Kereta elektrik (EV) kena mulakan sekarang! - Utusan Malaysia

Kereta elektrik (EV) kena mulakan sekarang!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERETA elektrik atau EV memang bukan untuk semua. – Ini saya rumuskan setelah tiga tahun memiliki sebuah Renault Zoe terpakai. Walaupun dengan jarak perjalanan 150 Kilometer (km) sekali caj, ia masih antara EV yang paling popular di Eropah dan untuk saya, Renault yang paling lasak.
EV bukannya sesuatu yang boleh saya pandu uji dalam tempoh satu atau dua hari, ataupun berpandukan Google kerana ia memerlukan perubahan daripada gaya hidup saya sendiri.
Di bawah saya rumuskan secara ringkas apa yang saya pelajari setelah memiliki dan masih memiliki sebuah EV.

1 Ia tidak boleh menjadi satu-satunya kenderaan saya.
Jarak perjalanan 150 km sebenarnya lebih daripada mencukupi untuk kegunaan seharian keluarga tetapi untuk perjalanan jauh seperti balik ke kampung halaman atau menghadiri tugasan luar, ia tidak praktikal.

2 Anda perlu tukar cara pemanduan
Kalau tanya pada yang taasub, mereka akan kata EV ini tidak perlu banyak perubahan – sama seperti kereta berenjin biasa. Salah sebenarnya kerana bateri akan terlalu cepat habis tenaga sekiranya anda mempunyai kelajuan malar yang tinggi dan sering menggunakan lebuh raya.
EV sekarang lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar yang sesak, seperti apa yang berlaku di negara luar. Di atas lebuh raya, anda perlu berhati hati dengan jarak caj yang tinggal kerana EV tidak mampu menjana elektrik ketika jalan raya lurus dan tidak berhenti. Dalam erti kata lain, anda perlu lebih ‘lembut’ dengan pendikit.
3 Anda perlu prasarana
di rumah
Lupakan stesen pengecaj awam. Selagi ia tidak disambungkan ke rangkaian, anda tidak akan tahu keadaan stesen pengecaj itu sehingga anda sampai ke sana. Anda perlu keluarkan modal untuk pasang pengecaj di rumah kerana ia adalah lebih mudah. Tiba waktu malam, anda caj dan tidur. Esok pagi, terus guna!
4 Memang jarang perlu diservis tapi
EV memang tidak ada enjin untuk diservis. Namun begitu, servis tahunan masih diperlukan untuk memeriksa bahagian mekanikal lain seperti sistem gantungan, brek, pendingin hawa dan lain-lain. Jangan ingat ia langsung tidak ada selenggaraan ya!

5 Lebih mudah dijaga tapi …
Ya, ia adalah sebuah kenderaan yang paling mudah untuk dijaga. Tidak ada servis berkala dan tidak perlu isi bahan api. Tetapi jika ada komponen elektronik yang rosak, seperti pengecaj onboard atau inverter, anda tidak punya pilihan lain kecuali pergi ke wakil pengedar yang sah.
Tidak ada mekanik di bawah pokok ceri untuk membantu anda kerana dalam dunia kereta, EV adalah umpama makhluk asing dari planet Marikh. Oleh itu, hanya beli model-model EV yang mempunyai wakil pengedar yang sah di Malaysia!

6 Mahal
Ramai percaya harga kereta di Malaysia mahal kerana cukai. Baiklah, siap sedia untuk melihat harga EV kerana walaupun tidak ada sebarang cukai dikenakan, harganya masih mahal. Hal ini dikatakan demikian kerana komponen bateri dan elektronik memang masih mahal. Berapa peratus keuntungan syarikat kenderaan pun sebenarnya tidak ada sesiapa yang tahu kerana semua mahu menuding jari kepada cukai dari kerajaan, bukan?

7 Anda perlu EV sebenarnya
EV adalah masa hadapan automotif. Mahu atau tidak, Malaysia tidak mempunyai pasaran yang besar untuk mengikut nafsu pengguna tempatan. Atas dasar yang sama, sekiranya kita mahukan teknologi terkini dalam dunia automotif, EV adalah hala tuju baharu. Sama ada kita perlahan-lahan mengubah hidup kita untuk menerima EV atau kita terkial-kial mencari alat ganti untuk kereta petrol/diesel kita yang semakin lama semakin pupus.

8 EV terpakai antara
cara terbaik
Membeli EV terpakai adalah cara paling ekonomikal ke arah penggunaan tenaga baharu automotif ini. Jangan risau berkaitan bateri kerana kebanyakan EV mempunyai sistem penyejuk yang mampu menjaga baterinya, dan mencapai jangka hayat lebih daripada 10 tahun.
Buat masa sekarang, Renault Zoe adalah pilihan terbaik kerana ia popular di dunia, baterinya menggunakan sistem penyejuk aktif dan harganya di bawah RM50,000 sahaja!
Jika anda mempunyai persoalan berkaitan EV, cuma emel saya dan saya cuba bantu berdasarkan pengalaman saya memiliki EV.

PENULIS ialah Penganalisis Automotif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya