PUTRAJAYA: Komuniti sukarelawan pacuan empat roda (4×4) dari negara jiran seperti Thailand dan Singapura bakal menyertai perhimpunan pemilik kenderaan itu yang akan berlangsung pada 20 Jun ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Menurut penganjur, Zaki GM Garage Sdn. Bhd., acara itu dijangka menghimpunkan lebih 2,000 pemilik kenderaan 4WD dari seluruh negara, selain menarik kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung.
Ia terdiri daripada peminat automotif, pengusaha bengkel, pemain industri serta komuniti sukarelawan pacuan emapt roda itu.
“Program seumpama ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan dalam komuniti 4WD, malah menjadi medium memperkukuh jaringan kerjasama dalam industri automotif tempatan.
“Komuniti pacuan empat roda juga dilihat memainkan peranan penting sebagai sukarelawan ketika operasi bantuan bencana dan banjir di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penganjuran Truck Fighter & Meet Show 2 itu dijangka tampil lebih meriah dengan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran kenderaan 4×4, pertandingan autoshow melibatkan 21 kategori, aktiviti off-road, gerai jualan, pameran industri automotif serta cabutan bertuah.
Acara ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan penganjuran edisi pertama yang berlangsung pada Mei tahun lalu di perkarangan Stadium Shah Alam,” katanya.
Terdahulu, pihak penganjur mengadakan program TT Truck Fighter di kawasan parkir belakang Mahkamah Putrajaya semalam dengan menghimpunkan komuniti serta peminat kenderaan 4×4 dalam suasana santai, harmoni dan penuh semangat kekeluargaan.
Program berkenaan diadakan sebagai sesi pemanas badan serta promosi awal sempena penganjuran mega Truck Fighter & Meet Show 2.0 itu.
Program TT Truck Fighter bermula dengan ketibaan peserta sebelum sesi konvoi sekitar Putrajaya demi memperkukuh ukhuwah dan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti 4×4.
Pelbagai pengisian menarik turut diadakan termasuk sesi suai kenal ahli, perkongsian pengalaman berkaitan kenderaan 4×4, mini kuiz automotif, demonstrasi keselamatan penggunaan peralatan recovery, aktiviti konvoi berkumpulan, mini permainan serta cabutan bertuah. – UTUSAN










