KITA sedang berdepan era yang disebut sebagai limpahan maklumat (information overload) selepas internet menjadi tuntutan baharu dalam kehidupan. Fenomena ini tidak pernah berlaku sebelum ini di mana lambakan maklumat mencetuskan ancaman pada kesihatan mental dan sosial dalam kehidupan manusia.
Dalam konteks masa kini, maklumat boleh dianalogikan sebagai gula. Berlebihan gula boleh mendatangkan masalah pada kesihatan. Walaupun gula diperlukan tetapi mesti mengikut kadar secukupnya. Maklumat memang penting tetapi bertukar menjadi bermasalah apabila berlebihan.
Lihat sahaja ketika pandemik Covid-19 melanda dunia sejak dua tahun lalu. Sebahagian warga dunia berdepan tekanan emosi hingga menjejas kesihatan mental. Tekanan itu bukan sahaja disebabkan pandemik, tetapi lambakan maklumat yang berbagai-bagai mengenai pandemik.
Di saluran televisyen tempatan pun sama, slot berita penuh dengan berita Covid-19. Penuh dengan angka dan ini berulang-ulang saban hari hingga penonton rasa loya dan tertekan. Malah surat khabar dan portal berita juga melambakkan maklumat sama.
Limpahan maklumat mencetuskan tiga keadaan. Pertama, kualiti dan akurasi maklumat mencair malah ada yang palsu sepenuhnya. Kedua, berlaku pengulangan serta pertindihan antara satu dengan lain dan ketiga, mewujudkan terlalu banyak perspektif yang akhirnya membawa pada kekeliruan.
Tidak mempersoal kebolehpercayaan sesuatu maklumat akan membuka ruang untuk dimanipulasi. Malah berpotensi menjadi mangsa berita palsu dan penipuan.
Demikianlah akibatnya apabila kita tidak mampu berfikir secara kritis pada saat-saat paling penting untuk berbuat demikian.
Terlalu banyak maklumat mengenai sesuatu topik hingga tidak tercapai kemampuan otak manusia untuk memproses. Akibatnya berlakulah sindrom kerisauan melampau (anxiety). Mangsa dikepung dan dilemaskan oleh maklumat.
Dalam satu kajian di Amerika Syarikat, satu daripada lima orang mengaku berdepan dengan sindrom ini akibat limpahan maklumat. Frasa information overload pertama kali digunakan pada 1964 oleh ahli sains sosial, Profesor Bertam Gross dalam bukunya, The Managing of Organizations. Bertam yang meninggal dunia pada 1997 adalah bekas profesor sains politik di Hunter College. Kemudian information overload dipopularkan oleh Alvin Toffler dalam buku terlarisnya, Future Shock (1970). Tentunya definisi information overload dalam konteks buku Bertam tidak sama dengan ledakan maklumat era digital ketika ini. Keadaan pada dekad 1970-an jauh berbeza dengan sekarang di mana lambakan maklumat boleh menjejaskan kesihatan mental.
OTAK
Bagaimanapun, tidak banyak menyedari kerisauan melampau disebabkan oleh limpahan maklumat, misalnya ketika pandemik. Tetapi dalam banyak kajian membuktikan jumlah kes terjejasnya kesihatan mental selari dengan limpahan maklumat. Keadaan ini menjejaskan sangat kehidupan sosial, malah individu yang berada pada kedudukan tertentu berdepan kesukaran membuat keputusan walaupun terhadap perkara-perkara kecil. Ini menjadikan seseorang individu lemah membuat sebarang pendirian atau keputusan kerana kebergantungan pada maklumat yang terlalu banyak.
Maka tidak hairanlah apabila terdapat dalam kalangan penyelidik menggunakan istilah cognitive overload untuk merujuk sindrom ketidakmampuan otak memproses maklumat yang terlalu banyak.
Ketika ini dianggarkan tidak kurang daripada 1.8 bilion laman web termasuk portal berita di seluruh dunia. Daripada jumlah laman web itu, tidak kurang 820,240 hantaran (posting) sehari atau 34,260 hantaran sejam. Ini sama dengan 571 hantaran setiap minit. Bayangkan.
Hakikatnya maklumat yang terlalu banyak bukanlah satu masalah.
Bagaimanapun, perkara ini menjadi isu besar apabila wujud ketidakmampuan kawalan kualiti pihak mengeluarkan dan hilang upaya untuk menyaring pihak yang menerima.
Kesihatan mental yang terjejas akibat limpahan maklumat perlu ditangani dengan bijaksana. Golongan kapitalis mengaut untung daripada globalisasi yang melambakkan berbagai-bagai maklumat kepada kita. Malah globalisasi itu sendiri adalah dunia tanpa sempadan yang menghubungkan manusia dari seluruh pelosok dunia.
Limpahan maklumat ini mencipta satu rupa kehidupan sosial yang baharu, dunia seolah-olah menjadi sempit dan maklumat bergumpalan bagai awam hitam mencari sasaran. Keterujaan dengan teknologi tanpa kesedaran sosial yang tinggi adalah perangkap. Teknologi ada sisi buruknya kalau tidak dimanusiakan oleh manusia.
Maklumat memang diperlukan kerana dengannya manusia boleh menakluki dunia. Malah dunia menjadi semakin kecil dengan teknologi tercanggih dan aliran maklumat mencatatkan kepantasan yang tidak pernah terbayangkan oleh akal sebelum ini.
BANJIR
Profesor sosiologi di Universiti Kent, United Kingdom, Frank Furedi menganggap limpahan maklumat sebagai banjir yang boleh menenggelamkan manusia dalam gelombang data. Banyak yang tidak sedar sudah dipusarkan dan akhirnya menderita sindrom kerisauan melampau, tekanan emosi dan hilang keyakinan pada diri sendiri.
Disebabkan terlalu banyak maklumat yang sampai menerusi perkakas elektronik terutama telefon bimbit, kegagalan mengurus dan menyaring dengan mudah menjerumuskan manusia dalam bahaya seperti digambarkan sebagai banjir oleh Frank Fureli.
Analoginya mudah. Kita memerlukan air tetapi bukan banjir. Bagaimanapun, yang berada bersama-sama kita sekarang adalah banjir. Terjerat dengan banjir maklumat ini dengan sendiri menjadikan kita kembali tidak bermaklumat.
Media sosial seperti Facebook, Twitter, e-mel dan Instagram menjadi pelantar yang membawa sekian banyak maklumat. Tetapi tanpa disiplin tinggi dan pengetahuan tentang limpahan maklumat, kita pasti menjadi mangsa.
Dalam satu kaji selidik oleh McKinsey Global Institute pada 2017 mendapati 28 peratus daripada masa bekerja dihabiskan untuk menyemak e-mel. Bayangkan apabila kegagalan menguruskan maklumat ini berlaku secara berterusan?
Kita perlu bertindak berdepan dengan fenomena limpahan maklumat ini. Pertama, menyaring dengan mengenal pasti sumber sesuatu maklumat.
Kalau tidak berwibawa, abaikan. Kedua, hadkan maklumat yang masuk ke perkakas peribadi seperti telefon bimbit. Ketiga, buktikan kita yang mengawal maklumat dan bukan sebaliknya.
Maka langkah pertama yang boleh dilakukan ialah berhenti daripada tabiat buruk suka menekan butang forward atau copy atau paste semua maklumat diterima.
Anggaplah orang lain juga menerima kandungan yang sama. Masa yang sama bertimbang rasa supaya orang lain tidak tenggelam limpahan maklumat.
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.










