Bantu yang ikhlas jaga anak yatim - Utusan Malaysia

Bantu yang ikhlas jaga anak yatim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) pada 23 Oktober lalu. – IHSAN KEMENTERIAN KOMUNIKASI & MULTIMEDIA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANAK-ANAK yatim adalah golongan yang mendapat perhatian khusus di dalam al-Quran dan Nabi Muhammad SAW sepanjang hayat baginda. Sebanyak 22 kali perihal anak yatim disebut dalam al-Quran. Keseluruhan ayat tersebut memerintahkan kepada kaum Muslimin untuk menyantuni, membela dan melindungi anak yatim. Hal ini disebabkan pada diri anak yatim itu terdapat beberapa kelemahan dan kekurangan yang harus dibantu.

Definisi yatim dalam Islam adalah mereka yang kehilangan bapa. Dalam bahasa Melayu pula, ada istilah yatim piatu bagi yang kehilangan kedua-dua ibu dan bapa. Anak-anak yatim perlu menjadi tanggungjawab wali mereka selepas kematian ibu bapa iaitu datuk, bapa saudara, adik-beradik dan seterusnya.

Sehubungan itu, kerajaan disyorkan memberikan potongan cukai khas kepada ahli keluarga seperti dinyatakan yang menjaga anak-anak yatim di samping bantuan khas kepada keluarga yang menjaga mereka. Penjagaan anak yatim oleh wali atau keluarga terdekat ini sebenarnya lebih berkesan kerana membantu menstabilkan emosi, psikologi, pendidikan, persekitaran keluarga dan kasih sayang di dalam kitaran kehidupan anak-anak yatim tersebut.

Bagi anak-anak yang kehilangan ibu, disyorkan kerajaan menyediakan bantuan khas yang sesuai untuk golongan bapa mendapatkan pasangan baharu supaya boleh membantu menjaga anak-anak.

Bukan sekadar itu, dana khas itu juga perlu diberikan kepada ibu-ibu yang sudi menjaga anak tiri supaya mereka dapat menjaganya seperti anak sendiri. Malah rumah kebajikan untuk anak yatim juga diberikan bajet khas sekiranya mereka mengambil anak yatim akibat pandemik Covid-19.

SINDIKET

Bilangan anak yatim di negara ini bertambah berikutan pandemik. Lebih 4,700 anak yatim kehilangan ibu bapa tersayang kesan Covid-19 dan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM25 juta melalui Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) bagi memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa hadapan kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, apakah perincian kerajaan melalui YKM ini? Adakah anak-anak yatim lain yang turut kehilangan ibu bapa tetapi bukan disebabkan oleh virus Covid-19 akan turut termasuk di bawah peruntukan ini? Kerajaan perlu memperincikan strategi untuk menarik syarikat korporat, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudah lama membantu anak-anak yatim dan individu perseorangan supaya turut sama terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha murni ini.

Yang lebih penting, pelan jangka masa panjang yang dirancang melalui YKM perlu dinyatakan. Siapa yang terlibat dan apakah manfaat yang akan diperoleh anak-anak yatim melalui inisiatif ini.

Kerajaan juga mesti menangani dengan tuntas kewujudan sindiket yang menjalankan bisnes dengan mengeksploitasi anak-anak yatim untuk kepentingan dan keuntungan mereka sendiri. Negara sebelum ini dikejutkan dengan tangkapan suami isteri yang didapati mengeksploitasi 16 anak yatim dengan mendera dan memaksa mereka bekerja sejak 2017.

Pada 2019 pula, sebuah pusat tahfiz amal di Sungai Petani, Kedah ditutup kerana beroperasi tanpa kebenaran selain dipercayai mempergunakan anak-anak yatim dan kanak-kanak untuk mengutip derma dengan menggunakan nama agama bagi menarik simpati orang ramai.

Pengurusan harta anak yatim juga perlu dipantau oleh kerajaan. Harta ini perlu dikembangkan dan tidak wajar dibiarkan beku ‘dimakan’ oleh zakat. Inilah yang diajar oleh Islam. Dicadangkan kerajaan menubuhkan sebuah yayasan khas untuk mengembangkan harta milik anak-anak yatim supaya harta pusaka yang dimiliki itu diuruskan dengan baik sehingga tempoh mereka membesar dan berdikari. Yayasan ini hendaklah diuruskan dengan sebaiknya demi kepentingan mereka pada masa hadapan.

DATUK Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×