SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Ini adalah kali ketiga kerajaan negeri bertukar tangan dalam masa tiga tahun.
Persoalannya, adakah pergolakan politik di Melaka akan berjangkit kepada negeri-negeri lain seperti Perak dan Johor? Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita menyaksikan pelbagai babak politik yang selama ini belum pernah kita saksikan dalam landskap politik negara.
‘Langkah Sheraton’ misalnya, memperlihatkan betapa rapuh sebuah kerajaan campuran tanpa kemenangan dominan sesebuah parti politik yang kuat.
Akibatnya, pemerintahan Kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri bertukar tangan, termasuk pertukaran Perdana Menteri yang berlaku sebanyak tiga kali.
Kita dambakan perubahan tetapi biarlah ia berlaku secara positif dan menguntungkan rakyat. Perubahan tampuk pemerintahan negara yang silih berganti dalam satu jangka waktu singkat akan mengakibatkan dasar pemerintahan turut berubah-ubah.
Hal ini bertambah buruk memandangkan pada waktu sama, negara sedang berhadapan dengan keadaan sukar akibat wabak Covid-19 yang telah banyak menjejaskan kehidupan rakyat. Tanpa kerajaan yang kukuh, sukar untuk menarik pelaburan dari luar dalam skala besar bagi membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
RETORIK
Suasana politik tidak stabil diadun keadaan ekonomi rakyat yang meruncing adalah pemangkin kepada berlakunya konflik yang boleh mengancam keamanan negara.
Situasi begini akan bertambah tenat apabila rasa ketidakpuasan hati rakyat dimanipulasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencapai tujuan mereka.
Sebagai anak muda, saya mengimpikan kerajaan stabil serta dasar-dasar yang boleh mengembalikan kesejahteraan hidup rakyat. Saya mahukan dasar yang menjanjikan masa depan negara lebih cerah, bukannya janji-janji retorik sekadar memancing undi. Saya mahu melihat negara kita kembali menjadi Harimau Asia.
Namun, pada masa sama, rakyat haruslah bertindak secara bijak dan cermat. Dalam dunia politik, fitnah dan kebenaran bercampur aduk dan kadangkala mengelirukan serta mampu memperdayakan kita. Yang pahit tidak semestinya jelik, yang manis tidak semestinya benar.
Permainan persepsi boleh membakar emosi rakyat, lebih-lebih lagi kami yang berdarah muda. Tapi, jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Berfikir dahulu sebelum melangkah dan jangan sampai perasaan amarah menewaskan kewarasan kita.
Anak muda harus celik politik supaya tidak mudah tertipu. Ingatlah tanggungjawab kita ketika memilih pemimpin negara. Kita mahukan pemimpin yang amanah serta boleh memacu negara mencapai kemajuan tetapi pada masa sama, tidak membelakangkan pembangunan kerohanian dan spiritual.
Bagi yang layak, daftarlah sebagai pengundi dan keluarlah mengundi. Tanamkan semangat untuk membina tanah air yang gemilang. Semoga Allah mempertahankan negara kita daripada sebarang musibah.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.










