BULAN Kemerdekaan baru sahaja melabuhkan tirainya. Saban tahun sepanjang tempoh ini, topik patriotisme diberi tumpuan khusus.
Sehubungan itu, golongan belia selalu dituduh sebagai kurang patriotik berbanding belia dahulu yang sekarang sudah menjadi golongan tua. Adakah hal ini benar?
Ini benar kerana terdapat kepemimpinan patriotik pada masa dahulu jika dibandingkan dengan kini yang tiada lagi kepemimpinan sebegitu. Apabila dikatakan sesuatu kepemimpinan itu patriotik, ia bermakna pemimpin didapati berikhtiar bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kebajikan rakyat.
Ini dilakukan dengan menggembleng semangat rakyat bagi meyakini potensi negara tercinta sebagai matlamat dan motivasi melangkaui kepentingan diri sendiri. Semua ini diperlihat pemimpin sebagai sesuatu yang amat perlu diperjuang malah sekiranya dikehendaki, sanggup terkorban dalam mempertahan negara.
Ini dilakukan pemimpin dengan menyatukan rakyat dari semua lapisan masyarakat di segenap pelosok tanah air. Selain didorong niat murni ini, pemimpin hendaklah memiliki sifat inspirasi bagi bukan sahaja mempengaruhi tetapi juga merangsang rakyat untuk mengutamakan sikap mendahulukan keperluan negara daripada kepentingan diri sendiri.
Inilah fahaman patriotisme yang sangat mustahak wajib dijadikan asas kukuh bagi negara tercinta ini. Fahaman ini boleh pula diperkukuh pelbagai ciri kepemimpinan unggul. Antaranya keikhlasan, keyakinan, komitmen, sikap positif serta kebolehan merangsang.
Malangnya sudah agak lama negara tidak ketemu pemimpin sedemikian. Sebaliknya kita menyaksikan ramai pemimpin yang mengutamakan kepentingan peribadi serta mengkesampingkan kebajikan rakyat dan kemajuan negara.
Ini didapati dilakukan sama ada secara terang-terangan atau berselindung dengan kekadang sengaja mewujudkan suasana untuk mencapai hasrat peribadi yang ikut menimbulkan keadaan tidak tenteram. Oleh sebab ketiadaan kepemimpinan patriotik ini, beberapa ciri patriotik asas tidak dapat diterapkan kepada rakyat melalui konsep kepemimpinan melalui teladan.
Antara ciri patriotik itu adalah kecintaan luar biasa terhadap negara, misalnya dengan menjadi warganegara aktif, pemahaman baik untuk mengidentifikasikan diri dengan negara.
SEJARAH
Selain kepemimpinan melalui teladan ini, kepemimpinan patriotik yang diperlukan itu hendaklah gigih berusaha untuk memupuk kebanggaan, kecintaan serta kesetiaan kepada negara tercinta ini agar terlestari perasaan keterikatan utuh kepada Malaysia sebagai tanah air. Ini antaranya harus dilakukan dengan memastikan setiap rakyat mempunyai literasi sejarah tanah air ini.
Dengan ini, mata pelajaran Sejarah yang kini diwajibkan seawal darjah empat lagi, hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membangkitkan sentimen nasional secara konsisten melalui kurikulum dan sukatan pelajarannya di pelbagai tahap. Antara sentimen itu ialah pemupukan jati diri kebangsaan untuk didukung dengan megahnya serta penegasan warisan bangsa bagi dihayati dengan bangganya.
Selain sentimen nasional ini, mata pelajaran Sejarah juga hendaklah dipastikan dapat memberi pemahaman baik tentang nasionaliti Malaysia. Ini antaranya hendaklah dilakukan dengan menegaskan kepentingan penerimaan kepelbagaian kerana kita masyarakat majmuk, selain penerangan tentang sifat Malaysia yang wajib ada pada setiap warganegara.
Kedua-dua unsur sentimen nasional dan nasionaliti Malaysia itu perlu mengambil kira bukan sahaja sejarah inklusif, yakni melibatkan semua pihak sama ada kisah tentang golongan elit atau marhaen. Tetapi juga perimbangan munasabah antara sejarah politik, sosial dan budaya negara agar bukan sahaja catatan perkembangan urus tadbir negara disampaikan untuk difahami, ia juga merangkumi naratif orang biasa serta ceritera bahasa Melayu.
Sehubungan mata pelajaran Sejarah untuk memupuk nasionalisme dan patriotisme, cara penyampaiannya hendaklah diubah agar menjadi amat menarik. Ini antaranya dapat dilakukan dengan menggunakan pelbagai teknik baharu seperti didik hibur dengan pelajar melakonkan watak tertentu, mengadakan lawatan secara fizikal atau maya ke tapak bersejarah dan menemui fakta sejarah dengan pelajar sendiri yang melakukan kajian.
Inilah antara cara kepemimpinan patriotik yang boleh menyemaikan semangat kebangsaan dan cintakan negara, khususnya berdasarkan konsep kepemimpinan melalui teladan yang selalu mengutamakan negara dalam menerajuinya serta menuntun dan menyatukan rakyat, selain segala macam hal kenegaraan lain. Sesungguhnya cara ini bukan sahaja akan menjadi kewajipan moral setiap rakyat untuk menghormati dan menyokong negara tercinta ini, ia juga akan menjadi semangat untuk mereka berbakti kepada Malaysia.
Oleh itu, semangat kebangsaan dan cintakan negara bukan sahaja dorongan hati daripada rakyat semata-mata, yakni kelakuan yang bermula daripada mereka. Ia juga adalah usaha yang perlu diwujudkan oleh kepemimpinan negara. Dengan ini, tidak adil apabila sesetengah golongan dalam masyarakat dilabelkan sebagai kurang patriotik sedangkan kepemimpinan negara tidak bersifat patriotik untuk memperlihat contoh yang baik, selain tidak mewujudkannya.
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










