Elak Johor ‘gelongsor’ - Utusan Malaysia

Elak Johor ‘gelongsor’

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMASA bertemu dengan Menteri Besar Johor, DATUK HASNI MOHAMMAD baru-baru ini, dapat dirasakan kesungguhan beliau untuk menarik kemasukan pelabur. Dengan ini dapat membangunkan lebih agresif lagi ekonomi negeri itu untuk manfaat rakyat.

Tetapi untuk meyakinkan syarikat-syarikat asing dan tempatan, Hasni perlu mewujudkan sebuah kerajaan negeri yang kuat. Bukannya seperti sekarang yang memiliki majoriti tipis satu kerusi sahaja.

Kepada saya di Saujana Kediaman Menteri Besar, Johor Bahru, Hasni menjelaskan, satu-satunya jalan keluar untuk mencapai kejayaan ekonomi itu adalah menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Ini demi mewujudkan kerajaan stabil yang berdaya saing, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur.

Ikuti penjelasan Hasni kepada Utusan Malaysia bila diajukan soalan-soalan berikut:

UTUSAN: Kenapa PRN Johor perlu disegerakan?

HASNI: Kalau PRN ataupun pilihan raya umum (PRU) diadakan, ia boleh menambah baik lagi keadaan yang sedia ada. Contohnya, dari segi (kemasukan) pelaburan dalam negeri, kita nombor enam. Kita dulu sangat tinggi, nombor dua atau tiga.

Kemasukan pelaburan luar negara setakat ini nombor lapan berbanding negeri-negeri lain. Kalau Johor tak buat sesuatu, kita akan slide (gelongsor) jauh lebih rendah.

Kita nak ada sesuatu yang boleh kita jadikan sebagai kelainan (menarik pelabur). Maknanya, kalau tempoh kerajaan yang ada itu lama, jadi dasar dia itu boleh bertahan lama. Ini prasyarat kepada usaha nak menarik ataupun nak mengekalkan pelabur-pelabur yang ada dalam negara kita.

Kenapakah menarik pelabur dari luar sangat penting dan harus dipercepatkan?

Kita perlu mengikuti perkembangan semasa. Contohnya, Singapura menjadi negara yang dilihat menerima banyak pelaburan daripada Hong Kong.

Bila China mengubah dasar pembangunan dia untuk Hong Kong, banyak syarikat yang beralih operasi, bukannya pergi ke Tanah Besar China tetapi ke Singapura.

Jadi kalau kita tunggu, maknanya kita kekalkan kerajaan yang bila-bila boleh (tumbang). Tidak ada siapa boleh nafikan walaupun sokongan dan kerjasama dari semua pihak setakat ini baik, tapi hakikatnya tak ada siapa boleh nafikan adalah kerajaan Johor tidak stabil dengan hanya satu kerusi majoriti. Ini fakta, tak boleh siapa nak nafikan.

HASNI MOHAMMAD dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, Zulkifli Jalil di Saujana Kediaman Menteri Besar, Johor Bahru, baru-baru ini.

MANDAT BAHARU

Walaupun tidak stabil, kenapa pembentangan Bajet Johor 2022 boleh diluluskan?

Sebab yang menyokong itu (majoriti) dan yang tak menyokong tak kata (berkecuali), jadi majoritilah. Walhal sebagai satu sistem demokrasi sepatutnya ada menyokong, ada tak menyokong dan ada yang berkecuali.

Ini tak ada. Sokong sahaja, lepas itu yang sebelah sana senyap sahaja. Jadi apa tanda? Itu yang kita perlu perbetulkan supaya dalam usaha kita nak membuat dasar, mendapatkan mandat baharu ini sebenarnya ia memperkukuhkan lagi masa depan negeri ini.

Bukankah ini akan menyebabkan timbul tohmahan terhadap UMNO dan Datuk sendiri seperti tidak cukupkah dengan kerajaan sedia ada. Lagi pun Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat telah menyatakan kerajaan negeri boleh bertahan sampai habis penggal?

Betul, kalau itu kita terima sebagai gambaran kestabilan kerajaan, maknanya setakat itu sahajalah. Walhal banyak lagi yang hendak dan perlu saya buat.

Itu hanya boleh dibuat bila ada kerajaan stabil dan majoriti yang selesa. Ada tempoh masa yang sesuai sebab satu dua tahun tak boleh. Saya tak boleh tunggu walaupun setahun lagi, sebab peluang itu tak datang dua kali.

Tak guna kalau saya nak umum perancangan yang memerlukan masa tiga tahun, sedangkan saya ada hanya setahun sahaja lagi. Daripada pengalaman lepas, kerajaan dahulu sudah setuju macam-macam nak buat itu dan ini.

Sampai kerajaan Pakatan Harapan (PH), batalkan semua projek-projek yang ada. Lepas itu bila masuk kepimpinan baharu, lain pula. Jadi yang menderita ialah rakyat, yang (tertangguh) cadangan pembangunan itu.

Saya tengok Johor setelah kena Covid-19 dan apabila sempadan ditutup, sektor-sektor yang menjadi penyumbang besar kepada ekonomi Johor, macam hartanah dan pelancongan terjejas.

Cukup memberi kesan yang traumatik ataupun signifikan. Jadi untuk kembalikan semula semua itu, kita perlu ada mandat tempoh masa (lebih lama) kerana (sekarang) banyak benda kita tak boleh nak buat.

SINGAPURA, MM2H

Adakah Datuk sendiri mendapat apa-apa maklum balas daripada pelabur?

Itu yang saya katakan tadi, ranking kita jatuh dari segi pelaburan domestik dan pelaburan luar negara. Ada permintaan untuk berjumpa dan berbincang (daripada pelabur). Keadaan itu meyakinkan saya bahawa Johor memang menjadi pilihan ataupun menjadi pertimbangan pelabur.

Tetapi mereka menimbang sahajalah, walaupun dia tak cakap secara langsung, tetapi saya boleh faham body language (bahasa badan) mereka. Kebimbangan dia bahawa kau ini setahun lagi (menjadi Menteri Besar), kenapa harus saya berpegang kepada janji dan jaminan kamu.

Jadi saya ingat kalau kita boleh tambah apa-apa juga yang boleh meyakinkan pelabur kenapa tidak. Contoh, tempoh kerajaan yang lebih panjang dan mungkin (memperkenalkan) dasar-dasar yang boleh mengubah keadaan semasa.

Sekarang ini berniaga seperti biasa sahajalah, berjalan macam biasa. Sebab nak buat perubahan perlukan masa dan masa itu tidak menyebelahi saya. Dengan setahun lebih sahaja lagi, ini tidak menjadi sesuatu yang meyakinkan pelabur.

Apa maklum balas pelabur Singapura?

Contoh ialah bila Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) ditarik balik oleh kerajaan. Sebenarnya kita kalau dekat Johor ini, rancangan pembangunan itu, diasaskan kepada potensi pasaran daripada Singapura.

Jadi alasan untuk mengubah MM2H itu sebahagian besarnya tak berkenaan untuk Johor, sebab katakan syarat MM2H hendakkan rakyat yang membeli mesti duduk sekurang-kurangnya 90 hari.

Kepada pelabur yang ramai membeli daripada Eropah atau negara-negara Arab mungkin susah dia nak duduk sampai 90 hari di Malaysia. Tetapi kalau rakyat Singapura, yang membeli hartanah dekat Johor, syarat 90 hari itu tak ada masalah untuk dipenuhi.

Tiap-tiap minggu pun dia datang, dia campur dalam hari-hari yang dia berada di Johor ini, mungkin lebih daripada 90 hari.

Jadi syarat itu, tak ada masalah kepada Johor. Tetapi oleh kerana dia kata susah untuk pemaju ataupun pembeli kekal, jadi kita terpaksa ubahlah MM2H ini, batal dan tangguhkanlah. Jadi itu (memberi) kesan kepada Johor.

Sedangkan keadaan di Johor memerlukan perancangan yang khusus. Katakan cadangan untuk meletakkan nilai hartanah, kita kata okey, pemaju boleh jual kepada rakyat asing di lokasi-lokasi tertentu, harga rumah RM400,000 boleh jual kepada orang luar dalam zon antarabangsa.

Tetapi pemaju rasa itu you punya dasar zaman kerajaan you, tetapi apa akan terjadi kalau kerajaan bertukar.

Jadi setahun dia menangguhkan, nak tunggu satu kerajaan baharu dibentuk. Saya rasa banyak yang tertangguh, itu yang saya fikir, asalkan keadaan membenarkan, kita patut adakan PRN. Kita patut merujuk kepada rakyat semula untuk mendapatkan mandat.

UGUT

Apa perasaan Datuk apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada November lalu ‘mengugut’ menyatakan bila beliau tekan butang, kerajaan Johor akan tumbang?

Untuk membentuk kerajaan ini, dia ada sistemnya. Contoh, adakah Tan Sri Muhyiddin tak menjadi Perdana Menteri (PM) itu bahawa kerajaan dia jatuh? Tidak, tukar PM sahaja.

Jadi kalau dia tekan butang, saya tak ada majoriti, tapi tak semestinya saya tak menjadi Menteri Besar kalau kerajaan yang nak ditubuhkan (sebagai ganti) itu adalah kerajaan interim (sementara).

Bila kerajaan interim itu, yang melantiknya untuk menjadi pemimpin ialah istana, jadi tak semestinya saya jatuh.

Jadi isu tekan butang ini akan jatuh hanya sebagai satu petanda bahawa nak membentuk kerajaan pelbagai parti atau kerajaan campuran ini bukan satu perkara mudah.

Kalau Kerajaan Pusat itu, siapa juga PM kalau tak ada persefahaman yang mantap tetapi perkahwinan secara convenience (perkongsian rapuh), tidak akan menjadi kemanisan yang berkekalan berbanding dengan satu gandingan ataupun entiti yang berdasarkan majoriti yang jelas.

Sekarang ini, gabungan ini majoriti yang tipis-tipis. Negara kita masih memerlukan masa untuk membentuk kerajaan campuran. Sekarang masih lagi dalam peringkat cubaan.

Maksudnya, kerajaan campuran belum meyakinkanlah termasuk dengan termeterainya Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA)?

Belum, sebab itu ada CSA. Sepatutnya tak payah ada CSA. Yang minoriti dalam (gabungan) itu pun kena faham, majoriti pun tak menekan, yang minoriti pun tak perlu nak mendesak.

Tak perlu, sebab dalam satu platform yang sama. Tujuan berada dalam platform itu harus samalah, tetapi ini tidak.

BN bersedia sejak kalah lagi

Kecenderungan Datuk supaya diadakan PRN menunjukkan keyakinan UMNO Johor boleh meraih undi majoriti?

Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah isytihar UMNO sebagai tiang seri atau tulang belakang kepada kerajaan. Jadi kita perlu terjemahkan perkara itu di Johor.

Mana-mana pihak yang merasakan seolah-olah UMNO sudah hilang sokongan atau Barisan Nasional (BN) ditolak oleh rakyat, saya rasa sepatutnya di Johor ini, sewaktu penolakan dulu kita kalah lebih teruk.

Ya lah, Presiden Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) datang dari Johor, Pengerusi DAP dan Presiden Bersatu bertanding di negeri ini dan waktu itu Amanah mempunyai orang bertanding di Johor, mereka terpaksa turunkan heavyweight semua di negeri ini.

Kerajaan Johor itu, asas ataupun tapak adalah pada kekuatan UMNO dan BN, jadi semangat itu harus sentiasa sahaja bersemarak dalam jiwa pemimpin kita di negeri ini. Sebab itu, saya merasakan bahawa perlu segera kita buat PRN ini agar BN dan UMNO terus kukuh di Johor.

UNDI18

UMNO di peringkat bahagian sudah bersedia?

Kita sudah bersedia sejak kita kalah lagi, 22 bulan lalu, sejak 2018 lagi. Sebab itu, kita hendak menjadi pembangkang yang berwibawa, ada kredibiliti. Kita sentiasa memantau kerajaan waktu itu, apa yang dibuat dan apa yang kita rasa perlu (dibuat).

Adakah Datuk bersedia menerima pengundi 18 tahun ini?

Ya, sebab saya rasa Johor tak pernah mengetepikan suara orang muda. Contohnya, kita ada Dewan Muda Johor, sewaktu jadi pembangkang, bukan sewaktu kita jadi kerajaan.

Ia menyediakan platform untuk orang muda secara apolitical (tidak melibatkan politik) untuk dia (orang muda) berinteraksi dan membicarakan isu-isu negeri.

Kita ada Institut Dato’ Onn yang melibat urus mahasiswa yang mengetengahkan program-program kepimpinan dan juga mewujudkan dasar yang mesra kepada generasi muda.

Kemudian, hari ini ada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Tugas-Tugas Khas) jawatan keempat yang baru diwujudkan untuk belia dan sukarelawan kerana kita tahu, pentingnya peranan orang muda dari segi mereka berpersatuan dan menjalankan aktiviti mereka.

Jadi semangat sukarelawan itu diterapkan awal-awal, macam Southern Volunteers sebagai contoh. Melibatkan orang muda dalam program dan juga dasar kerajaan, sudah lama (dibuat).

Anggaran berapa ramai pengundi muda di Johor?

Saya rasa antara 250,000 ke 300,000 orang.

Adakah keputusan PRN Melaka dan Sarawak mendorong datuk mencadangkan PRN Johor disegerakan?

Kita berbeza dengan Melaka kerana PRN Melaka terpaksa diadakan. Jadi ada yang merasakan bahawa mereka tak (perlu) keluar mengundi. Sebab itu peratus keluar mengundi itu merosot.

Sementara di Johor kalau kita nak mengadakan PRN adalah untuk mengajak rakyat sama-sama membentuk kerajaan atau memutuskan kerajaan mana yang rakyat hendak. PRN Sarawak juga berbeza kerana terpaksa adakan pilihan raya sebab sudah tamat tempoh.

LOMPAT PARTI

Datuk sendiri, sebelum ini lantang mengkritik perlakuan lompat parti, adakah PRN boleh menghentikan perbuatan melompat ini?

Rakyat tidak perlu rasa tertipu dengan tindak-tanduk ini. Jadi apa yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said hendak membawa usul persendirian bagi mewujudkan undang-undang yang boleh mengawal lompat parti ini, saya sokong.

Saya rasa itu satu langkah yang boleh meningkatkan integriti sesebuah kerajaan. Kalau kita ini menjadi kerajaan, kerana ramainya melompat, itu boleh mencalarkan integriti kerajaan.

Adakah UMNO akan bergerak solo ketika PRN Johor?

Perkara yang sebesar itu merupakan keputusan kepimpinan peringkat negara atau nasional sebab ia melibatkan dasar parti.

Saya rasa setiap kali kita mengadakan pilihan raya kecil atau PRN, nampaknya berbeza-beza dia punya keadaan. Jadi ini keputusan pucuk pimpinan partilah.

Bagaimanakah pendirian Datuk mengenai kerusi UMNO/BN yang diambil alih parti luar?

(Keputusan) pucuk pimpinan BN, mana-mana kerusi yang dimenangi BN, kita akan bertanding atas tiket BN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya