Jangan jadi tin kosong - Utusan Malaysia

Jangan jadi tin kosong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM melayari kehidupan sehari-hari, perlukah kita membataskan pergaulan kepada generasi tertentu sahaja? Ramai generasi Y dan Z memilih untuk bergaul dalam kalangan mereka sahaja. Ada yang mengatakan mereka tidak serasi bersama generasi X, apatah lagi dengan generasi baby boomers dan sebelumnya. Malang sekali, tetapi itulah hakikatnya.

Saya sebahagian daripada generasi Z yang membesar ketika perkembangan teknologi sudah maju dan canggih. Belum pun menjengah usia tiga tahun, saya sudah mampu menggunakan perisian Microsoft Powerpoint.

Masih ingat, saya gigih menerangkan cara-cara menggunakan komputer kepada atuk, nenek dan moyang.

Namun, apakah kemahiran dalam bidang teknologi maklumat menjadikan saya lebih hebat dan berpengetahuan daripada generasi terdahulu? Teknologi berkembang hebat selaras perkembangan zaman. Namun hakikatnya, tidak semua yang baharu itu lebih baik daripada yang kita warisi.

Nenek moyang kita tidak akan kelaparan di dalam hutan tanpa bekalan makanan kerana mereka tahu buah hutan apa boleh dimakan. Di hutan juga tumbuh pelbagai tanaman yang boleh mengubati pelbagai penyakit. Sedangkan dalam kalangan generasi Z, ramai yang sudah tidak mengenali khazanah berharga warisan nenek moyang kita.

Masalah timbul apabila orang muda merasakan diri mereka lebih hebat daripada generasi sebelumnya dan mahu membebaskan diri daripada unsur tradisi. Malah ada yang merasakan generasi lama berfikiran kolot serta ketinggalan zaman sehinggakan hilang rasa hormat terhadap mereka yang lebih berusia.

KABINET

Lantang suara orang muda mendesak golongan mereka berada dalam Kabinet. Bagi mereka, pengalaman serta kebolehan adalah soal kedua. Mereka merasakan pemimpin muda mampu bergerak sendiri dalam wadah terasing daripada pemimpin berpengalaman. Walhal, banyak pengalaman yang perlu ditimba sebelum seseorang mampu memimpin negara.

Jangan jadi seperti tin kosong, bunyinya kuat, isinya tiada. Pemimpin yang sekadar mampu membawa idea retorik tidak akan mampu membina negara.

Anak muda tidak harus terlalu mengikut darah muda. Saya juga mahukan suara anak muda didengari, namun saya akur pendapat kami tidak semestinya terbaik. Bak pepatah, tua itu tuah, muda itu mudah.

Setiap generasi mempunyai corak mentaliti berbeza hasil keadaan persekitaran ketika mereka membesar. Jika perkembangan teknologi memberi kesan kepada kehidupan generasi Z, kemajuan sistem kecerdasan buatan (AI) pula memberi impak kepada generasi Alfa.

Orang muda janganlah sampai mendabik dada merasakan kitalah generasi paling hebat. Allah SWT mencipta manusia berlainan usia untuk saling bekerjasama, bukan untuk bertelingkah. Orang muda mesti menghormati mereka yang lebih tua sementara orang tua harus membimbing orang muda untuk menjadi lebih dewasa. Yang tua dihormati, yang muda disayangi.

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×