PETALING JAYA: Semua permohonan baharu kelulusan pengecualian cukai ke atas sumbangan dan derma tunai di bawah Subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 perlu dikemukakan secara mandatori melalui sistem e-Derma, bermula 15 Jun ini.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan, sistem itu diperkenalkan bagi memperkukuh pendigitalan urusan percukaian dan memudahkan permohonan pengecualian cukai dibuat secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat LHDN atau mengemukakan dokumen fizikal.
Katanya, e-Derma boleh diakses oleh institusi atau organisasi (IO) menerusi portal MyTax sejak 20 Ogos 2025 bagi urusan permohonan pengecualian cukai di bawah subseksyen berkenaan.
“Penggunaan sistem ini membolehkan permohonan dibuat secara dalam talian pada bila-bila masa tanpa perlu hadir ke pejabat atau mengemukakan dokumen secara fizikal, sekali gus meningkatkan kecekapan proses semakan dan kelulusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut LHDN, bagi permohonan baharu kelulusan di bawah Subseksyen 44 (6) ACP 1967 oleh tabung atau institusi, organisasi dan tabung (IOT) yang melantik wakil cukai atau ejen cukai, pengemukaan borang manual berserta dokumen sokongan perlu dibuat secara dalam talian.
Katanya, permohonan menerusi e-Derma bagi kategori berkenaan akan diperluaskan pada fasa berikutnya.
Ujarnya, pengguna boleh mengakses perkhidmatan itu menerusi www.hasil.gov.my dengan memilih menu Perkhidmatan, Institusi/Organisasi/Tabung dan Perkhidmatan Atas Talian.
“Pengguna juga boleh merujuk manual pengguna sistem e-Derma di portal MyTax menerusi menu Panduan Pengguna bagi panduan pengisian.
“Pendigitalan urusan cukai ini dijangka meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan LHDN melalui proses semakan dan kelulusan yang lebih pantas, pengurusan dokumen yang lebih teratur serta akses perkhidmatan yang lebih mudah dan fleksibel kepada IOT,” katanya. – UTUSAN










