UMAT Islam adalah satu, tidak kira siapa dan di mana mereka berada. Oleh itu, rakyat Malaysia seharusnya lebih peka dengan segala isu berkaitan umat Islam di seluruh dunia tanpa bersikap memilih dan dwistandard.
Tahukah anda, Isnin ini merupakan hari kemenangan umat Islam sedunia? Mengapa saya katakan sedemikian?
Ini kerana pada 8 November 2020, Azerbaijan berjaya membebaskan sebahagian tanah air mereka daripada penjajah Armenia dalam peperangan Nagorno-Karabakh yang berlangsung selama 44 hari.
Armenia menakluki banyak wilayah Azerbaijan sejak 30 tahun lalu sekalipun majoriti negara di dunia termasuk Malaysia serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyatakan dengan jelas akan integriti wilayah-wilayah Azerbaijan. Namun, Armenia dengan angkuhnya tidak menghiraukan segala amaran dan desakan dunia sebaliknya terus membuli dan menzalimi Azerbaijan.
Lebih menyedihkan, banyak media antarabangsa tidak begitu mempedulikan isu ini, bahkan ada sebahagiannya cuba mengiktiraf segala tindak tanduk Armenia yang salah itu.
Peperangan yang bermula dari 27 September hingga 10 November 2020 memberi pengajaran dan peringatan yang jelas terhadap Armenia bahawa Azerbaijan bukan lagi sebuah negara yang boleh dibuli sewenang-wenangnya seperti dilakukan mereka dahulu. Azerbaijan sememangnya sudah pun melakukan persiapan rapi dengan barisan tentera yang sangat patriotik dan sedia mati demi mempertahankan tanah air di samping sokongan padu daripada rakyat yang sudah lama bersabar dengan segala penindasan.
Apa yang lebih penting, peranan dimainkan oleh pemimpin tertinggi Azerbaijan, Presiden Ilham Aliyev dalam memastikan negaranya sentiasa terjaga, terbela dan dilindungi di semua peringkat. Kebijaksanaan Ilham dalam mengatur strategi peperangan membuahkan hasil. Tidak dilupakan segala doa dan sokongan umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Namun, penting untuk diketahui, Armenia yang sentiasa mencetuskan konflik dan peperangan serta Azerbaijan wajar bertindak untuk mempertahankan tanah air mereka.
Azerbaijan berulang kali menyatakan dasar agresif Armenia menimbulkan ancaman kepada keamanan dan keselamatan di rantau tersebut yang boleh meningkatkan ketegangan.
Peperangan tercetus apabila tentera Armenia menembak ke arah penduduk awam dan angkatan bersenjata Azerbaijan dari beberapa arah menggunakan pelbagai jenis senjata termasuk artileri berat. Sebagai tindak balas kepada provokasi jahat Armenia, Azerbaijan melancarkan serangan balas.
Hasil daripada operasi ketenteraan selama 44 hari itu, tentera Azerbaijan berjaya membebaskan Jabrayil, Fuzuli, Zangilan, Gubadli dan Shusha-Karabakh yang merupakan sebuah tempat istimewa dan penting bagi sejarah dan budaya Azerbaijan.
RUMIT
Begitu juga dengan pembebasan banyak kampung dan penempatan di daerah-daerah Tartar, Khojaly, Khojavand dan Lachin. Lebih 300 penempatan termasuk lokasi strategik penting di Aghdara, Murovdagh dan Zangilan turut dibebaskan.
Pejuang-pejuang Azerbaijan mara langkah demi langkah menerobos masuk ke setiap benteng binaan Armenia yang rumit lagi sukar selama bertahun-tahun dan membebaskan tanah air mereka dengan darah dan nyawa.
Pada 8 November 2020, Ilham dalam ucapan penuh semangat berkata dengan tegas, “wahai Shusha, kamu telah bebas! Wahai Shusha, kami telah kembali! Wahai Shusha, kami akan menghidupkan anda semula! Shusha milik kita! Karabakh milik kita! Karabakh adalah Azerbaijan!”
Kata-kata itu melambangkan permulaan kepada kemenangan dalam Perang Patriotik. Memandangkan kepentingan hari yang bersejarah itu, maka 8 November diisytiharkan sebagai Hari Kemenangan di Republik Azerbaijan melalui perintah yang ditandatangani oleh Ilham pada 3 Disember 2020.
Kini, kejayaan strategi dan operasi ketenteraan dalam membebaskan bumi Azerbaijan diajar di pelbagai institusi ketenteraan dan sekolah terkemuka di seluruh dunia.
Pengalaman dalam segala perancangan ketenteraan yang profesional dan penggunaan teknologi inovatif oleh tentera Azerbaijan dalam peperangan tersebut telah menarik perhatian komuniti antarabangsa.
Namun, ini sekadar satu sisi daripada siri kisah kejayaan Azerbaijan kerana yang paling penting ialah tentera Azerbaijan tidak pernah menyasarkan orang awam. Ilham secara khusus telah mengarahkan kepimpinan tentera supaya sentiasa berhati-hati dan mengelakkan kematian penduduk awam sama ada sewaktu atau setelah peperangan.
Ini menunjukkan Azerbaijan tidak pernah mengabaikan kewajipan kemanusiaan ketika dalam peperangan walaupun Armenia bukan sahaja memusnahkan penempatan awam, bahkan menjadikan masjid suci umat Islam sebagai kandang babi atau kandang lembu!
Kerajaan Azerbaijan sangat menghargai kedudukan dan ketegasan Malaysia yang sentiasa menyokong Azerbaijan dalam isu ini. Azerbaijan juga menadahkan tangan menerima segala bantuan dan pelaburan dari mana-mana negara terutamanya Malaysia untuk turut serta dalam pembangunan semula wilayah-wilayah Azerbaijan yang hancur akibat keganasan Armenia.
Pembinaan semula masjid, jalan raya, jambatan dan rumah yang hancur binasa semuanya sejak tiga dekad penaklukan Armenia perlu dijalankan supaya masyarakat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Kemenangan Azerbaijan adalah kemenangan umat Islam sedunia. Kita seharusnya menjadikan semangat juang pemimpin, rakyat dan tentera Azerbaijan sebagai contoh teladan. Bahkan ini turut merupakan amaran dan mesej jelas terhadap kita sendiri supaya sentiasa menjaga tanah air daripada musuh dari dalam dan luar.
Selamat Hari Kemenangan, Azerbaijan!
PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.










