RAKYAT Malaysia memang pemurah. Perkara ini sering bermain di fikiran kita apabila melihat lambakan iklan dan poster daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di laman media sosial memohon dana bantuan bagi membantu golongan rentan. Kepingan gambar disulam beribu kata-kata hikmah sering mengetuk hati masyarakat yang simpati dan peka tentang kesengsaraan melanda golongan ini.
Namun mutakhir ini, angkara sebilangan pihak yang tidak jujur, timbul prasangka terhadap ketelusan sesetengah NGO terutama melibatkan kutipan dana awam.
Pada awal tahun ini, sebuah sindiket kutipan derma yang kononya membina telaga di Kemboja dibongkarkan. Sindiket ini tidak membina telaga baharu, sebaliknya hanya mengecat semula telaga sedia ada. Sedangkan para penderma pula disajikan dengan sekeping gambar telaga yang baru dicat dan dihiasi logo NGO tersebut.
Selain itu, terdapat juga kegiatan NGO yang memperalatkan kanak-kanak untuk mengemis di jalanan bagi mendapatkan dana. Saya mendesak masyarakat awam untuk tidak menyokong kegiatan ini kerana ia merupakan satu pelanggaran kepada Seksyen 32(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan sesiapa yang menyebabkan atau membenarkan mana-mana kanak-kanak berada di atas jalan atau premis untuk aktiviti mengemis, sedekah, menyanyi, bermain, membuat persembahan atau jualan, telah melakukan kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Baru-baru ini, masyarakat digemparkan pula dengan berita sebuah NGO yang mengendalikan rumah perlindungan kanak-kanak di Kuala Lumpur telah beroperasi dari 2019 tanpa kebenaran dan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Selain itu, NGO ini juga gagal menyerahkan laporan audit kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sejak 2020 lagi.
Pidana NGO ini sudah tentu menerbitkan kemarahan masyarakat kerana mereka dilihat sering menjaja kerja-kerja sosial yang dilakukan di rumah perlindungan ini melalui media sosial sebagai umpan untuk mengutip dana awam.
Bukanlah niat saya untuk memfadihatkan kesemua NGO mahupun memandang enteng impak NGO terhadap pembentukan fabrik sosial negara. Namun mauduknya, kewujudan NGO yang mengambil kesempatan terhadap kemurahan hati masyarakat adalah satu fakta yang tidak boleh dikesampingkan lagi. Bertitik tolak daripada perkara ini, apakah prakarsa yang boleh diambil oleh pihak berkuasa mahupun masyarakat murba terhadap NGO-NGO delinkuen ini?
Bagi pertubuhan yang berunsurkan jenayah atau digunakan bagi maksud memudaratkan atau bertentangan dengan kepentingan keselamatan awam, Kementerian Dalam Negeri mempunyai budi bicara mutlak mengisytiharkan sebagai pertubuhan haram berpandukan Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355). Bagi pertubuhan yang alpa dalam menyerahkan laporan audit mereka mengikut tempoh ditetapkan berdasar Akta 355, pihak pendaftar boleh mengeluarkan perintah sementara bagi membubarkan pertubuhan tersebut mengikut Seksyen 14 (5).
BERPUTIH MATA
Mana-mana pihak termasuk pemegang jawatan yang membantu mengurus pertubuhan haram ini adalah melakukan kesalahan berdasarkan Seksyen 42 Akta 355 dan boleh dikenakan penjara tidak lebih 15 tahun dan/atau denda tidak melebihi RM15,000, juga boleh didakwa berdasarkan Seksyen 48 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM15,000.
Bagaimana pula dermawan yang telah menjadi mangsa dendangan penuh madah NGO tidak bertanggungjawab ini? Adakah mereka hanya mampu berputih mata dan mengharapkan keadilan di akhirat?
Soal ganjaran pahala adalah pilihan tuan punya badan, namun cadangan saya, burulah keadilan di dunia agar kezaliman ini dapat dibanteras dan tiada lagi mangsa yang diperbodohkan pada masa depan oleh NGO sebegini. Penderma dan masyarakat awam yang telah memberikan dana kepada pertubuhan sebegini boleh membuat laporan agar disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Selain itu, sebarang iklan dan gambar yang dilampirkan laman media pertubuhan ini bagi memperoleh dana adalah merupakan penyalahgunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Sifat kudus dermawan masyarakat kita adalah merupakan satu aset yang harus dipelihara. Ikhtisarnya, wasilah gabung-jalinan golongan yang peka ini dengan pertubuhan-pertubuhan nirmala yang jujur dan tidak pernah serik dalam menjalankan kerja amal tidak harus dibobrokkan dan wasi oleh anasir-anasir yang rakus.
Saya harap masyarakat lebih berhati-hati dan peka dalam membuat penghakiman nilai antara yang tulen dan batil.
PENULIS ialah seorang peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.










