2022: Masih ada cahaya di hujung terowong - Utusan Malaysia

2022: Masih ada cahaya di hujung terowong

WALAUPUN berlaku pemulihan ekonomi negara, terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh kerajaan dengan mengambil kira situasi ekonomi dan kehidupan rakyat ketika ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2020 dan 2021 memahat cabaran getir buat rakyat Malaysia apabila berhadapan pelbagai ujian dan dugaan tanpa henti. Bermula dengan krisis politik pada Februari 2020, disusuli krisis kesihatan iaitu Covid-19 berpanjangan hingga ke hari ini.

Negara bukan sahaja berdepan krisis politik dan kesihatan bahkan berlarutan kepada krisis ekonomi. Terbaharu, krisis bencana alam yang menjejaskan kehidupan rakyat.

Ini bermakna negara berhadapan sekurang-kurangnya empat krisis besar dalam tempoh kurang dua tahun yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Pertama, jika disoroti semula pencapaian negara, kita dapati konteks pemulihan ekonomi khususnya ketika berhadapan krisis kesihatan ada pasang dan surut terutama impak dan kesan daripada penularan varian seperti Delta dan terbaru, Omicron.

Jika dilihat pertumbuhan ekonomi, berlaku peningkatan dari tahun sebelum ini iaitu daripada -5.6 peratus pada 2020 kepada unjuran tiga ke empat peratus (2021).

Pertumbuhan ini dijangka mencapai sekitar lima hingga enam peratus, tahun ini. Ia disebabkan peningkatan signifikan dalam perdagangan global, harga komoditi yang stabil, pembendungan berterusan terhadap pandemik serta sentimen pengguna dan perniagaan yang meningkat secara beransur-ansur. Terbaru, Bank Dunia meramalkan ekonomi Malaysia berkembang pada tahap 5.8 peratus pada tahun ini.

Dalam konteks kadar pengangguran pula, Malaysia menunjukkan perkembangan positif di mana berlaku penurunan dari kemuncak pada Mei 2020 iaitu 5.3 peratus kepada 4.3 peratus (Oktober 2021). Diharapkan kadar pengangguran dapat turun di bawah paras empat peratus seterusnya mencapai sebagaimana sebelum berlaku krisis Covid-19 iaitu sekitar 3.3 peratus.

Dalam konteks eksport negara pula, nilainya melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh 10 bulan 2021 kepada RM1.004 trilion, meningkat 25 peratus daripada RM803.3 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2020.

Selain itu, dalam konteks ekonomi digital, ia menunjukkan peningkatan signifikan iaitu pendapatan e-dagang meningkat kepada AS$190 bilion (RM795 bilion), peningkatan 23 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama, tahun lepas.

Semua indikator ini menunjukkan dengan jelas langkah kerajaan dalam melaksanakan pelbagai pakej rangsangan ekonomi selain pelaksanaan inisiatif dalam Bajet 2021 berjaya membantu usaha pemulihan ekonomi negara termasuk berkembang tiga peratus pada sembilan bulan pertama 2021 berbanding penguncupan 6.4 peratus dalam tempoh sama pada 2020.

Walaupun menunjukkan berlaku pemulihan ekonomi negara, namun terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh kerajaan dengan mengambil kira situasi ekonomi dan kehidupan rakyat ketika ini. Tatkala terjadi krisis, maka kita dapati ekonomi dan kehidupan rakyat khususnya B40 dan sebahagian M40 amat terjejas.

PKP

Jika kita lihat Kajian Selidik Kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada isi rumah dan perniagaan oleh Kementerian Kewangan, menunjukkan satu pertiga (isi rumah dan perniagaan) tidak mampu mengekalkan perbelanjaan lebih dari sebulan, 82 peratus pekerja sektor swasta hanya mempunyai simpanan kurang dua bulan, 68 peratus tiada jualan atau hasil dan 42.5 peratus memerlukan lebih enam bulan untuk pulih.

Selain itu, simpanan rakyat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga menunjukkan trend amat merisaukan. Data sebelum ini menunjukkan seramai 6.1 juta ahli KWSP mempunyai simpanan kurang RM10,000. Daripada jumlah itu, 3.6 juta mempunyai simpanan kurang RM1,000. Seramai 4.4 juta atau 54 peratus ahli bumiputera mempunyai kurang RM10,000, manakala dua juta atau 25 peratus mempunyai kurang RM1,000.

Selain itu, kesan bencana alam iaitu banjir jmemberikan impak besar kepada ekonomi negara yang dianggarkan mengalami kerugian lebih RM15 bilion. Rakyat yang terjejas disebabkan banjir sebahagiannya amat tertekan dari segi ekonomi dan perbelanjaan keperluan pascabanjir yang memerlukan bantuan daripada kerajaan. Dengan tambahan bantuan diumumkan oleh Perdana Menteri semasa perutusan tahun baharu 2022 baru-baru ini, ia amat membantu meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.

Semua inisiatif ini adalah satu langkah amat baik dalam meringankan beban ditanggung oleh mangsa banjir. Namun, bagi jangka masa akan datang, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan beberapa inisiatif antaranya memperkenalkan dan membiayai Insurans Bencana Alam khususnya kepada semua B40 dan sebahagian M40 sebagaimana diperkenalkan sebelum ini, mySalam iaitu inisiatif skim takaful perlindungan kesihatan percuma kepada individu yang layak.

Selain itu, kerajaan dengan kerjasama semua bank boleh mempertimbangkan untuk meneruskan moratorium pinjaman selama enam bulan dari Januari sehingga Jun ini khususnya kepada kategori B40 dan sebahagian M40 yang terjejas disebabkan banjir. Selain itu, berdasarkan kepada situasi semasa terdapat kemungkinan berlakunya peningkatan kadar kebankrapan selepas moratorium ditamatkan. Dicadangkan kerajaan melaksanakan moratorium kebankrapan dalam tempoh masa tertentu sehingga situasi ekonomi negara dan rakyat pulih sepenuhnya.

Akhirnya, diharapkan pelaksanaan gaji minimum baharu sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan, kenaikan gaji semasa rakyat ke tahap lebih baik dan kawalan harga barang akan dapat memberikan sinar harapan kepada rakyat. Kenaikan gaji minimum dan kenaikan gaji semasa banyak bergantung kepada prestasi ekonomi negara yang ketika ini sedang menunjukkan trend positif dan diharapkan prestasi ekonomi negara akan berada pada tahap lebih baik tahun ini. Masih ada cahaya di hujung terowong.

PROFESOR Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×