Wan Saiful dakwa Muhyiddin bukan pengasas PN, hanya mahu 'claim credit'

Wan Saiful dakwa Muhyiddin bukan pengasas PN, hanya mahu ‘claim credit’

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pengasas Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tidak tepat dan cuba memesongkan fakta sebenar sejarah penubuhan gabungan itu.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu yang juga Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PN bukan lahir daripada usaha seorang individu semata-mata, sebaliknya dibentuk menerusi penglibatan beberapa pemimpin daripada parti komponen ketika itu.

Katanya, mesyuarat penubuhan gabungan itu pada 29 Julai 2020 turut dihadiri pemimpin daripada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan MIC.

“Mendakwa bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pengasas Perikatan Nasional adalah tahyul yang perlu dihapuskan.

“Ini hanya hujah daripada mereka yang cuba memesongkan fakta sebenar sejarah penubuhan PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata, dakwaan bahawa PN lahir daripada tangan seorang individu sahaja adalah tidak tepat.

Katanya, mesyuarat yang akhirnya membawa kepada penubuhan PN itu dihadiri 12 pemimpin daripada beberapa parti.

“Jelas sekali bahawa yang hadir dalam mesyuarat yang akhirnya melahirkan PN adalah 12 orang yang merangkumi parti Pas, Bersatu, Gerakan dan MIC.

“Nyata bahawa PN bukan lahir dari tangan seorang individu yang sedang cuba didewakan oleh Bersatu sahaja,” katanya.

Dalam masa sama, Wan Saiful turut mendakwa idea asal penubuhan PN serta nama gabungan itu tidak melibatkan Muhyiddin.

Beliau berkata, terdapat tiga individu yang terlibat dalam melahirkan cadangan penubuhan PN, termasuk seorang daripadanya yang menandatangani surat kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu.

Katanya, surat itu menjadi kali pertama idea penubuhan dan nama PN dizahirkan.

“Mungkin ada yang mahu mengatakan bahawa Muhyiddin yang memberi idea penubuhan PN. Sekali lagi, ini pun tahyul.

“Idea asal penubuhan PN, serta asal usul terciptanya nama PN, langsung tidak melibatkan Muhyiddin,” katanya.

Wan Saiful berkata, seorang lagi individu pula menulis surat setebal 38 muka surat kepada Dr. Mahathir bagi mencadangkan penubuhan PN.

Katanya, terdapat dua individu lain yang terbabit dalam mereka cipta logo PN yang digunakan sehingga hari ini.

Beliau mendakwa, Muhyiddin pernah mencadangkan gambar pokok sebagai logo gabungan itu, namun cadangan berkenaan ditolak.

“Selepas itu Muhyiddin ada bagi cadangan gambar pokok untuk jadi logo. Tapi cadangan itu ditolak. Yang diterima ialah cadangan yang diangkat oleh orang kelima dan orang keenam ini,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata, beliau belum mahu mendedahkan nama enam individu yang didakwa terlibat dalam idea asal penubuhan PN kerana belum mendapat kebenaran daripada mereka.

“Saya sengaja tidak mahu sebut nama enam orang ini sebab saya belum minta kebenaran daripada mereka. Saya harap mereka sendiri akan tampil mematikan tahyul yang cuba dibawa oleh Bersatu ini,” katanya.

Wan Saiful berkata, Muhyiddin hanya terlibat kemudian dalam proses tersebut, namun kini cuba dikaitkan sebagai tokoh utama penubuhan PN.

“Kalau orang yang menandatangani surat 38 muka surat itu boleh dedahkan kandungan surat tersebut lagi baik.

“Biar semua orang tahu bahawa Muhyiddin hanya datang kemudian, tapi langsung tak malu nak ‘claim credit’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN