Muda tidak bermakna hebat - Utusan Malaysia

Muda tidak bermakna hebat

KADANG-KADANG orang muda apabila marah atau dicabar, mereka terus bangun bertindak. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG muda mempunyai semangat membara yang cukup luar biasa. Kita menyebutnya darah muda yang ditakrifkan semangat atau perasaan orang muda.

Peranan orang muda dalam proses pembinaan negara sememangnya tidak boleh diperkecilkan. Anak muda mesti dipupuk dengan semangat kenegaraan yang jitu supaya perjuangan dan arah pemikiran mereka tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Semangat darah muda juga kadangkala menyebabkan orang muda bertindak dahulu sebelum berfikir. Itulah orang muda, ada kalanya mereka sukar untuk mengawal emosi. Apabila marah atau dicabar, mereka terus bangun bertindak.

Apa lagi apabila berhubung kait dengan kedaulatan negara. Ramai yang masih ingat satu kisah semasa Konfrontasi Malaysia-Indonesia. Tan Sri Khalid Yunus dan Tun S. Samy Vellu (kedua-duanya bekas menteri) masing-masing berumur 20 dan 27 tahun pada ketika itu bertindak menurunkan bendera Indonesia di Kedutaan Indonesia lalu mengibarkan pula bendera Malaysia.

Menyingkap sejarah, ramai dalam kalangan pejuang negara terdiri daripada golongan muda termasuk Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Abdul Razak dilantik Timbalan Perdana Menteri pada usia 35 tahun manakala Tengku Razaleigh Hamzah berjaya merangka serta membina ekonomi negara seawal usia 28 tahun.

BULAT AIR

Istimewanya, ketika itu tokoh-tokoh negara ini sangat menghormati serta sering meminta pandangan daripada mereka yang lebih berusia, arif dan berpengalaman.

Contohnya, Syeikh Abdullah Fahim yang sering dirujuk oleh Tunku Abdul Rahman memainkan peranan sangat besar dalam usaha penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam mendukung aspirasi orang muda, semua pihak mesti akur bahawa orang muda dan orang lama harus bekerjasama serta saling hormat menghormati. Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.

Orang muda membawa banyak idea baharu serta bersemangat tinggi. Yang berusia pula lebih berpengalaman dan sabar serta cermat dalam membuat keputusan dan tindakan.

Orang muda harus menimba banyak pengalaman dalam membentuk diri mereka sebagai pemimpin berwibawa. Mereka perlu mempunyai kefahaman yang jitu tentang prinsip serta dasar kerajaan sebelum mampu memimpin sebuah negara bangsa.

Pada masa sama, seni politik harus didalami. Janganlah biadab serta suka mendabik dada dan memperkecilkan pemimpin-pemimpin lama.

Kita harus berpijak di bumi nyata. Siapalah kita tanpa mereka yang telah banyak berjasa kepada negara.

Benarkah orang muda pemimpin muda lebih telus, bijak dan bersih? Pemimpin muda yang belum diuji dengan kuasa tidak boleh mendabik dada mengatakan diri mereka begitu hebat.

Usia bukanlah neraca kehebatan dan pengukur sikap amanah seseorang pemimpin. Hanya kerana masih muda, tidak bermakna mereka tidak akan terpalit dengan masalah termasuklah hal-hal seperti rasuah dan sebagainya.

PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya