NAMA Muhammad sebagai Rasulullah SAW bukanlah asing di Barat mahupun di Timur. Baginda masyhur di segenap pelosok dunia tanpa mengira kawan mahupun lawan.
Kemasyhuran tersebut membuatkan baginda amat disenangi dan menjadi sumber ikutan dalam kebaikan kepada umatnya, namun pada masa sama membuka ruang permusuhan kepada segolongan masyarakat yang memilih untuk menentangnya.
Dalam sejarah Islam, antara sosok yang lantang memusuhi baginda ialah Abu Lahab, Abu Jahal, Abdullah bin Ubai dan Musailamah Al-Kazzab. Mereka tersenarai sebagai penentang risalah Muhammad sehingga ke penghujung hayat baginda. Bibit-bibit permusuhan ini berlanjutan sehingga hari ini.
Antara musuh tegar yang jelas menentang Muhammad di zaman moden ini ialah Salman Rushdie. Beliau menerbitkan sentimen permusuhan tersebut melalui tulisannya pada 1989 berjudul The Satanic Verses. Tulisan beliau menimbulkan kelam dunia dan membangkitkan kemarahan umat Islam di samping menjadi titik permulaan kepada Islamofobia.
Di Paris, akhbar Charlie Hebdo menerbitkan kartun menghina Muhammad tanpa mempertimbangkan perasaan umat Islam semata-mata atas nama kebebasan akhbar.
Muhammad berterusan dihina sehingga dengan berani kartunis Sweden, Lars Vilks mencetuskan kontroversi dan kemarahan umat Islam melalui lukisan karikatur Nabi Muhammad yang mencalar emosi umat Islam.
Kenapa Nabi Muhammad berterusan dihina? Apakah saat ketiadaan baginda masih berupaya memberi ancaman kepada sesiapa? Apakah ajaran yang dibawanya sangat bahaya dan suatu ancaman kepada dunia sehingga dianggap musuh sepanjang zaman?
Adakah baginda seorang pemimpin tentera seperti Genghis Khan yang dahagakan darah di medan perang? Begitu juga, adakah baginda seperti Adolf Hitler yang dikatakan membunuh lebih lima juta orang Yahudi Poland dan Rusia?
Catatan sejarah merekodkan penglibatan baginda dalam perang adalah demi mempertahankan diri dan negara daripada musuh. Sungguhpun demikian, etika peperangan baginda sangat ketat di mana kanak-kanak, wanita, orang tua dan ahli ibadah tidak boleh dibunuh dan diganggu.
DIPLOMATIK
Konsep perang bukanlah untuk penaklukan negara seperti dilakukan oleh tentera British, Jepun, Perancis dan Belanda sehingga memusnahkan segalanya. Sebenarnya peperangan melibatkan baginda disebut sebagai futuh, iaitu pembukaan negara untuk menyampaikan risalah tauhid secara damai dan sangat diplomatik.
Di Tanah Melayu, tentera Jepun menjadikan orang awam sebagai buruh paksa untuk menyiapkan landasan kereta api yang menghubungkan Tanah Melayu dengan Thailand. Prinsip umum yang dibawa oleh Nabi Muhammad mengenai pembebasan perhambaan ini terpakai pada hari ini kerana ada sahaja syarikat dan individu menyeludup tenaga buruh secara haram.
Ada dalam kalangan mereka teraniaya malah ada yang terbunuh ketika penyeludupan dilakukan. Inilah misi golongan penyangak kapilatalis sentiasa mengutamakan keuntungan tanpa mengira nilai kemanusiaan yang sangat bertentangan dengan prinsip dipromosikan oleh Nabi Muhammad di mana kebajikan dan kemulian insan menjadi keutamaan.
Muhammad yang terlatih dengan selok-belok perniagaan dan perdagangan berjaya berperanan sebagai pengurus yang cemerlang sehingga mampu membuat keuntungan berganda. Pengurusan perniagaan, wang dan harta benda dilakukan dengan telus serta amanah tetapi menguntungkan telah memikat hati majikannya iaitu Saidatina Khadijah Khuwailid, seorang saudagar kaya yang akhirnya memilih baginda sebagai suami. Transaksi tanpa riba, penipuan dan penindasan menjadi prinsip baginda dalam melaksanakan amanah diberikan. Dasar ini terangkum dalam amalan muamalat Islam.
Amalan perniagaan Muhammad sangat bertentangan dengan konsep perniagaan kapitalis yang bergelumang dengan riba, keuntungan berlipat kali ganda dan sangat menekan serta memaksa golongan peminjam menyelesaikan pinjaman. Kelompok kapitalis dan pemodal menjadi kaya-raya, yang miskin terus menjadi miskin dari generasi ke generasi sehingga melahirkan struktur masyarakat yang pincang.
EMPAYAR MELAKA
Bahana riba yang diisytiharkan perang dalam al-Quran (al-Baqarah: 279) bukan sahaja kepada individu tetapi turut menjatuhkan sebuah negara seperti mana berlaku kepada Greece. Negara ini muflis disebabkan ekonomi merudum dan bebanan hutang yang terpaksa ditanggung akibat pertambahan kadar faedah berganda.
Begitu juga penjualan arak dan kedai judi, pihak kapitalis tetap melihat faktor keuntungan sungguhpun jelas merosakkan individu dan masyarakat.
Muhammad sebagai tokoh besar dunia bukan sahaja membela yang lemah dan menegakkan keadilan sosial. Beliau memimpin umat dengan meletakkan kerajaan Rom dan Parsi di bawah kepimpinan Islam. Rom dan Parsi merupakan negara kuasa besar dunia pada ketika itu ibarat Amerika Syarikat, Rusia dan China pada hari ini.
Peperangan Rom-Byzantine berlaku di peringkat awalnya di bawah pemerintahan baginda dikenali sebagai Perang Mu’tah dan Tabuk.
Ketokohan dan kepimpinan baginda sangat berkesan apabila kerajaan Turki Uthmaniyah sebagai penerus khilafah Islam berteraskan kerajaan Islam Madinah, berjaya menguasai Barat dan Eropah di bawah kerajaan Rom. Keturunan Islam Turki masih kekal identitinya di Bosnia, Rusia, China dan beberapa negara lain sebagai masyarakat Islam. Empayar Melaka menguasai sebahagian besar Nusantara pernah berada di bawah pemerintahan Islam mempunyai ikatan diplomatik dengan kerajaan Uthmaniyah.
Biarpun kedua-dua empayar sudah tiada, negara Islam seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei tetap utuh mengekalkan identiti Islam sebagai pegangan hidup. Muhammad SAW, reformasi yang dibawanya tidak sekadar membentuk insan berbudi mulia, tetapi mencakupi pembinaan keluarga dan pembentukan sebuah negara. Muhammad tidak meninggalkan warisan harta bertimbun dan juga takhta, sebaliknya baginda hanya mewariskan kitab suci al-Quran dan hadis yang tidak boleh dicabar dan dijamin oleh Allah SWT.
Pengikut baginda dianggarkan berjumlah 1.8 bilion serata dunia kini sebagai pewaris setia. Pencapaian dan kebijaksanaan baginda menyampaikan kebenaran dan keadilan sejagat menjadi rahmat kepada seluruh alam. Inilah yang menyebabkan musuh-musuh baginda sentiasa mengintai peluang untuk mengkritik apa-apa sahaja yang datang daripada baginda sungguhpun ia benar belaka. Wallahualam.
DR. Lokman Ab. Rahman ialah Pengarah Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).










