Jangan politikkan isu pengambilan pekerja asing

Jangan politikkan isu pengambilan pekerja asing

AIZUDDIN ABD. GAFFAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kritikan Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad terhadap sistem pengambilan pekerja asing disifatkan sebagai satu bentuk politiking baharu kerana kedua-dua pemimpin itu sebelum ini terlibat dalam proses membuat keputusan kerajaan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Aizuddin Abd. Gaffal berkata, pelanjutan kontrak Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) sehingga 2031 telah diluluskan pada 24 Jun 2024 di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri.

Katanya, keputusan itu dibuat ketika Rafizi memegang jawatan Menteri Ekonomi manakala Nik Nazmi merupakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam di mana kedua-duanya masih berada dalam Kabinet sebagai anggota Jemaah Menteri.

“Bagaimana mungkin sistem yang diluluskan ketika mereka berada dalam Kabinet kini menjadi sasaran kritikan mereka sendiri? Apakah yang berubah? Ini adalah satu bentuk ‘politiking’ tahap baharu yang belum pernah disaksikan atau didengari sebelum ini.

“Saya dan majoriti rakyat Malaysia sentiasa menghormati peranan semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen. Namun, semak dan imbang yang berintegriti mesti berteraskan fakta, bukan naratif yang dipilih secara selektif mengikut kepentingan politik peribadi.

“Sebagai bekas Ahli Jemaah Menteri, Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa hendaklah berpegang kepada prinsip tanggungjawab bersama yang menjadi tonggak kerajaan dan terpakai dalam semua keputusan dan tindakan kerajaan seperti yang termaktub di dalam Kod Etika bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aizuddin berkata, kerajaan tetap mengambil pendekatan jangka panjang dalam menangani isu pengambilan pekerja asing dengan mengambil kira keperluan ekonomi dan realiti industri semasa.

Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu menilai keadaan di lapangan termasuk keperluan sektor tertentu yang masih bergantung kepada tenaga kerja asing.

Menurut Aizuddin, cadangan sistem pengambilan pekerja asing baharu pada masa ini masih berada pada peringkat penilaian dan belum diputuskan oleh kerajaan.

“Tiada keputusan muktamad, tiada pelantikan dan tiada komitmen dibuat kepada mana-mana pihak. Segala pertimbangan sedang dilaksanakan secara teliti dengan mengambil kira kepentingan negara, ketelusan serta keberkesanan jangka panjang.

“Permainan membina persepsi yang hodoh terhadap kerajaan dan memomokkan rakyat dengan cerita yang diolah mengikut kepentingan diri perlu dihentikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN