Pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 hujung tahun selaras perkembangan e-dagang

Pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 hujung tahun selaras perkembangan e-dagang

FAHMI Fadzil sewaktu merasmikan Majlis Pelancaran Nadi Usahawan @ Shopee di Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Draf pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum hujung tahun ini mengambil kira perkembangan baharu e-dagang dan perkhidmatan kurier.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketika ini proses penyediaan pindaan draf sedang dilaksanakan sebelum ia dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Menurut beliau, pindaan itu penting bagi memastikan akta sedia ada kekal relevan dengan perkembangan pesat industri perkhidmatan penghantaran dan logistik, khususnya sejajar dengan pertumbuhan e-dagang.

“Dalam ucapan, saya ada sentuh hasrat pihak Kementerian Komunikasi untuk meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012. Kita mengambil kira beberapa perkembangan baharu dalam teknologi pada hari ini, ada pelbagai penyedia perkhidmatan kurier.

“Pada masa sama, ada beberapa aspek dalam penghantaran pos, surat-surat yang selama ini disebut sebagai Universal Service Obligation (USO), jadi kita akan mulakan usaha untuk buat pindaan itu dan menukar takrifan USO supaya ia seiring dengan perkembangan dan pemahaman kita tentang penghantaran bungkusan, produk dan barang dalam ekosistem e-dagang,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 selepas Majlis Pelancaran Nadi Usahawan @ Shopee di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut mengalu-alukan penglibatan pemain industri termasuk syarikat e-dagang seperti Shopee serta penyedia perkhidmatan penghantaran untuk turut serta dalam proses libat urus pindaan draf berkenaan.

“Mereka boleh memberikan cadangan sendiri untuk penambahbaikan pada Akta Perkhidmatan Pos itu nanti. Saya harap kalau sempat, menjelang hujung tahun ini (akan dibentangkan di Dewan Rakyat),” ujarnya.

Pada 9 Oktober tahun lalu, media melaporkan Kementerian Komunikasi akan meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012 bagi memastikan ia seiring dengan perkembangan pesat industri penghantaran dan e-dagang masa kini.

Fahmi berkata, ini berikutan landskap perkhidmatan penghantaran telah berubah drastik yang memberi kesan besar kepada ekosistem industri tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN