Menanti sinar baharu 2022 - Utusan Malaysia

Menanti sinar baharu 2022

SELAIN wang tunai, bantuan lebih besar lain turut diumumkan Ismail Sabri Yaakob untuk mangsa banjir dalam perutusan tahun baharu, Jumaat lalu. – JABATAN PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENARIK sekali bila didapati amat banyak sekali maklum balas positif diberikan pelbagai pihak ke atas perutusan tahun baharu 2022 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 31 Disember lalu.

Antara maklum balas tersebut adalah inilah kali pertama perutusan tahun baharu Perdana Menteri benar-benar mempunyai isi, bukan sekadar sorotan ringkas ke atas apa yang berlaku pada tahun sebelumnya dan menyatakan harapan umum terhadap tahun baharu.

Seperti lazimnya, Perdana Menteri juga membuat sorotan ke atas 2021 khususnya penularan Covid-19 yang mencapai kemuncak 24,599 kes harian enam hari selepas beliau memegang jawatan itu hingga menurun menjadi sekitar 3,000 kes harian sekarang.

Selaku Perdana Menteri yang memandang ke hadapan, beliau mengingatkan rakyat supaya terus berhati-hati dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron sambil menyatakan kerajaan telah bersiap siaga bagi menghadapi sebarang penularannya di negara ini.

Bagi membuktikan kebenaran kata-katanya, Ismail Sabri bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini ekoran 1,306 jemaah umrah dikesan positif Covid-19.

Inilah satu cerminan ketegasan Perdana Menteri yang tidak semata-mata mahu menonjolkan imej seorang populis tetapi mengambil langkah ini demi keselamatan rakyat walaupun ia mungkin tidak disukai sebahagian mereka.

Perkara menarik lain dalam perutusan itu apabila beliau menyebut sebanyak tiga kali harapannya semoga 2022 memberikan sinar baharu kepada Keluarga Malaysia.

Ungkapan ‘sinar baharu’ ini pula bukanlah ucapan kosong bersifat retorik semata-mata kerana Perdana Menteri terus memberikan pengisian konkrit kepadanya dengan menggariskan perkara-perkara tertentu yang boleh menzahirkan realisasi harapan tersebut.

Jarang sekali seseorang Perdana Menteri menggunakan perutusan tahun baharu untuk membuat apa-apa pengumuman besar yang boleh mengubah hidup rakyat tetapi itulah dilakukan oleh Ismail Sabri walaupun ramai tidak menyangka.

Sebelum ini, agak meluas juga kritikan terhadap Perdana Menteri kerana kononnya tidak peka dan prihatin kepada nasib mangsa bencana banjir yang agak luar biasa berlaku di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain.

Walaupun kerajaan memberi RM1,000 Bantuan Wang Ihsan secara paling pantas kepada mangsa banjir, diikuti RM500 untuk pembelian barangan elektrik dan RM1,000 untuk pembaikan atau pembelian kenderaan, jumlah RM2,500 ini didakwa tidak mencukupi.

Dikatakan mangsa banjir perlu dibenar mengeluarkan RM10,000 daripada wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan walaupun sebelum ini sudah RM19,500 dibenar dikeluarkan.

Pastinya ia satu kejutan menggembirakan bagi mangsa banjir bila Perdana Menteri tiba-tiba mengumumkan tambahan bantuan tunai RM7,500 kepada mereka, iaitu RM2,500 untuk pembelian barangan keperluan dan RM5,000 lagi untuk kerja-kerja pembaikan rumah.

RUMAH BAHARU

Sesungguhnya inilah cara tersirat Perdana Menteri menjawab kritikan terhadap beliau dengan melakukan sesuatu yang lebih berpandangan jauh, iaitu memberikan lebihan bantuan tunai kepada mangsa banjir tetapi mengkhususkan kegunaannya supaya tidak disalahguna.

Lebih jauh lagi, pemberian bantuan tunai ini memberi manfaat kepada semua termasuk yang tidak mempunyai simpanan KWSP, manakala mereka yang mempunyai simpanan KWSP akan boleh menikmati dividen tahunan sekitar lima peratus menggunakannya selepas bersara.

Selain bantuan tunai, bantuan lebih besar lagi turut diumumkan oleh Ismail Sabri kepada mangsa yang rumah mereka musnah atau mengalami kerosakan serius dengan membina rumah baharu bernilai RM56,000 atau membaiki rumah lama dengan kos RM15,000.

Dalam bidang politik, Perdana Menteri memberi petunjuk ke atas sinar baharu 2022 setelah sebelumnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Bajet 2022 dan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan tanpa masalah.

Berkat kestabilan politik, 2022 dijangka menyaksikan beberapa RUU seperti RUU Anti Lompat Parti, Pindaan Perlembagaan serta lain-lain pindaan undang-undang dan Transformasi Parlimen dibentang dan diluluskan di Parlimen.

Kumpulan masyarakat sivil, pengamal dan sarjana undang-undang, hakim dan peguam juga dilihat teruja bila Perdana Menteri mengumumkan kesediaan kerajaan untuk melakukan transformasi kehakiman bagi memperkukuhkan demokrasi di negara ini.

Dalam bidang ekonomi pula, banyak sekali perancangan terperinci diumumkan oleh Perdana Menteri untuk dilaksanakan pada 2022 bagi merancakkan pemulihan ekonomi bagi memastikan ketahanan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Ini termasuk pengwujudan 600,000 peluang pekerjaan baharu, pemulihan segera sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana, pemerkasaan ekonomi digital serta perlaksanaan dasar yang peka terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Lebih melegakan, penegasan Perdana Menteri bahawa di sebalik semua ini, perkara asas yakni kemiskinan masih menjadi keutamaan di mana beliau sendiri akan mengetuai inisiatif pembasmian kemiskinan melalui penubuhan Unit Kemiskinan di setiap peringkat.

Seorang pemimpin dijangka melihat lebih luas, lebih jauh dan lebih awal berbanding orang lain. Sama-samalah kita membantu Ismail Sabri menjadi pemimpin yang lebih baik.

2021 mencatatkan sejarah kepada Ismail Sabri bila beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai, seterusnya Perdana Menteri pada 20 Ogos. 2022 pastinya akan mencatatkan lebih banyak sejarah dan menyerlahkan lagi kepimpinan beliau.

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN