Doakan lah sahaja Pas… - Utusan Malaysia

Doakan lah sahaja Pas…

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAS telah pilih jalannya memihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bukannya UMNO.

Tanpa Bersatu yang terang-terang ditolak UMNO ke dalam Muafakat Nasional (MN), Pas, tegas presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataan 25 November lalu, telah membuat ketetapan hanya mahu bersama Perikatan Nasional (PN).

Tolak Gerakan sekiranya diambil ahli gabungan yang ‘agak kuat’ dalam PN di Semenanjung, cumalah Bersatu satu-satunya rakan Pas. Lantas Pas sibuk ‘ratibkan’ Bersatu.

Bagaimana agaknya waktu MN bergemerlapan tahun 2019 jika UMNO ketika itu asyik lagukan mahu Parti Amanah Negara (Amanah) menjadi rakan sepakatannya? Menyinga agaknya Pas?

Mengikuti perenggan ke perenggan kenyataan Hadi, jelas sekali Pas katanya tidak mahu sekadar menjadi ‘parti anak tangga’ atau parti yang menumpang semata-mata. Tidak disebut penumpang kepada siapa, tetapi semua pasti merujuk UMNO.

Biarpun demikian, realiti Pas dalam politik Malaysia sebenarnya sudah lama parti itu menjadi ‘penumpang’ kepada parti-parti utama. Bukan kepada UMNO semata-mata.

Dan sehinggakan cakap-cakap yang berlegar di persada, Pas ini kingmaker kah atau sekadar broker?

Berbeza bak langit dengan bumi dengan UMNO, Pas telah ‘mencuba’ banyak parti untuk ‘hidup’ dalam politik tanah air.

Selepas lima tahun UMNO ditubuhkan (1946), pada 1951 sekumpulan ulama keluar dari parti itu menubuhkan Persatuan Islam Se-Malaya atau Pas dengan keahlian longgar, melantik Ahmad Fuad Hassan dari UMNO sebagai presiden.

Sejak kemunculan Pas 23 Ogos 1951 sehingga berkembang menjadi sebuah pertubuhan politico-dakwah, sejarah parti itu penuh beronak duri.

Penyertaan Pas dalam pilihan raya 1959 biarpun hanya menang 13 kerusi Parlimen daripada 104 yang dipertandingkan, telah memberikan kejayaan besar apabila Terengganu dan Kelantan berjaya dikuasai.

Sejurus selepas pilihan raya, perpecahan berlaku dalam kerajaan Pas di Terengganu dan ia jatuh, diganti dengan kerajaan Perikatan.

Pada 1964 dan 1969, prestasi Pas merosot dengan memperoleh hanya sembilan kerusi pada 1964 dan 12 kerusi pada 1969.

Selepas rusuhan kaum 1969, Pas menyertai Barisan Nasional (BN) dan memenangi 14 kerusi. Perpecahan berlaku dalam Pas dan parti itu keluar BN.

Pada 1978, 1982 dan 1986, prestasi Pas menjunam semula. Ia mendapat lima kerusi pada 1978, lima kerusi pada 1982 dan hanya satu kerusi pada 1986.

SUSUT BILA SENDIRI

Apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46), Pas mengadakan pakatan dengan S46. Dengan itu pada PRU 1990 dan 1995, Pas memenangi tujuh kerusi setiap PRU.

Pada 1999, Pas menyertai Barisan Alternatif bersama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Hasil kerjasama dengan DAP dalam Barisan Alternatif (PKR, Pas, DAP), kemenangan Pas bertambah kepada 27 kerusi Parlimen pada 1999.

Pada 2004 apabila DAP tidak menyertai Barisan Alternatif, Pas memperoleh cuma tujuh kerusi.

Pada 2008 dan 2013, apabila Pakatan Alternatif dijadikan Pakatan Rakyat dan DAP kembali menyertainya, prestasi Pas meningkat semula. Pada 2008, Pas memenangi 23 kerusi dan pada 2013, 21 kerusi.

Yang ketara dari rekod tempoh waktu itu ialah pencapaian Pas menyusut apabila bersendirian.

Sebaliknya apabila berpakat dengan DAP pada 1999, 2008 dan 2013, Pas mendapat kemenangan tertinggi iaitu 27 pada 1999, 23 kerusi pada 2008 dan 21 kerusi pada 2013.

Namun rekod Pas dalam PRU14 menunjukkan tanpa bersama DAP, Pas kuyup.

Masih tergiang-giang lagi di telinga orang Melayu menjelang PRU14 bila Hadi mengatakan tiada satu pun parti yang dapat membentuk kerajaan selepas PRU 9 Mei 2018 itu.

Ekoran itu, Hadi menganggap Pas sebagai kingmaker jika parti itu menang 40 kerusi dan menjadi tempat bergantung parti lain yang mahu menubuhkan kerajaan.

Namun pada PRU itu, Pas hanya menang 18 kerusi Parlimen. Parti itu cuma mengekalkan pentadbiran di Kelantan serta menawan Terengganu.

Pas sering meletakkan diri sebagai ‘pembela agenda umat sebenar’, tetapi malang realitinya indah khabar dari rupa.

Ke mana hilangnya prinsip Pas dalam isu lompat parti? Abdul Hadi sekitar September 2015 bukan main lantangnya dalam soal ‘katak’ ini.

Semasa berucap pada program Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Pulau Serai, Dungun tersebut, beliau mengulangi gesaan supaya wakil rakyat Pas meletakkan jawatan jika menyertai parti lain termasuk Amanah.

Ia susulan semua calon Pas pada PRU 2013 telah melafazkan bai’ah bersumpah dan mereka akan dilaknati Allah SWT jika melanggar bai’ah itu.

‘KERUSI KAMI DICURI’

Satu perkara yang patut ditanyakan oleh pemimpin-pemimpin Pas kepada akar umbi UMNO kenapa mereka menolak Bersatu, jawapannya tetap sama sepanjang masa:

“Kerusi-kerusi Parlimen kami yang menang telah dicuri mereka. Adakah Pas akan memaafkan pencuri kerusi Pas?”

Tempoh hari semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, saya bertanyakan beberapa pemimpin kanan UMNO pasal pengagihan kerusi yang tidak dipersetujui Bersatu dan Pas dengan UMNO.

Dalam banyak-banyak jawapan, satu jawapan yang dikatakan adil barangkali adalah:

“Bersatu tidak bolehlah mendakap pokok yang terlampau besar. Tidak terdakap tangan, tidak sampai ke seberang. Carilah pokok yang kita boleh sampai tangan.

Mereka perlu buktikan boleh mentadbir parti secara berkesan untuk dapat dinilai orang di peringkat akar umbi. Tapi mana akar umbinya?”

Biar apa pun hujah penolakan Abdul Hadi terhadap MN, UMNO dikatakan ‘sudah tak ambil pusing’. Sorang pun soranglah.

Namun baik UMNO atau parti-parti Melayu yang banyak kelompoknya perlu akur cabaran cukup getir untuk bertapak di kerusi-kerusi marginal.

Penguasaan kerusi marginal bermaksud sokongan kedua-dua bangsa (Melayu dan Cina) perlu untuk meraih undi.

Ia penting untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Ketika ini terdapat antara 30 hingga 40 kerusi majoriti Cina atau 13.5 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen.

Kebanyakannya di kawasan bandar besar Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.

Daripada 222 kerusi Parlimen, terdapat 155 kerusi luar bandar yang dikuasai Melayu/Bumiputera. Sabah dan Sarawak pula mempunyai 56 kerusi Parlimen iaitu 31 di Sarawak, 25 di Sabah.

Berbual dengan beberapa pemimpin kanan UMNO malam kelmarin bilamana bercakap pasal tindak tanduk Hadi serta ‘gunting dalam lipatan’ dalam UMNO sendiri, kata salah seorangnya meminjam pesanan pendiri UMNO, Almarhum Datuk Onn Jaafar.

Kata Allahyarham: “Kita (UMNO) hendaklah menggesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita.

“Jangan sampai orang lain menggesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekan”.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya