Tiada sebab tidak harus disokong - Utusan Malaysia

Tiada sebab tidak harus disokong

BAJET 2022 dianggap terbaik memandangkan ia bukan sahaja menerima pujian dari pembangkang tetapi selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).–UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI yang dimaklumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Bajet 2022 yang dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober lalu terhasil daripada siri turun padang dan jelajah negeri, perbincangan dengan lebih 30 sesi kumpulan fokus dan 80 sesi sumbang saran bersama ahli-ahli Parlimen merentasi doktrin politik.

Lebih jauh lagi, selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu yang menghendaki proses penyediaan Bajet 2022 dirunding dan dipersetujui secara bersama pada dasarnya, tiga siri rundingan Bajet 2022 dengan PH diadakan.

Malah, Setiausaha Publisiti DAP merangkap Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua sendiri pada 29 Oktober lalu, memberikan pujian kepada Tengku Zafrul kerana bersetuju menerima pakai beberapa langkah kritikal yang dikemukakan oleh PH melalui sesi-sesi sumbang-saran yang diperuntukkan dalam MoU berkenaan.

Satu cadangan PH yang diterima pakai dalam Bajet 2022 ialah supaya diperuntukkan dana RM30 bilion bagi membantu golongan usahawan yang terjejas ekoran Covid-19, di mana Bajet 2022 memperuntukkan dana RM40 bilion di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (atau Semarak Niaga) untuk memanfaatkan setiap golongan usahawan.

Satu lagi cadangan PH yang diterima pakai ialah supaya perlindungan sosial negara di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diluaskan liputannya, di mana Bajet 2022 telah meluaskan manfaatnya kepada sembilan kategori pekerja sendiri baharu antaranya petani, nelayan, penjaja, artis, ejen pelancongan dan petugas Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Beberapa pengumuman lain dalam Bajet 2022 yang selaras dengan kehendak PH ialah seperti jaminan penyediaan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan RM4.8 bilion di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (atau Jamin Kerja), perluasan skim insurans perubatan khas untuk B40 mySalam, serta penyediaan dana khas pelaburan strategik sehingga RM2 bilion bagi menarik pelaburan asing strategik dalam kalangan syarikat multinasional.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong pula memuji pengumuman Tengku Zafrul bahawa kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dengan tujuan meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara bagi memastikan kemampanan fiskal dan menyokong kestabilan ekonomi makro.

Disebabkan akomodasi besar kerajaan kepada PH yang diakui sendiri oleh sebahagian pemimpin PH, maka amatlah janggal sekali bila ada pemimpin-pemimpin PH lain termasuk dari DAP yang masih lagi mempertikaikan kandungan Bajet 2022. Apatah lagi bila ada dalam kalangan mereka menyebut mengenai keperluan untuk Bajet 2022 ditolak.

Jauh lebih janggal lagi, bila kritikan yang dibuat adalah didasarkan kepada sentimen perkauman dan keagamaan seperti ia kononnya adalah bajet berat sebelah (lop-sided) yang mengutamakan golongan bumiputera, Melayu-Islam dan mengesampingkan golongan bukan bumiputera dan bukan Melayu-Islam sedangkan fakta-fakta yang ada membuktikan kritikan ini adalah tidak berasas.

Bila Bajet 2022 memastikan agenda pemerkasaan bumiputera terus diberi keutamaan dalam usaha merapatkan jurang antara kaum di negara ini dengan menyediakan peruntukan RM11.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan bumiputera, maka ia bukanlah bajet berat sebelah malah bertepatan dengan realiti semasa.

Majoriti terbesar penduduk negara ini adalah golongan bumiputera yang masih jauh ketinggalan di mana sewaktu membentangkan Usul Mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan jurang pendapatan penengah antara bumiputera dan kaum Cina semakin melebar, iaitu empat kali ganda pada 2019 berbanding 1989.

KELUARGA MALAYSIA
Begitu juga pemilikan ekuiti korporat bumiputera yang masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus di mana status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran 2019 adalah seperti berikut: pegangan bumiputera hanya mencapai 17.2 peratus; bukan bumiputera 25 peratus; pegangan asing 45.5 peratus; dan nomini 12.3 peratus.

Sebab itulah bila Perdana Menteri memberi jaminan agenda bumiputera akan terus diperkasa dalam RMK12 untuk mencapai pembangunan sosioekonomi lebih adil, saksama dan inklusif selaras semangat Keluarga Malaysia dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, maka ia diterima dan RMK12 diluluskan oleh Parlimen.

Malah, Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan sewaktu PH memerintah negara pun tidak berani untuk mengusik struktur asas negara ini di mana beliau juga turut memperuntukkan sejumlah dana yang besar, iaitu RM7.6 bilion dan RM8 bilion untuk agenda membantu institusi dan usahawan bumiputera dalam Bajet 2019 dan Bajet 2020.

Begitu juga peruntukan RM1.5 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam Bajet 2022 dan tidak berbeza dengan peruntukan RM1.2 bilion dan RM1.3 bilion diberi Guan Eng dalam Bajet 2019 dan Bajet 2020.

Bajet 2022 juga bukan setakat mengekalkan program khusus untuk kaum Cina dan India yang terkandung dalam bajet oleh Guan Eng, malah menambah jumlahnya menjadi sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan program memperkasa sosioekonomi komuniti Cina dan RM145 juta untuk komuniti India.

Oleh itu, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia dan MoU, semua pihak hendaklah segera berhenti daripada terus memainkan sentimen politik murahan, termasuk untuk mensensasikan kandungan Bajet 2022 yang tidak mengandungi apa-apa isu besar pun dari segi dasarnya. Sebaliknya perlulah fokus kepada usaha pemulihan negara.

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×