaan

HISHAMMUDIN Hashim menyerahkan aduan rasmi di hadapan Jabatan Peguam Negara di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Saya terpaksa buat tiga pekerjaan sehari bagi menampung kerugian.”

Demikian luahan seorang pemuda yang ingin dikenali sebagai Faizi, 31, yang mengalami kerugian RM40,000 selepas terpedaya dengan tawaran skim pelaburan mesin layan diri.

Menurutnya, dia menyertai pelaburan tersebut selepas diperkenalkan oleh kenalan ketika menghadiri sebuah ekspo di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).

Katanya, tawaran itu dilihat meyakinkan kerana menjanjikan pemilikan mesin selepas tempoh tertentu selain pulangan keuntungan yang stabil.

“Saya fikir masa itu lebih baik gunakan duit untuk melabur sebab saya tiada komitmen besar, tetapi akhirnya perkara sebaliknya berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hadir di Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menuntut siasatan semula kes penipuan melibatkan skim pelaburan mesin layan diri dan mesin kopi yang menyebabkan kerugian mencecah RM 13 juta.

Faizi berkata, sehingga kini mesin layan diri yang dijanjikan tidak pernah diterima walaupun tempoh perjanjian hampir tamat.

Katanya, dia telah membuat laporan polis pada 24 April tahun lalu, namun sehingga kini masih tiada perkembangan berhubung kes tersebut.

“Saya rasa ini mungkin jalan terakhir untuk kami, tetapi kami harap ia bukan yang terakhir kerana sudah hampir setahun kami menunggu,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila syarikat terlibat didakwa masih belum dikenakan sebarang tindakan undang-undang walaupun pelbagai aduan telah dibuat.

“Kami sudah penat turun naik ke SSM (suruhanjaya Syarikat Malaysia), balai polis dan jabatan komersial, malah ada yang terpaksa mengambil cuti berkali-kali. Ada juga mangsa dalam kalangan pesara yang kehilangan simpanan, manakala saya sendiri terpaksa bekerja tiga pekerjaan untuk menampung kerugian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN