PETALING JAYA: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) mengenal pasti antara 10 hingga 20 syarikat bumiputera generasi baharu berpotensi tinggi untuk dibimbing ke arah penyenaraian di Pasaran ACE dan Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Inisiatif itu dilaksanakan selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) bagi memperkukuh penyertaan syarikat bumiputera dalam pasaran modal negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, usaha itu penting bagi merapatkan jurang penyertaan syarikat bumiputera dalam ekosistem pasaran modal.
Menurut beliau, hanya satu syarikat milik majoriti bumiputera direkodkan daripada 97 penyenaraian baharu dalam tempoh tiga tahun lalu.
“Hanya sekitar tujuh peratus syarikat tersenarai di Bursa Malaysia merupakan syarikat bumiputera.
“Angka tersebut menunjukkan keperluan kepada pendekatan yang lebih berstruktur bagi memperkukuh penyertaan syarikat bumiputera dalam ekosistem pasaran modal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Amir, paradigma pembangunan bumiputera kini beralih daripada pemberian bantuan kepada pembinaan nilai perniagaan sebenar.
Beliau berkata, tumpuan kerajaan bukan lagi sekadar membantu syarikat bumiputera bertahan, sebaliknya melahirkan syarikat yang mampu berkembang, menarik pelaburan, menembusi pasaran ASEAN dan mencapai penyenaraian awam.
“Fokus kita adalah untuk melahirkan bumiputera yang mampu berkembang, menarik pelaburan, menembusi pasaran ASEAN dan mencapai penyenaraian awam.
“Inilah maksud sebenar pemerkasaan, bukan perlindungan tetapi persaingan berasaskan merit dengan sokongan ekosistem yang tepat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan melalui Teraju melancarkan empat program baharu pada Februari lalu sebagai platform pemudahcaraan berstruktur untuk mempercepat penskalaan dan meningkatkan daya saing syarikat bumiputera.
Katanya, program tersebut ialah ASCEND, ENHANCE, XCELERATE dan BSAF yang memberi tumpuan kepada pengukuhan asas perniagaan, peningkatan nilai syarikat, kesiapsiagaan ke pasaran serantau serta penyenaraian awam.
Menurut beliau, setiap syarikat tidak lagi diberikan pendekatan generik, sebaliknya akan dinilai mengikut keperluan khusus masing-masing.
“Setiap syarikat tidak lagi diberikan pendekatan generik. Sebaliknya, ia dinilai secara khusus dan disokong melalui intervensi yang sesuai sama ada untuk memperkukuh asas perniagaan, meningkatkan nilai, menarik pelaburan atau mempercepat kesiapsiagaan ke arah IPO,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Teraju turut memeterai Memorandum Kolaborasi bersama Bursa Malaysia pada Februari lalu bagi membimbing syarikat bumiputera berpotensi tinggi memenuhi keperluan penyenaraian awam.
Amir Hamzah berkata, syarikat yang dikenal pasti akan melalui proses pembangunan berstruktur termasuk pengukuhan tadbir urus, pengauditan, penilaian dan kesiapsiagaan penyenaraian.
“Inilah saluran ke arah IPO bumiputera yang sedang kita bina. Matlamat kita jelas, iaitu melahirkan barisan syarikat bumiputera tersenarai yang berkualiti dan berdaya saing, bukan sekadar mencukupkan bilangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi berkata, pencapaian program Teraju pada tahun lalu membuktikan asas pembangunan ekosistem bumiputera semakin kukuh.
Beliau berkata, Dana Kemakmuran Ekonomi Bumiputera (BECF) menyediakan pembiayaan berjumlah RM1.07 bilion yang memperkasa lebih 500 syarikat bumiputera.
Katanya, Dana Modal Kerja Patuh Syariah (i-WCPF) pula menyediakan pembiayaan modal kerja berjumlah RM158 juta yang memanfaatkan lebih 200 syarikat.
“Mandat Teraju jelas iaitu membina ekosistem pembangunan bumiputera yang mampan, inklusif dan berdaya saing. Pencapaian tahun 2025 ini menjadi asas yang kukuh kepada usaha memperkasa penciptaan nilai bumiputera,” katanya. – UTUSAN










