SETELAH menerima pelaburan berbillion ringgit daripada Petronas dan bantuan selama dua dekad yang akhirnya menjadikannya sebuah negara pengeksport minyak di rantau sana, kenapa kerajaan baharu Sudan sanggup mengkhianati hubungan baik tersebut dengan merampas aset syarikat minyak milik Malaysia yang ada di negara itu?
Menurut laporan sebuah portal berita yang berpangkalan di Istanbul, Turki pada 5 Oktober lalu, kerajaan Sudan telah merampas aset milik Petronas atas alasan aset itu diperoleh secara salah sewaktu pemerintahan Omar al-Bashir. Aset berkenaan didaftarkan atas nama Nada Properties Co. Ltd. (NPCL), sebuah anak syarikat Petronas yang ditubuhkan di Sudan di bawah undang-undang negara itu.
Selain merampas aset milik Petronas, kerajaan baharu Sudan juga merampas aset milik syarikat pelabur dari beberapa negara lain termasuklah Pakistan, Qatar dan Turki.
Aset yang dirampas itu kemudian dipindahkan kepada Kementerian Kewangan Sudan dan kini menjadi milik mutlak kerajaan negara itu.
Selain membuat bantahan rasmi kepada kerajaan Sudan, Petronas memfailkan permohonan di Pusat Antarabangsa untuk Penyelesaian Pertikaian (ICSID), sebuah badan di bawah Kumpulan Bank Dunia, agar satu prosiding timbangtara dapat dijalankan.
Mengikut penganalisis politik, Nasem Ahmad, yang mengulas perkara ini dalam portal berita https://www.middleeastmonitor.com, Sudan kini berpaling tadah terhadap rakan lamanya atas alasan mahu memerangi dan membanteras rasuah.
Selepas kejatuhan regim Omar Al-Bashir pada 2019, sebuah jawatankuasa antirasuah yang ditubuhkan oleh kerajaan kini memutuskan segala aset NPCL telah dibeli menerusi cara yang salah dan rasuah.
Petronas menghantar surat bantahan kepada kerajaan Sudah pada April lalu, memberi notis 90 hari kepada Khartoum (ibu negara Sudan) untuk menyelesaikan isu ini secara damai. Mekanisme penyelesaian yang dicadangkan terkandung dalam perjanjian antara kedua-dua negara (Promotion and Protection of Investments Agreement).
Berikutnya, Petronas menghantar surat kedua pada Julai lalu, memberi tempoh tambahan 30 hari lagi.
Nasem berpendapat, pertikaian yang timbul antara Khartoum dan Petronas (juga dengan pelabur-pelabur dari beberapa negara yang disebutkan di atas) bukannya disebabkan rasuah. Faktor sebenar adalah realiti geopolitik semasa di rantau itu.
Pada Oktober 2020, kerajaan baharu Sudan (kerajaan sementara di bawah pimpinan Jeneral Abdel-Fattah Burhan) melakukan kejutan apabila menjalin hubungan dengan Israel. Sebagai balasannya, Sudan kini dikeluarkan daripada senarai State Sponsors of Terrorism (maksudnya tidak lagi dianggap oleh Amerika Syarikat sebagai negara yang mempromosi dan mengeksport keganasan).
SETIA KAWAN
Khartoum berharap selepas ini syarikat-syarikat pelabur dari Barat akan berduyun-duyun datang melabur di Sudan. Kesimpulannya, sementara pelabur asing dari Barat dialu-alukan oleh Khartoum, kerajaan baharu Sudan kini mengetepikan dan menzalimi rakan-rakan lamanya yang sekian lama telah membantu negara itu memajukan ekonominya.
Dalam kerangka geopolitik dan demi kelangsungan kuasa, kejujuran dan semangat setia kawan nampaknya tidak ada nilai lagi. Bagi kerajaan baharu Sudan, hubungan mesra yang dijalin dengan kawan-kawan baharunya menghasilkan dua manfaat besar.
Pertama, mulai Disember 2020, Sudan tidak lagi digelar sebagai negara pengganas. Kedua, kerajaan kini mendapat jalan keluar daripada masalah hutang negaranya yang berjumlah AS$50 billion (RM208.52 bilion).
Bagi Petronas, apakah tindakannya selepas ini? Apakah ia akan menarik keluar segala pelaburannya di negara itu? Andainya ini dilakukan, apakah pelabur-pelabur lain dari Pakistan, Qatar dan Turki akan bertindak serupa?
Sekiranya ini berlaku, apakah Sudan akan mengalami kerugian yang lebih besar setelah reputasinya terjejas kerana gagal memelihara kepentingan pelabur asing di negara itu?
Seluruh dunia akan berkata, jika pada masa ini Sudan sanggup merampas aset pelaburan asing rakan-rakan lamanya seperti Petronas, tidak mustahil ia akan melakukan perkara sama ke atas aset rakan-rakan baharunya pada masa depan.
Menurut Profesor Christie dari Universiti Minnesota (dalam artikelnya What constitutes a taking of property under international law?) di bawah undang-undang antarabangsa, setiap pengambilan yang dilakukan oleh sebuah negara ke atas aset milik pelabur di negara itu hendaklah disusuli dengan bayaran pampasan mencukupi.
Mengikut satu kes penting yang sering menjadi rujukan pengamal undang-undang antarabangsa, German Interests in Polish Upper Silesia (1926), aset milik sebuah syarikat Jerman telah dirampas oleh kerajaan Poland. Apabila kes itu dirujuk kepada Mahkamah Tetap Keadilan Antarabangsa (PCIJ), mahkamah memutuskan Poland menyerahkan pampasan mencukupi kepada syarikat Jerman berkenaan.
Selain mematuhi prinsip undang-undang antarabangsa, semua triti perlindungan pelaburan (IPT) lazimnya mewajibkan negara tuan rumah melindungi kepentingan pelabur dan andainya pengambilan berlaku, pampasan yang mencukupi hendaklah dibayar.
Paling penting lagi, setiap pengambilan hendaklah mematuhi tiga kriteria. Pertama, pengambilan itu dilakukan atas kepentingan awam. Kedua, ia dilakukan tanpa mendiskriminasi mana-mana pelabur dan ketiga, pengambilan mesti dituruti segera dengan pampasan yang mencukupi.
Dalam satu kes lain, Chorzów Factory Case (1938), PCIJ memutuskan andainya satu pengambilan (rampasan) dibuat secara salah atau tidak berasas, pembayaran pampasan hendaklah seberapa boleh hingga ke tahap mensucikan akibat tindakan yang salah itu (reparation must, as far as possible, wipe out all the consequences of the illegal act).
Sekiranya pengambilan dilakukan secara betul, pampasan yang diberi hendaklah setimpal dengan nilai aset yang diambil termasuklah faedah sehingga tarikh pembayaran disempurnakan.
Sama-sama kita lihat apa yang akan dilakukan oleh Sudan selepas ini.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










