Sultan Alauddin yang warak, berpengetahuan - Utusan Malaysia

Sultan Alauddin yang warak, berpengetahuan

SULTAN Alauddin ialah Sultan Selangor kelima.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASAS pemerintahan negara kita adalah berpaksikan Islam dan kedaulatan raja-raja Melayu sebagai ketua utama. Prinsip asas ini harus difahami dan ditaati oleh seluruh rakyat, khususnya mereka yang berhasrat untuk menjadi pemimpin negara.

Raja-raja Melayu merupakan ketua agama Islam negeri, juga mempunyai kuasa eksekutif dalam sistem pemerintahan negeri masing-masing sebagaimana digariskan dalam undang-undang tubuh negeri. Sejarah membuktikan, kerajaan-kerajaan Islam di alam Melayu memang terkenal dan hebat. Sistem pemerintahannya adil dan begitu menitikberatkan keutuhan ikatan hubungan antara raja dan rakyat.

Baru-baru ini, saya berpeluang menghadiri kuliah bersama Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaludin mengenai ketokohan Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah ibni Almarhum Raja Muda Musa. Baginda merupakan Sultan Selangor kelima memerintah dari 1898 hingga 1938.

Sultan Alauddin terkenal sebagai sultan yang sangat warak dan berpengetahuan tinggi dalam bidang agama. Baginda memainkan peranan besar menerapkan nilai serta prinsip Islam dalam sistem pemerintahan dan kehidupan harian rakyat. Baginda sangat menghormati golongan ulama. Selain melaksanakan pembangunan dalam bentuk fizikal, baginda berusaha keras menaikkan syiar dan syariat Islam. Satu perkara yang sangat jelas ialah baginda berusaha mengukuhkan fahaman Islam dalam kalangan rakyat dengan memantapkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, mazhab Syafii.

KITAB

Sultan Alauddin menulis sekurang-kurangnya tiga buah kitab agama dalam tulisan Jawi yang menyentuh bidang akidah, tauhid, akhlak dan dakwah. Dalam Kitab Pohon Agama Bahagian Rukun Iman yang dibicarakan dalam kuliah tersebut, baginda menulis mengenai akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, khususnya tentang sifat 20.

Dua kitab nukilan baginda memperincikan perihal mendidik dan melatih kanak-kanak menurut perspektif Islam, iaitu Nasihat (Pemilihan Guru) Melatih Kelakuan Perjalanan Adab Kanak-Kanak Pelajaran di Dalam Sekolah Melayu-Agama-Negeri Selangor Darul Ehsan dan Kitab Tauhid, Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan.

Baginda juga amat kreatif dalam penulisan Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan di mana penyampaiannya dibuat dalam bentuk nasihat, soal jawab dan puisi.

Saya mengagumi sikap Sultan Alauddin yang berpandangan jauh dan amat menitikberatkan pendidikan kanak-kanak dalam usaha membina negara bangsa. Tulisan-tulisan baginda merupakan bukti jelas kehebatan pemikiran seorang sultan sebagai ulil amri.

PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×