Parti Kuasa Rakyat dilancar - Utusan Malaysia

Parti Kuasa Rakyat dilancar

KAMARAZAMAN YACOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HEBOH seketika jadinya bila sebuah parti baharu bernama Parti Kuasa Rakyat dilaporkan bakal dilancarkan oleh Kamarazaman Yacob di The Diplomat, Kuala Lumpur, esok.

Menariknya, media yang melaporkan mengenai pelancaran parti baharu ini menulis lebih dari sudut Kamarazaman, 72, sebagai abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Saya sebelum ini biasa bercakap dengan Kamarazaman di mana hasil interaksi mendapati beliau seorang pengamat politik yang tajam dengan bacaan-bacaan politik yang betul.

Nama Kamarazaman tidak asing sebagai pendukung Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dari 1972 ke 1974 bersama-sama ramai aktivis lain. Antaranya, Hishamuddin Rais.

Sebagai aktivis kampus, beliau adalah penggerak utama kepada pelbagai demonstrasi mahasiswa atas isu-isu kemiskinan di Baling, Akta Universiti Kolej Universiti serta Perang Yom Kippur.

Ekoran aktiviti-aktiviti beliau di kampus tersebut, namanya berada di tempat teratas di dalam senarai mereka yang mahu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1974. Dan tidak seperti beberapa orang rakannya yang lari bila mendapat tahu mereka berada di dalam senarai yang mahu ditahan, Kamarazaman tegar berada di dalam penjara di bawah ISA.

SEMANGAT 46

Kamarazaman juga mempunyai rekod politik berwarna-warni di mana beliau pernah menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) pada 1973 dan Parti Semangat 46 (S46) pada 1989.

Bersama-sama S46, beliau menjadi Ketua Penerangan Pemuda selain diletakkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1990 berlawan dengan pemimpin UMNO, Tan Sri Sabbaruddin Chik di P.80 Temerloh.

Hasil penyertaan beliau dalam PRU 1990 tidaklah mengecewakan. Walaupun kalah, beza undi tidaklah besar, di mana beliau memperoleh 15,358 undi berbanding 20,128 undi milik Sabbaruddin.

Kamarazaman juga pernah menyertai UMNO pada 1995 dan dalam tempoh tiga tahun sahaja terus terpilih sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Mentakab dalam pemilihan pada 1998.

Bagi menghuraikan pelbagai persoalan mengenai penubuhan parti baharu beliau, saya bertemu Kamarazaman di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Perkara pertama yang dijelaskan oleh Kamarazaman adalah mengenai keluar masuk beliau di dalam beberapa buah parti politik yang disifatkan satu keperluan mengikut keadaan semasa.

Katanya, beliau tidak dapat lari daripada berbuat demikian kerana mencari platform yang membolehkan beliau memainkan peranan yang selaras dengan perjuangan marhaenisme beliau.

“Saya tidak pernah menyimpang daripada perjuangan saya sewaktu di Universiti Malaya dahulu di mana terasnya ialah soal pelajaran percuma, kesihatan percuma dan kediaman asas untuk golongan B40 dan M40.

“Sejak dahulu lagi fokus perjuangan saya adalah untuk memutuskan rantaian kemiskinan dalam kalangan rakyat marhaen, termasuklah memutuskan cengkaman orang tengah terhadap mereka,” kata beliau.

Sebab itulah, kata Kamarazaman, dalam logo parti baharu beliau itu, selain ada logo lima bunga raya yang melambangkan lima Rukun Negara, ada logo lima bunga ros yang melambangkan lima tema, iaitu:

1. Marhaenisme
2. Keadilan Sosial
3. Hak Asasi Manusia
4. Persaudaraan Sejagat
5. Melestarikan Alam Sekitar

Mengikut Kamarazaman, hala tuju parti baharu beliau amat jelas, di mana ia tidak akan sama sekali mengganggu parti-parti Melayu Islam yang sudah kukuh seperti UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

“Saya sedar dengan kedudukan saya sebagai abang kepada Perdana Menteri, apa-apa tindakan saya boleh mengheret nama beliau sekali, sebab itulah saya amat berhati-hati di dalam gerak kerja saya.

“Atas dasar menjaga keharmonian, saya telah memutuskan untuk tidak mengambil pemimpin mana-mana parti tersebut, khususnya mereka yang sudah menjadi ahli Parlimen sebagai ahli parti saya,” kata Kamarazaman sambil menjelaskan parti beliau bukan sahaja selari dengan pemikiran Perdana Menteri, malah mesra kerajaan sedia ada dan Barisan Nasional (BN).

Beliau turut mendedahkan pernah ditawarkan untuk menjadi timbalan presiden di dalam sebuah parti baharu yang mahu ditubuhkan oleh seorang menteri Kabinet wanita tetapi menolaknya dengan baik.

STRUKTUR PARTI

Mengulas lanjut dari segi keanggotaan parti, Kamarazaman yakin partinya akan mendapat sambutan daripada masyarakat berbilang kaum berbanding parti-parti lain seperti Gerakan dan DAP.

“Parti saya akan menjadi sebuah parti yang benar-benar berbilang kaum berbanding parti-parti lain yang mendakwa sedemikian sedangkan hakikat sebenarnya parti-parti mereka didominasi satu kaum sahaja.

“Selain kaum Melayu, parti ini didukungi kaum Cina termasuk lulusan ijazah doktor falsafah di dalam bidang pertanian dan alam sekitar yang akan melaksanakan program khas.

“Salah seorang daripada mereka ialah Dr. Chua Kim Aik, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Green World Genetics Sdn. Bhd., yang akan mengusahakan proram pertanian rakyat secara moden melalui parti ini.

“Kita akan berusaha untuk mengemukakan model pertanian yang akan membolehkan rakyat marhaen khususnya petani mendapat manfaat maksimum daripada hasil pertanian mereka,” jelas beliau.

Paling menarik, dakwanya, struktur parti diketuainya disifatkan sebagai paling demokratik dalam Malaysia dengan komposisi presiden, lima timbalan presiden, lima naib presiden dan 24 ahli jawatankuasa pusat.

“Daripada lima slot timbalan presiden dan lima slot naib presiden, dua slot akan dikhususkan kepada Sabah dan Sarawak manakala tiga slot selebihnya akan dikhususkan kepada Melayu, Cina dan India.

“Parti ini akan menjadi benar-benar demokratik kerana selain slot kaum, kami memberi autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak memilih wakil mereka, termasuk enam slot ahli jawatankuasa pusat,” tegas beliau.

Dari segi penyertaan di dalam pilihan raya atau sokongan kepada mana-mana blok yang ada, Kamarazaman bagaimanapun menyebut akan mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu.

Pastinya kemunculan parti baharu ini perlu diraikan. Ini sekali gus menambah lagi kerancakan demokrasi dalam negara ini.

PENULIS ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya