Rukun Negara membingkai Keluarga Malaysia - Utusan Malaysia

Rukun Negara membingkai Keluarga Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 yang bermula 13 September lepas masih berlangsung, dan dijadualkan akan berakhir pada 12 Oktober depan. Ini merupakan julung-julung kalinya mesyuarat itu diadakan dalam semarak semangat Keluarga Malaysia.

Terbukti setakat ini, dan insya-Allah selepas ini, semangat yang berpaksikan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu sama sekali tidak menjejaskan peranan ahli-ahli yang berhormat di dewan persidangan tersebut.

Sebaliknya semangat Keluarga Malaysia itu menyaksikan mesyuarat berlangsung dalam suasana yang lebih tertib, lebih fokus dan lebih meyakinkan.
Perbahasan berlangsung seperti biasa. Perjanjian persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Rakyat (PH) selalu pembangkang utama tidak menghalang kedua-dua pihak berselisih hujah dalam mempertahankan pandangan masing-masing. Mereka tidak menjadikan MoU itu sebagai tembok yang mengekang hak mereka untuk bersuara, selaras dengan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat yang memilih mereka.

Teguran dan kritikan, yang ada ketikanya keras dan pedas, terutama kepada kerajaan terus dilontarkan oleh PH dan ini sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa MoU itu adalah jajaran baharu seperti yang mereka hasratkan.

Pada masa sama ia memperjelaskan lagi kepada kita tentang maksud sebenar Keluarga Malaysia, yang mana setiap ahli keluarga meneruskan fungsinya dengan masing-masing berusaha melaksanakan tanggungjawab dalam suasana yang penuh rukun kerana kerukunan itulah kunci kesejahteraan sesebuah keluarga.

Sebuah keluarga yang hebat adalah yang mampu menguruskan perbezaan di kalangan ahli-ahli keluarganya di samping memanfaatkan persamaan-persamaan yang ada di antara mereka. Itulah juga gambaran terpancar menerusi sidang Dewan Rakyat kali ini.  Kita akan berselisih sekali-sekala bukan untuk membesar-besarkan perbezaan, tetapi untuk mencari titik persamaan.

Rukun yang sama digunapakai dalam kehidupan berkeluarga. Bukan semua ahli keluarga mempunyai pendapat dan pandangan yang sama sepanjang masa. Ada ketikanya berlaku pertembungan. Namun seperti kata orang tua-tua, ‘carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga’. Kasih sayang, ketaatan dan kesetiaan menjadi tali pengikat, dan itulah yang dimaksudkan oleh perdana menteri semasa memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia apabila beliau menyebut, ‘nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua’.

Sekarang ini, di luar Dewan Rakyat semangat Keluarga Malaysia sedang bersemarak ke segenap pelosok. Frasa itu semakin dekat di hati rakyat. Mereka semakin faham bahawa Keluarga Malaysia bukanlah semata-mata tentang persefahaman dan kerjasama, sebaliknya ia mendokong semua nilai-nilai baik dalam kehidupan berkeluarga; kasih sayang, taat, setia, prihatin, bersatu padu, berfikiran terbuka, bertoleransi, bersepakat, saling menghormati dan segala sesuatu seumpamanya.Tanpa salah satu daripada nilai-nilai itu, rumah tangga pasti pincang dan akan perlahan-lahan hilang kebahagiaannya.

Nilai-nilai itu menjadi berkali ganda lebih penting apabila keluarga berkenaan berdepan dengan musibah. Dalam kes Keluarga Malaysia, musibahnya adalah pandemik Covid-19 yang setakat ini bukan sahaja telah meragut lebih 26,000 jiwa, tetapi juga meletakkan negara dalam suasana ekonomi tidak menentu.

Kita perlu bekerja keras mengalahkan Covid-19. Kita harus berusaha memulihkan kembali ekonomi negara dan meletakkan semula Malaysia di persada kegemilangan. Malah kita perlu melakukan lebih daripada itu; perlu menebus balik masa lebih satu setengah tahun yang dihabiskan untuk bergelut dengan pandemik itu, dan seterusnya memacu Malaysia untuk mencapai matlamat menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Semua itu tidak boleh dilakukan secara bersendirian oleh mana-mana pihak. Ia memerlukan penglibatan bersama oleh semua ahli keluarga tanpa mengira agama, bangsa, kaum, lelaki, perempuan, tua dan muda. Tidak kira juga apa status sosialnya dan apa pegangan politiknya, semua ahli Keluarga Malaysia perlu bergandingan bagi mengembalikan kegemilangan dan meningkatkan kecemerlangan.

Semua itu juga tidak susah untuk dilakukan jika kita berpegang teguh kepada Rukun Negara kerana prinsip-prinsip Rukun Negara jugalah yang menjadi asas kepada nilai-nilai Keluarga Malaysia. Kepercayaan kepada Tuhan akan mengukuhkan lagi keyakinan kita bahawa tidak ada penyakit yang tiada ubat, tidak akan berubah nasib jika kita tidak berusaha mengubahnya. Kesetiaan kepada raja dan negara akan menyedarkan kita Keluarga Malaysia ini adalah hak kita bersama, hak yang kita warisi dan hak yang akan kita wariskan kepada anak cucu.

Perlembagaan adalah tiang seri sebuah negara. Mempertahankan keluhurannya samalah dengan mempertahankan tapak di mana sesebuah rumah keluarga itu dibina. Ia juga menuntut kebertanggungjawaban bersama. Jika seorang meratakan tapak, jangan yang seorang lagi mencangkulnya kerana yang akan rugi bukan seorang, tetapi kedua-duanya.

Demikian jugalah dengan kedaulatan undang-undang. Keluarga yang sempurna adalah yang setiap ahlinya berpegang kepada hukum dan peraturan berasaskan prinsip-prinsip keadilan sejagat, yang pada diri mereka tersemai budaya amanah, berintegriti, berakhlak dan bertanggungjawab. Jika semua ahli keluarga memiliki nilai-nilai itu, tiada apa pun yang boleh menggugat keluarga tersebut.

Paling akhir kesopanan dan kesusilaan. Ia lebih daripada sekadar berjalan tunduk apabila melintas di depan orang tua, atau mengosongkan tempat dalam kenderaan awam bagi memberi peluang kepada wanita mengandung duduk. Sebaliknya ia adalah tentang segala sesuatu yang dilakukan dalam kehidupan sehari-harian; dari cara menyapa sehinggalah cara menegur, dari cara berjalan sehinggalah cara bertindak.

Keluarga Malaysia telah terdidik dengan nilai-nilai itu sejak sekian lama. Kita berkongsi rumah ini bukan sehari dua, tetapi telah berabad-abad lamanya. Nilai-nilai itulah yang membolehkan kita hidup rukun dan damai sehingga menjadikan ‘rumah besar’ kita ini tersohor di seluruh dunia walaupun pada usia yang masih terbilang muda.

Nilai-nilai itulah yang kita perlu gilap dan perkasakan sekarang. Ia bukan sekadar untuk membolehkan keluarga kita menang melawan Covid-19 dan merancakkan kembali kitaran ekonomi, tetapi juga untuk kita jadikan senjata, sekali gus perisai bagi menempuh cabaran lain pada masa-masa mendatang.

Ia bukan tugas sukar. Dengan kesedaran dan rasa tanggung jawab, kita pasti boleh melakukannya. Kerajaan, di satu pihak, telah melakukan segala yang mungkin bagi memastikan kesejahteraan

Keluarga Malaysia ini dalam menghadapi saat-saat yang sukar. Pelbagai bentuk pakej yang merangkumi aspek kebajikan, ekonomi, kesihatan, kemudahan infrastruktur dan sebagainya telah, sedang dan akan terus diberikan dari semasa ke semasa.

Tugas kita bukan setakat menghargainya, tetapi turut menyumbang sekadar apa yang mampu. Dan dalam konteks ini tiada sumbangan yang lebih baik selain daripada berusaha mencari titik persamaan dan mengenepikan sebarang perbezaan. Jika sukar untuk menelan perbezaan itu, berfikiran terbukalah dengan mengajak ahli keluarga yang lain untuk sama-sama duduk mencari jalan penyelesaiannya.

Tiada kusut yang tidak boleh diurai selagi kita mahu melakukannya secara bersama. Sesungguhnya kebersamaanlah yang menjadikan kerikil dan pasir membentuk tembok yang kukuh!

Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi  ialah Setiausaha Politik Menteri  Komunikasi dan Multimedia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×