NAMPAK gayanya segala pujuk rayu sudah tidak laku apabila UMNO memutuskan untuk bertanding secara solo di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang hingga kini masih menjadi tanda tanya kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum membuat apa-apa pengumuman mengenainya.
Sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober pelbagai spekulasi timbul ekoran hingga kini tidak ada keputusan sama ada ia akan diadakan atau ditangguhkah melalui pengisytiharan darurat.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh baru-baru ini mengatakan mereka akan akan mengadakan mesyuarat khas esok berkaitan urusan PRN Melaka sekali gus memberi bayangan rakyat negeri itu akan mengundi sekali lagi bagi memilih kerajaan negeri yang baharu.
Katanya, SPR membuat persediaan ke arah pelaksanaan PRN itu, melainkan kerajaan mengisytiharkan darurat yang menuntut penangguhan pelaksanaannya.
Apabila DUN dibubarkan, PRN Melaka sepatutnya diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN penggal Ke-14 pada 4 Oktober lalu berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
Jika kerajaan tidak mengisytiharkan darurat, PRN Melaka tidak boleh ditangguhkan melebihi tempoh itu, kuasa terletak pada SPR untuk menjalankan PRN dalam tempoh 60 hari.
Namun isu yang mahu dibincangkan di sini bukan soal bila PRN diadakan atau darurat tetapi mengenai UMNO yang mahu menjadikan Melaka sebagai medan uji kaji kekuatannya.
Ramai yang skeptikal apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO bertindak menjatuhkan kerajaan yang diterajui oleh UMNO sendiri. Sama ada itu satu sandiwara atau apa tidak ada siapa dapat menafi atau mengiyakan.
Yang pasti parti yang lebih enam dekad menguasai politik Malaysia itu lantang mengatakan bahawa mereka akan memasuki PRN Melaka secara solo. Walaupun baiah mereka bersama Pas melalui Muafakat Nasional (MN) rasanya masih lagi sah, namun UMNO telah mencanangkan bahawa mereka akan berentap di Melaka secara bersendirian.
Lagi pula, Pas juga akan tetap bersama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang mana kemungkinan untuk mereka bersama UMNO di PRN Melaka agak sukar untuk berlaku.
Walaupun pemimpin UMNO lain seperti Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan masih lagi berdolak-dalik mengenai kerjasama mereka dengan PN pada PRN Melaka, namun Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memberi gambaran jelas bahawa kerjasama dalam MN dan PN mungkin tidak dapat direalisasikan pada PRN Melaka.
Katanya- “Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo, dan Insya-Allah rakyat memilih parti yang terbaik”.
Berkenaaan hubungan dengan Bersatu, UMNO terikat dengan keputusan dan ketetapan dibuat dalam Perhimpunan Agung 2020 bahawa mereka telah memutuskan kerjasama dengan Bersatu.
Ketetapan telah dibuat oleh para perwakilan bahawa UMNO tidak akan bersama dengan Bersatu dalam pilihan raya tidak kira sama ada PRN atau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Seperti kata Ahmad Zahid, itu adalah kehendak ahli-ahli UMNO dan kepimpinan UMNO di seluruh negeri Melaka.
Bagi pemimpin UMNO veteran Perlis, yang juga Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, UMNO tidak mampu bertanding secara sendirian, sebaliknya perlu berunding dengan PN.
Katanya, bercakap untuk bergerak solo itu memang mudah, tapi tanpa penyatuan dengan parti-parti lain UMNO tidak mampu menggerunkan musuh.
Pada Shahidan, UMNO perlu bekerjasama dengan parti-parti lain dalam menghadapi pilihan raya.
“Kita hendak menang pilihan raya dan kami ada pendekatan kami (Bahagian Arau) untuk bekerjasama. Kita berunding bagi membentuk penyatuan ummah dan itu lebih penting selain merealisasi pertembungan satu lawan satu,” katanya.
Begitu juga pandangan daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin bahawa UMNO perlu berpakat dan bermusyawarah dengan parti-parti Melayu lain jika ingin berjaya dalam PRN Melaka.
Tetapi jika UMNO memilih berpakat terutama dengan Bersatu bermakna mereka memilih untuk mengkhianati mandat yang diberikan oleh akar umbi yang mana risiko kalah jauh lebih besar yang mana kemungkinan ahli akan menolak mereka dalam pilihan raya.
Secara tidak langsung krisis politik Melaka akan menjadi pemutus antara hubungan pemimpin UMNO dan ahli akar umbi berhubung kerjasama dengan pesaing mereka – Bersatu, PKR dan DAP.
Jika tidak yakin untuk bertanding sendiri, beranikah para pemimpin parti itu melanggar mandat ahli mereka di perhimpunan agung lalu bahawa mereka tidak mahu UMNO bekerjasama dengan tiga pihak yang lain?
Seperti kata seorang penganalisis, situasi ini meletakkan UMNO dalam keadan keliru dan seperti retak menanti belah. Apa pilihan yang ada pada para pemimpinnya? Adakah lebih mementingkan kekuasaan dan kepentingan mereka sendiri atau memilih untuk mengikut telunjuk atau kehendak akar umbi?
Jika para pemimpinnya bertindak membelakangkan keputusan perhimpunan agung maka secara langsung kredibiliti mereka terjejas kerana asas kuasa UMNO terletak pada tiga juta ahlinya yang memenuhi setiap ruang di bahagian dan cawangan.
Adakah kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bahawa mereka akan mempertimbangkan cadangan daripada PN dan pimpinan Bersatu untuk bekerjasama pada PRN Melaka akan jadi kenyataan?
Atau persekongkolan dengan DAP menjadi satu lagi pilihan seperti mana yang didedahkan oleh Ab Rauf bahawa telah bertemu dengan ADUN DAP Melaka meminta sokongan mereka untuk menghentikan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan UMNO. Dua-dua ini ditolak oleh akar umbi UMNO.
Ada juga pemerhati politik berpandangan bahawa UMNO tidak mempunyai pilihan lain selain bertanding solo di PRN Melaka. Ini adalah medan untuk menguji sejauh mana kekuatan mereka dalam menghadapi pilihan raya. Jika mereka berjaya maka ini bakal menjadi percaturan selanjutnya bagi menghadapi PRU-15.
Jika gagal, ia mungkin boleh dijadikan alasan untuk memujuk ahli akar umbi supaya membenarkan mereka menjalin kerjasama terutama dengan Bersatu dan PN pada pilihan raya umum akan datang. Apa pun PRN Melaka merupakan medan yang sangat penting untuk UMNO membuktikan kewujudannya.
Penulis ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










