Isteri, hukumlah suami haprak - Utusan Malaysia

Isteri, hukumlah suami haprak

Walaupun waktu Covid-19 lalu kita membuktikan ramai dalam kalangan pekerja boleh berkerja anjal, namun sekarang hampir semua beroperasi di pejabat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“TANPA wanita takkan ada bangsa manusia. Tanpa bangsa manusia takkan ada yang memuji kebesaran-Mu. Semua puji-pujian untuk-Mu dimungkinkan hanya oleh titik darah, keringat dan erang kesakitan wanita yang sobek bahagian badannya kerana melahirkan kehidupan.” – Pramoedya Ananta Toer.

Dalam jagat bumi Malaysia sedang sibuk menguruskan dugaan bencana banjir, tular pula perihal rumah tangga berantakan dek kerana ketidakjujuran seorang lelaki sehingga bersenggama dengan wanita yang bukan isterinya. Hampir mati akal saya memikirkan bagaimana seorang suami boleh tergamak mencurangi isteri yang dinikahinya dengan sedar dan tanpa paksaan.

Lebih pula membuntukan benak saya apabila memikirkan pengorbanan para isteri yang ditipu, yang telah sanggup melahirkan zuriat dikandungkannya untuk suami. Yang menyedihkan, peri laku jijik yang memualkan ini tidak hanya terhad berlaku dalam kalangan lelaki haprak tidak berpendidikan mahupun tidak berpangkat. Kadangkala kita disajikan dengan bekalan ceritera kisah lelaki haprak dalam kalangan mereka yang punya segalanya baik dari sudut harta, pangkat malahan pendidikan.

Jelas membuktikan pada akhirnya, waima ilmu di dada tidak mampu menyelamatkan segelintir lelaki daripada kawalan serakah mereka sendiri.

Sebelum ini, di ruangan Cakna ini pernah sahabat saya berpesan tentang undang-undang berkenaan keserongan kaum lelaki.

Baik di bawah perundangan sivil mahupun syariah, pemeliharaan kesucian institusi keluarga adalah isu moraliti yang amat dititikberatkan. Bukan sewenang-wenangnya orang ketiga boleh masuk jarum untuk berhubungan intim dengan pasangan yang sudah berkahwin.

Namun, pesanan agar masyarakat menjaga maruah diri seperti tidak diendahkan. Mungkin kawalan etika kendiri sudah tidak mampu mendidik segelintir lelaki di bumi ini untuk kenal dengan amanah di pundak.

Mungkin kekangan moraliti masyarakat juga sudah lama terhakis sehingga tiada lagi tegur-menegur para lelaki kepada kaum mereka untuk menasihati agar tidak memalukan diri. Maka yang ada tinggal hanyalah benteng undang-undang untuk mengajar lelaki haprak agar tidak leka dengan batas sosial.

Lalu saya sarankan, sudah tiba masa mana-mana wanita yang dicurangi suami mereka untuk lebih tegas dalam tindakan terhadap suami durjana ini. Gunakan kuasa penuh undang-undang untuk menghukum suami yang tidak teragak-agak mengkhianati ijab dan kabul yang mereka janjikan semasa akad dimeterai.

Khususnya di bawah Seksyen 23 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) bolehlah para isteri mengadukan kepada penguat kuasa syariah untuk mengambil tindakan terhadap suami yang melakukan persetubuhan luar nikah dengan wanita bukan isterinya.

Kemudian para isteri yang dibohongi ini boleh juga menuntut di bawah Seksyen 127 dan/atau 128 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) agar seorang suami yang menganiaya isterinya atau tidak berlaku adil terhadap isterinya mengikut hukum syarak dikenakan hukuman denda sehingga RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

MEMIKAT

Kemudian boleh juga dipanjangkan aduan di bawah Seksyen 35 Akta 559 terhadap pihak ketiga yang menggalakkan suami mereka untuk melakukan maksiat. Ditambah lagi dengan pengaduan di bawah Seksyen 37 Akta 559 atas alasan pihak ketiga telah menghalang suami daripada memainkan peranannya sebagai ketua keluarga.

Malangnya, di bawah Kanun Keseksaan tidak membolehkan para isteri untuk menggunakan pemakaian Seksyen 498 yang hanya terhad kepada kesalahan lelaki memikat wanita bersuami. Peruntukan ini tidak pula menjadikan kesalahan bagi wanita untuk memikat lelaki yang beristeri.

Seharusnya lebih ramai lagi aktivis yang mengungguli perjuangan hak wanita menyuarakan hasrat agar peruntukan ini dipinda bagi membolehkan mana-mana wanita (atau lelaki) menggoda seorang lelaki yang sudah beristeri dikenakan tindakan jenayah. Biar nanti masyarakat kita ada akal untuk tahu batasan mereka.

Buat para isteri yang bukan beragama Islam, pastikan tuntutan di bawah Sekysen 58 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) dimasuk dalam mana-mana petisyen penceraian yang difailkan atas alasan perzinaan suami dengan wanita lain. Kemudian tampilkan juga pihak ketiga sebagai responden bersama dalam petisyen itu agar suatu perintah boleh dibuat mahkamah bagi memaksa pihak ketiga itu membayar ganti rugi kepada isteri yang dicurangi.

Buat segelintir para suami yang hanya mampu memikirkan nafsu rakus dan kepentingan diri semata-mata, tidak segankah kalian dalam perbuatan yang meruntuhkan kemuliaan bangsa sendiri? Menghujung 2021, mungkin para lelaki di negara ini patut bermuhasabah diri dan beriltizam untuk tidak terus-menerus membenarkan kelakuan haprak yang mengaibkan kaum lelaki dan menjatuhkan maruah bangsa berleluasa.

Nasihatkan para lelaki yang dikenali agar kenal etika, moraliti dan batasan undang-undang supaya diri mereka tidak terjebak.

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-undang & Hak Asasi Pertubuhan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ); Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN