Suami, ayah jangan buat-buat tak tahu - Utusan Malaysia

Suami, ayah jangan buat-buat tak tahu

SUAMI yang bertanggungjawab harus menyediakan nafkah dalam kemampuannya manakala isteri perlu terus mempertahankan hak harus diterima dan rasional dalam tuntutan dibuat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DAN kewajipan bapa pula adalah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.” (Surah al-Baqarah, 2:233)

Bagi pasangan Muslim, persoalan tanggungjawab suami atau ayah memberikan nafkah bukanlah suatu perkara baharu. Ia secara jelas dinyatakan dalam al-Quran. Sebab atau rasional keperluan membayar nafkah juga bukanlah suatu yang baharu malah telah dimaklumi oleh semua pasangan.

Namun, masih lagi terdapat suami atau bapa yang mengabaikan tanggungjawab ini dalam perkahwinan. Kebanyakan kes yang dilaporkan di mahkamah-mahkamah keluarga adalah keengganan suami ataupun ayah untuk memberikan nafkah kepada tanggungan mereka.

Keengganan ini menyebabkan kebajikan isteri dan anak-anak terabai. Undang-undang keluarga di Malaysia sememangnya meletakkan dan mewajibkan pembayaran nafkah di atas bahu lelaki bergelar suami ataupun bapa.

Bagi perkahwinan secara sivil, selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) jelas memperuntukkan tanggungjawab suami untuk membayar nafkah isteri. Ini boleh dilihat di bawah Seksyen 77 di mana mahkamah diberikan kuasa untuk memerintahkan pembayaran nafkah suami isteri.

Bagi anak-anak pula, Seksyen 92 dan 93 menyatakan kewajipan bagi menanggung nafkah anak-anak dan kuasa mahkamah untuk memerintahkan nafkah tersebut dibayar.

Prinsip dalam Akta 164 tidak banyak bezanya dengan tanggungjawab suami dan ayah beragama Islam untuk membayar nafkah. Merujuk pada Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) jelas menyatakan tanggungjawab membayar nafkah isteri dan anak dalam Bahagian VI. Ini termasuklah kuasa yang ada pada mahkamah untuk memerintahkan seseorang agar membayar nafkah kepada isteri atau anaknya.

Misalnya dalam Seksyen 72, seorang lelaki wajib menanggung nafkah anaknya meliputi tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah.

Kedua-dua sistem perundangan ini memperuntukkan juga kaedah penaksiran kadar nafkah yang harus dibayar. Benar, tanggungjawab lelaki untuk membayar nafkah tetapi kadar nafkah yang dibayar hendaklah bersandarkan kepada kemampuan suami. Isteri atau anak tidak boleh samberono menuntut jumlah nafkah di luar kemampuan suami atau ayah mereka.

Undang-undang secara jelas memperuntukkan tanggungjawab membayar nafkah isteri dan anak-anak. Bagaimanapun, kebanyakan kes keculasan suami membayar nafkah tidak diambil tindakan pantas oleh isteri.

Banyak tuntutan di mahkamah syariah yang hanya dibuat apabila pasangan bercerai sedangkan si isteri mempunyai hak untuk membuat tuntutan nafkah ke atas diri mereka dan anak-anak ketika perkahwinan masih berlangsung. Kelewatan isteri membuat tuntutan akan merugikan mereka terutama sekiranya isteri tersebut merupakan suri rumah sepenuh masa yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Isteri perlu peka sekiranya wujud masalah dalam pemberian nafkah buat diri mereka dan juga anak-anak, tuntutan harus dilakukan dengan pantas di mahkamah syariah untuk mengelakkan keadaan menjadi melarat. Tidak perlu isteri risau tentang tohmahan kononnya timbul isu mengaibkan si suami sekiranya betul mereka culas atau melarikan diri daripada membayar nafkah.

ENTENG

Malah ini akan membantu si isteri dan anak dalam mendapatkan pembelaan hak mereka. Sekiranya perintah nafkah dikeluarkan oleh mahkamah, baik di mahkamah syariah ataupun sivil, suami tidak mempunyai pilihan melainkan untuk membayar perintah nafkah yang diarahkan. Kegagalan membayar nafkah tersebut akan menyebabkan dia berhadapan dengan tindakan pelaksanaan oleh mahkamah.

Terdapat juga suami atau bekas suami yang memandang enteng perintah nafkah mahkamah syariah. Tanpa sedar, mereka juga kini berkemungkinan berhadapan sekatan akaun bank oleh pihak mahkamah. Ini kerana terdapat pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 yang diluluskan serta digazetkan pada 10 Februari lalu.

Kesannya, kini perintah hiwalah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah boleh dilaksanakan oleh bank. Ini adalah sebagaimana diuar-uarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia melalui kenyataan media pada 22 November lalu.

Sehubungan itu, diharapkan selepas ini para suami atau ayah menjadi lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil mudah dalam melunaskan nafkah kepada isteri dan anak-anak. Para suami perlu ingat, mereka juga berhadapan risiko dipenjarakan kerana ingkar perintah mahkamah. Misalnya sebagaimana yang pernah dilaporkan di media, tujuh lelaki dipenjarakan dari 2010 hingga 2015 di Terengganu.

Para isteri seyogia peka akan hak mereka untuk menerima nafkah. Ambillah tindakan seawal mungkin untuk memastikan para suami melunaskan tanggungjawab dalam memberikan nafkah kepada tanggungan mereka. Isteri juga disarankan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada Bahagian Sokongan Keluarga sekiranya terdapat perintah nafkah yang tidak dipatuhi oleh pihak suami.

Kesimpulannya, isu keculasan membayar nafkah tidak seharusnya menjadi masalah dalam institusi keluarga terutamanya dalam sebuah keluarga Muslim. Ini kerana perintah Allah SWT adalah jelas berkenaan tanggungjawab suami untuk menyediakan nafkah kepada isteri.

Suami yang bertanggungjawab harus menyediakan nafkah dalam kemampuannya. Isteri yang peka pula harus terus mempertahankan hak yang harus diterima dan rasional dalam tuntutan dibuat. Hanya dengan ini baharulah sebuah keluarga yang ideal boleh diwujudkan.

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (Wilayah Persekutuan) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN