KEWUJUDAN secara mengejut koronavirus bergelar Omicron baru-baru ini merumitkan lagi keadaan yang sudah pun mencemaskan. Ini adalah antara sekian banyaknya jenis virus – Alfa, Beta, Gamma dan Delta, tercetus sejak pandemik bermula. Ada yang mengatakan ia menggambarkan betapa virus asal, Covid-19 bertindak balas apabila vaksin diperkenalkan lewat 2020 di seluruh dunia.
Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa pada akhir 2021 menyatakan, Omicron adalah bukti jelas kaitannya dengan penggunaan vaksin yang tidak adil dalam kalangan penduduk dunia khususnya negara berada dengan tidak berada.
Ada pula yang menegaskan, lagi ramai yang menerima suntikan, lagi banyak vaksin digunakan, lebih mudah pula virus baharu tergubah dari masa ke masa. Masing-masing virus tersebut dengan ciri dan sifat tersendiri sekali gus mempelbagaikan cabaran kesihatan yang menggunung tingginya.
Jenis Delta misalnya, lebih berbahaya berbanding lain walaupun daya rebakannya tidak pantas. Berbeza dengan Omicron yang dikatakan agak kurang menunjukkan gejala berbahaya tetapi cukup pantas merebak.
Dalam jangka masa seminggu dikesan di Afrika Selatan, ia muncul di beberapa benua dan negara lain. Kini terus merebak ke pelosok dunia terutama di negara maju. Satu gelombang besar sudah pun mula dikenal pasti digelar oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai suatu ‘tsunami’ yang besar lagi kencang. Ia menggambarkan betapa dahsyat kesannya terhadap dunia terutama sekali dalam usaha mereda dan merawat ribuan penghidap hari demi hari.
KEMELUT DOS LENGKAP
Peristiwa serupa ini sudah pun dialami oleh banyak negara dan mencetus kebimbangan mutakhir seantero. Anehnya, ada dalam kalangan mereka yang telah mendapat pelbagai dos vaksin yang dirasmikan sebagai ‘lengkap’.
Lebih mengelirukan, ada pihak sedang berusaha mentakrif semula ciri rasmi apa itu ‘lengkap’. Malah kemungkinan ini juga tidak akan kekal kerana sudah pun ada desus-desas perlunya dos keempat anjuran pembuat jenama vaksin tertentu! Sedangkan sebab musabab pergolakan ini masih tidak jelas serta memusykilkan. Tambahan pula WHO mempunyai pandangan agak berbeza dalam menangani ketaksuban ini.
Lanjutan itu, Omicron mula dikhuatiri oleh negara lain. Bagi Malaysia, ia lebih berkait dengan penggantungan ziarah umrah mulai 8 Januari lalu. Cetusan ini bersandar kepada bukti jangkitan Omicron yang meningkat sekembalinya jemaah dari tanah suci tatkala bilangan penghidap turut menggusarkan. Jika tidak dikawal segera dan rapi, kemungkinan besar Malaysia lagi sekali bergelumang dengan wabak Covid-19, kali ini berserta Omicron pula.
Maka sewajarnyalah langkah penggantungan yang diumumkan Kementerian Kesihatan dialu-alukan demi melindungi rakyat jelata supaya jangkitan berleluasa tidak berulang. Apatah lagi terdapat dakwaan pemalsuan sijil vaksin oleh segelintir jemaah sebagaimana dilaporkan baru-baru ini. Kesan keburukannya kepada imej Islam amat mendalam seperti menconteng arang di muka.
Sudah tentu ada pihak terkilan langkah berkenaan terutama yang sudah bersiap sedia menjadi tetamu Allah SWT. Namun apakan daya, penentuan tetap hak Ilahi jua atas ihsan-Nya. Lagipun, umrah tidak diwajibkan seperti rukun haji kepada yang berkemampuan tanpa sebarang kerenah itu dan ini.
Bahkan sudah menjadi lumrah yang hal serupa berlaku acap kali di samping ramai bilangan berulang-alik taat menunaikan umrah mereka. Walaupun semua ini adalah petanda baik betapa umrah cukup dekat di hati rakyat, masih ada yang kehilangan pertimbangan sehingga sanggup mencemari umrah sebagai ibadah yang suci.
BERAMAL JARIAH
Sayugia diingatkan, oleh kerana rukun haji wajib didahulukan, maka ada baiknya dalam suasana kemelut seperti pandemik tidak menentu ini, umrah ‘digantikan’ dengan ibadah lain seperti bersedekah dan beramal jariah yang setimpal. Jelas ini amat sesuai memandangkan kesusahan yang terus-menerus ditanggung oleh ribuan akibat peningkatan aliran banjir tidak berhenti-henti di seluruh negara. Maksudnya dana terkumpul untuk ziarah umrah khusus bagi mereka yang pernah menjalaninya, boleh dialihkan bagi tujuan bersedekah kepada mereka yang sedang menderita hari demi hari, sudah berminggu-minggu lamanya.
Apatah lagi masih tiada isyarat yang cuaca akan reda dalam jangka masa terdekat. Sebaliknya tujuh negeri telah pun diberi amaran oleh pihak kaji cuaca untuk bersiap sedia menghadapi ribu petir, hujan lebat dan angin kencang pada minggu ini.
Pendek kata, selagi niat luhur disematkan, diikuti amalan ikhlas sebagai satu pengabdian demi mendapat rahmat Ilahi, maka beramal jariah juga dianggap sebagai suatu amalan yang tidak kurang mulianya. Oleh demikian, sudah tiba masanya suatu bungkusan atau pakej ziarah khas diwujudkan oleh Lembaga Tabung Haji untuk menggalakkan bakal para jemaah mempertimbangkannya sebagai gantian bagi membantu mangsa pandemik dan banjir sesuai dengan keperluannya selagi keadaan memerlukan.
Sebagai kesimpulan, keberadaan musibah seperti Covid-19, banjir dan terkini jangkitan Omicron boleh dibalikkan menjadi sesuatu yang ‘positif’ apabila masing-masing peristiwa malang itu dianggap sebagai ‘jendela’ untuk beribadah secara sistematik lagi berkesan seolah-olah menjalankan ibadah umrah di tanah suci.
Mungkinkah musibah yang ditanggung kini merupakan suatu dugaan bagi kita semua memikirkan semasak-masaknya dengan hati yang amat luhur akan sebaik-baik penyelesaian? Jika demikian, kita perlu bertindak secara positif!
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











