Berkorban demi bahasa, budaya - Utusan Malaysia

Berkorban demi bahasa, budaya

TUGU Taras Shevchenko yang didirikan di Kiev, Ukraine. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI seorang patriotik tidak salah selagi berada di landasan tepat serta tidak menyanggahi nilai-nilai kemanusiaan yang menuntut supaya sentiasa saling hormat-menghormati dan bertolak ansur. Semangat patriotisme dalam kalangan rakyat adalah penting agar mampu menjadikan sesebuah bangsa dan negara itu hebat dan disegani seantero dunia.

Memelihara agama, negara, bahasa dan bangsa merupakan antara tuntutan wajib dilunaskan oleh mereka yang dilahirkan dan dibesarkan di sesebuah negara. Perkara-perkara tersebut dapat mewujudkan sebuah masyarakat lebih produktif lahir daripada semangat patriotisme tinggi. Ramai tokoh hebat Melayu seperti Tok Janggut, Mat Salleh, Mat Kilau yang suatu ketika dahulu bermati-matian mempertahankan tanah air daripada penceroboh kini hanya sekadar menjadi cerita klasik yang tidak lagi diminati apatah lagi dihayati oleh kebanyakan generasi baharu.

Hakikatnya, semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat semakin pudar. Bendera negara sering diperkotak-katikkan, bahasa kebangsaan semakin jarang dipertuturkan dan Rukun Negara tidak lagi dihayati sepenuhnya.

Itu belum lagi sikap perak sebilangan rakyat Malaysia yang tidak mampu bertutur dengan baik dalam bahasa kebangsaan. Perkembangan ini cukup berbeza dibandingkan negara-negara luar yang sentiasa tegas dan jitu dalam memelihara khazanah dan identiti mereka.

Saya ingin berkongsi kisah teladan dua tokoh kebangsaan Ukraine yang wajar dijadikan contoh. Perjuangan mereka perlu dikaji dan difahami dengan baik dalam memahami kepentingan untuk mencintai tanah air dan perjuangan memelihara khazanah bangsa yang membentuk sesebuah identiti.

Taras Shevchenko, sosok yang mungkin tidak pernah didengari oleh kebanyakan kita.

Taras yang dilahirkan di sebuah perkampungan bernama Cherkasy Oblast juga merupakan seorang seniman, penyair, pelukis dan penulis berkaliber. Figura yang dihormati ini membukukan segala penulisan syair-syair patriotiknya dalam Kobzar pada 1840.

Perjuangan kebangsaan Taras ternyata tidak disenangi oleh pemerintah waktu itu. Pada 5 April 1847, beliau ditahan pihak berkuasa Rusia setelah Tsar Nikolai, Raja Empayar Rusia membaca salah satu puisinya berjudul Mimpi ditulis dalam bahasa Ukraine.

100 BAHASA

Motif lain penahanan beliau juga disebabkan perjuangan dan seruannya untuk memerdekakan tanah air daripada penjajahan Rusia. Beliau ditahan selama 10 tahun sebelum dibebaskan pada 1857. Taras menghabiskan detik-detik terakhirnya dengan menulis puisi dan melukis sebelum meninggal dunia di Saint Petersburg pada Mac 1861 dalam usia 47 tahun disebabkan sakit.

Semangat patriotismenya begitu kuat sehinggakan jasadnya yang telah disemadikan di Smolensky (Rusia), dipindahkan ke Ukraine kerana menghormati wasiatnya yang tercatat dalam puisi berjudul Zapovit.

Urusan pemindahan jenazah dilakukan oleh rakan-rakannya dan dikebumikan di Bukit Chernecha yang sekarang disebut sebagai Bukit Taras, terletak berdekatan Sungai Dnieper, Kaniv. Banyak karya Taras yang mengimpikan detik-detik tanah airnya menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat bahkan sehingga kini, banyak puisi dan lagu dihasilkannya dijadikan lagu rakyat bagi menaikkan semangat patriotik dalam kalangan warga Ukraine.

Buku yang menghimpunkan puisinya, Kobzar pula diterjemahkan ke dalam lebih 100 bahasa manakala tugunya dibina di 35 negara termasuk di Washington DC, Amerika Syarikat yang diukir dengan gangsa. Bagi warga Ukraine, Taras ialah simbol kepada kebebasan.

Selain Taras, perjuangan Mykhailo Drahomanov juga perlu diketengahkan. Beliau merupakan seorang pemimpin, ahli ekonomi dan sejarawan Ukraine pada abad ke-19. Semangat cintakan Ukraine memotivasikannya untuk mewujudkan sebuah paltform demokratik yang memperjuangkan bahasa dan tanah airnya.

Sikap anti-Ukraine yang diterapkan oleh pemerintah Rusia waktu itu menjadikan Mykhailo sebagai mangsa diskriminasi apabila beliau dipecat dari Universiti Kyiv. Namun, semangat juangnya yang tinggi tidak pernah runtuh bahkan terus bergiat aktif dalam memaklumkan kepada dunia tentang penindasan bahasa dan budaya Ukraine oleh kerajaan Rusia yang mewujudkan satu perintah rahsia disebut Ems Ukaz yang melarang segala pencetakan dan penerbitan dalam teks atau bahasa Ukraine.

Hanya untuk memperjuangkan bahasa sahaja, mereka terpaksa berhadapan segala dugaan dan rintangan yang berat. Namun, hasilnya hari ini kita dapat lihat Ukraine berdiri sebagai sebuah negara bukan sahaja dengan identiti sendiri bahkan rakyatnya sanggup berkorban demi mengekalkan jati diri bangsa mereka.

Semangat patriotik bukan­lah sekadar mengibarkan ben­dera, menghayati lagu kebangsaan atau sekadar melaungkan slogan merdeka, tapi ia perlu dipraktikkan dan diperjuangkan sepanjang masa. Melihatkan situasi di negara kita yang seperti cacamarba ini, adakah kita mempunyai identiti kebangsaan?

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×