Dua peristiwa penting Pas berlangsung esok - Syahir

Dua peristiwa penting Pas berlangsung esok – Syahir

MOHD. Syahir Che Sulaiman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua peristiwa penting membabitkan Pas dijangka berlangsung esok, termasuk kehadiran Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi merasmikan Konvensyen Reset Malaysia di Kelantan.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, pada hari sama, Pas turut dijangka menerima kemasukan lebih 10 tokoh daripada latar belakang profesional, korporat dan pentadbiran dalam satu ceramah perdana di Negeri Sembilan.

Menurut beliau, Abdul Hadi menerima undangan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk hadir merasmikan Konvensyen Reset di Kelantan.

“Insya-Allah, Sabtu 13 Jun, bakal berlangsung dua peristiwa penting.

“Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima undangan Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan bersetuju untuk hadir merasmikan Konvensyen Reset di Kelantan.

“Ceramah perdana di Negeri Sembilan pula, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan menerima kemasukan lebih 10 tokoh profesional, korporat dan pentadbiran untuk menyertai Pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, konvensyen Reset Malaysia dijadual berlangsung di Tapak Ekspo Kota Harmoni, Tanah Merah, Kelantan pada pukul 12.30 tengah hari, esok.

Program itu dijangka menjadi medan Gerakan Reset yang diasaskan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah mengumumkan hala tuju politiknya selepas ini.

Berdasarkan hebahan di Facebook Reset Malaysia, konvensyen tersebut mengetengahkan mesej pembinaan semula konsensus nasional baharu demi masa depan negara.

Mohd. Syahir berkata, Pas turut memperkukuh gerak kerja akar umbi menerusi mesyuarat agung kawasan yang sedang berlangsung di seluruh negara.

“Pada masa sama, mesyuarat agung Pas kawasan sedang berlangsung di seluruh negara, disertai pertambahan ahli dan cawangan, pembukaan PASTI dan SRITI serta aktiviti kebajikan yang berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN