Pas 'putus' dengan Bersatu kerana cemburu - Ramasamy

Pas ‘putus’ dengan Bersatu kerana cemburu – Ramasamy

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Pas memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa bukan berpunca daripada soal prinsip, sebaliknya kerana cemburu terhadap pengaruh parti itu yang semakin berkembang.

Pengasas Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy berkata, alasan yang diberikan kepimpinan Pas berhubung krisis politik di Perlis dan Negeri Sembilan serta pemecatan beberapa pemimpin Bersatu hanyalah justifikasi bagi menamatkan hubungan dengan parti tersebut.

Beliau berkata, Pas sebenarnya bimbang Bersatu terus berkembang dan akhirnya mengatasi pengaruh politik parti itu dalam blok pembangkang.

“Saya berpendapat bahawa sebab sebenar Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu bukanlah kerana alasan-alasan yang disebutkan, tetapi lebih kerana rasa cemburu.

“Pada asasnya, Pas mahu memastikan bahawa peningkatan populariti Bersatu dapat disekat sebelum ia berkembang lebih jauh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ramasamy, Pas sedar keadaan politik ketika ini berbeza berbanding sebelum pilihan raya negeri dan pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, parti itu kini dilihat cuba menghidupkan semula konsep Muafakat Nasional (MN) bagi menjalin hubungan dengan UMNO serta parti-parti Melayu lain, termasuk pasukan Reset yang diketuai bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Katanya, langkah itu dibuat ketika Pas mahu menjauhkan diri daripada Bersatu dan pada masa sama membuka ruang kepada pembentukan kerjasama politik baharu.

“Pas berfikir dan bertindak berdasarkan andaian bahawa untuk memperoleh kuasa di peringkat nasional, ia perlu menghidupkan semula konsep Muafakat Nasional bagi menjalin semula hubungan dengan UMNO dan parti-parti Melayu lain.

“Pemimpin Pas berpendapat bahawa hanya dengan berbuat demikian mereka dapat mencapai dua objektif serentak, iaitu memutuskan hubungan dengan Bersatu dan pada masa sama bergerak ke arah MN 2.0,” katanya.

Bagaimanapun, Ramasamy berkata, Pas juga mengetahui bahawa usaha menghidupkan semula MN mungkin tidak mudah kerana UMNO mempunyai keyakinan terhadap kekuatannya sendiri.

Beliau berkata, UMNO mungkin tidak melihat keperluan untuk menyertai pengaturan politik baharu bersama Pas, khususnya jika parti itu memilih untuk bergerak bersendirian di Johor dan negeri-negeri lain.

Katanya, meskipun Pas mempunyai sokongan pilihan raya yang kuat, pengaruh parti itu lebih tertumpu di negeri-negeri tertentu di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, Bersatu sebaliknya mempunyai profil yang lebih bersifat nasional dan mampu menarik sokongan daripada orang Melayu serta bukan Melayu.

“Apa pun yang diperkatakan, Muhyiddin, berbanding pemimpin-pemimpin Pas, menikmati penerimaan awam yang jauh lebih luas.

“Terdapat kebimbangan, dan mungkin juga rasa cemburu, dalam kalangan Pas bahawa tanpa memutuskan hubungan dengan Bersatu, parti itu akan terus berkembang dari segi pengaruh dan akhirnya mengatasi Pas dari sudut politik,” katanya.

Ramasamy berkata, Pas mungkin lebih popular dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu, namun parti itu masih sukar diterima ramai pengundi bukan Melayu kerana pendekatannya yang dianggap tidak bertolak ansur.

Beliau berkata, keperluan Pas untuk menerima MN 2.0 hanya dilihat sebagai faktor sampingan, manakala objektif utama parti itu adalah menghalang Bersatu daripada muncul sebagai kuasa dominan dalam blok pembangkang.

Katanya, kemelut politik antara Pas dan Bersatu itu akhirnya memberi kelebihan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pemenang terbesar dalam kemelut politik yang dicetuskan oleh Pas ini tidak lain dan tidak bukan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika gabungan PH memenangi pilihan raya akan datang, maka Anwar mempunyai sebab untuk berterima kasih kepada Pas atas perkembangan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN