Disahutkah ‘khemah besar’ Anwar? - Utusan Malaysia

Disahutkah ‘khemah besar’ Anwar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RABU 25 Ogos tahun lalu, Pakatan Harapan (PH) dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) mempelawa semua parti pembangkang untuk menyertai atau bekerjasama dengan mereka.
Diketuai pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim, kenyataan yang disebarkan kepada media itu selaras dengan konsep ‘khemah besar’ PH ke arah menjadi pembangkang yang berkesan.
Waktu itu idea `khemah besar’ dipandang sepi semua parti pembangkang. Itu pun dicetuskan oleh PH kerana untuk menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September tahun itu. Ini termasuk kemungkinan diadakan sidang khas lebih awal untuk membahaskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri serta mengisi kekosongan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat susulan peletakan jawatan Datuk Seri Azalina Othman Said.
Tarikh 25 Ogos itu kemudian `diredakan’ dengan kejutan 13 September yang menyaksikan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang buat pertama kali dalam sejarah politik negara. Antara yang dipersetujui, kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022.
Kira-kira dua bulan selepas itu, 20 November muncul menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. BN menang 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). PH pula hilang 10 daripada 15 kerusi yang dimenanginya pada 2018, dengan PKR tewas di semua 11 kerusi ditandingi, termasuk tiga yang dimenangi dalam PRU14. DAP pula menang empat dari lapan kerusi dan Amanah, meraih satu daripada sembilan kerusi. PH bungkus.
Di luar PH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas turut kepingin di Melaka. Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk mereka bersama Gerakan membawa pulang cuma dua kerusi Bersatu. Bersatu bertanding 15 kawasan, Pas (lapan) dan Gerakan (lima).

CERDIK
November berlalu, masuk 18 Disember 2021, pukulan teruk terus dialami PKR, DAP dan Amanah di PRN Sarawak. DAP terpaksa berpuas hati menang hanya dua dari 24 kerusi ditandingi. Prestasi PKR pula menyamai Melaka – tewas semua 28 kerusi. Amanah menerima nasib sama kalah semua lapan kerusi ditandingi.
Dalam PRN Sarawak 2016, DAP menang tujuh kerusi, manakala PKR menang tiga kerusi.
Awal dari itu lagi, di PRN Sabah 2020, PKR cuba menuntut sehingga 14 kerusi daripada Warisan Plus untuk ditandingi. Diberi cuma tujuh, tetapi sekadar menang dua kerusi. DAP sahaja yang cerdik di Sabah, yang kali pertama bertanding atas logo Warisan, hampir sapu bersih kerusi-kerusi ditandinginya. Selain Luyang dan Tanjong Papat, DAP meraih Likas, Kapayan, Elopura dan Sri Tanjong. Parti itu hanya tewas di DUN Bingkor kepada calon Bersatu.
Berdepan PRN Johor, menjelang 10 hari sahaja lagi SPR akan menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian, syor ‘khemah besar’ Anwar menyebabkan parti-parti seteru UMNO menjadi kecamuk dan keliru.
Setelah tidak dilayan oleh UMNO yang muak dengan gelagat main dua kolam (ada orang Pas lebih sinis lagi mencukupkan 10 kolam), Naib Presiden Pas, Idris Ahmad tiba-tiba pula mengusulkan Pas boleh bekerjasama dengan Amanah dalam PH di Johor. Tetapi dengan syarat, Amanah tinggalkan DAP terlebih dahulu. Apa? Mahukah PKR?
Pada masa sama, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad yang juga ADUN Kota Iskandar mencadangkan PH buka pintu rundingan dengan Bersatu bagi menghadapi PRN Johor.
Senada dengannya, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mencadangkan pewujudan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) melibatkan PN dan semua parti pembangkang yang bertanding dalam PRN Johor.
MRJ, katanya, perlu terdiri daripada Bersatu, PH, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Warisan.
Sebelum itu, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan mengesahkan Muda secara prinsipnya akan bekerjasama dengan gabungan itu setelah berbincang dengan presidennya, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.
Baik Bersatu mahupun Pas, masing-masing kini terdesak. Mahukah PKR menerima pelawaan Bersatu setelah dilayan teruk Bersatu selama ini?
Pada 24 Februari 2020, seramai 11 ahli parlimen keluar dari PKR dan PH membentuk blok bebas di Dewan Rakyat. Mereka yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali termasuk Zuraida Kamaruddin melompat ke Bersatu, kecuali Baru Bian (Selangau) singgah ke Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Pastinya, ‘khemah besar’ dicanang Anwar memperjuangkan prinsip anti lompat parti dan DAP juga menentang kuat gejala itu.

LUDAH
Mungkinkah isu ‘jilat balik ludah sendiri’ dalam perjuangan politik tidak ada nilai asas? Apa yang lagi penting adalah bukti kekuatan politik. Langkah yang terdahulu mungkin silap, kerana politik merupakan seni bergerak.
Ternyata, Bersatu waktu ini sedang memikirkan mencari kawan-kawan baharu. Berkawan sekadar dengan Pas tidak bawa hasil. Dan ada logiknya bila Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed membalun Pas yang didakwanya mempunyai banyak sejarah buruk dalam menjalinkan kerjasama politik dengan parti lain.
Kata Nur Jazlan, mangsa pertama Pas ialah Semangat 46 yang ditubuhkan pada awal 90-an untuk menentang UMNO dan BN. Selepas menubuhkan kerajaan bersama Semangat 46 di Kelantan di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Pas kian lama kian besar kepala.
Pakatan itu hanya mampu kekal sepenggal apabila Pas didakwa terlalu mahu mendominasi politik dan pentadbiran di Kelantan sehingga mengetepikan Semangat 46.
Cita-cita Pas untuk berkuasa di peringkat Pusat membuatkan mereka mencari lagi pakatan baharu sebelum tertubuhnya Barisan Alternatif (BA) pada 1999, selain Pakatan Rakyat (2008) yang turut melibatkan PKR dan DAP.
Kerana khuatir atau barangkali iri hati terhadap UMNO, Pas meninggalkan Muafakat Nasional (MN) September 2020 untuk beralih ke PN. Nampaknya, PN pun senasib dengan APU, BA dan Pakatan Rakyat – ibarat pokok yang dihinggap dedalu.
Dan UMNO waktu ini hanya tunggu dan lihat akan gelora ‘khemah besar’ Anwar yang sedang membadai PH dan PN. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN