KEPERLUAN tenaga buruh asing dalam pelbagai sektor di negara kita memang diketahui dan diakui umum. Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan memutuskan tidak membenarkan kemasukan pekerja asing sehingga hujung tahun ini.
Bagaimanapun, keputusan dibuat untuk membawa masuk 32,000 buruh asing yang lengkap divaksin mulai pertengahan bulan ini sebagai pekerja dan penuai di ladang kelapa sawit. Langkah ini terpaksa diambil demi meningkatkan eksport negara kerana rakyat Malaysia belum berkemahiran dalam kerja-kerja itu.
Apabila membaca berita dan kisah mengenai buruh asing, saya selalu cuba membayangkan situasi kehidupan buruh migran India yang dibawa British ke Tanah Melayu (Malaya) lebih 100 tahun lalu. Mengikut dokumen rasmi, pengambilan buruh keturunan Tamil dari Tamil Nadu dibuat kerana buruh dari China melibatkan kos lebih tinggi.
Ada banyak buku yang mendokumentasi sejarah dan pengalaman hidup buruh India di ladang kopi, tebu dan getah pada masa silam. Baru-baru ini, saya berpeluang membaca dokumen dan akhbar lama yang membantu membayangkan situasi 100 tahun dahulu.
Untuk kita lebih memahami konteks, perlu dinyatakan sistem kontrak yang popular mulai 1820-an diharamkan sekitar 1897 kerana berlaku penganiayaan menyamai penyeludupan manusia. Laporan akhbar Times of India yang disiarkan semula di The Singapore Free Press (15 November 1900) menyebut orang Tamil tidak berminat datang ke Malaya sebagai buruh.
Akibatnya kerja pembinaan landasan kereta api dan jalan raya tergendala. Ladang getah juga mustahil dapat diusahakan tanpa buruh Tamil.
Jawatankuasa Imigresen India ditubuhkan pada 1907 bagi memastikan urusan imigrasi dan emigrasi berjalan lancar. Sistem kangani mengganti sistem kontrak mulai 1910.
Tambang percuma bagi kapal laut disediakan mulai 1909 bagi buruh India yang mahu datang ke Malaya secara sukarela.
Pada 1910, jumlah imigran India yang tiba di Pulau Pinang sebelum dibawa ke Negeri-negeri Melayu Bersekutu berjumlah 82,723 orang. Daripada jumlah itu, 56,002 orang bukan lagi di bawah sistem kontrak.
Pengambilan buruh kontrak iaitu buruh Tamil dari Nagapattinam (Negapatam) dihentikan pada 30 Jun 1911. Menurut laporan akhbar Straits Echo (15 Julai 1911), jumlah buruh di bawah sistem kangani semakin meningkat. Selain buruh Tamil, semakin ramai buruh Telugu mula dibawa dari Madras (Chennai).
Jumlah penduduk kaum India (keturunan Tamil, Malayali dan Telugu) di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang pada Mac 1911 adalah 156,730 orang. Kemasukan buruh yang memanfaatkan sistem tambang percuma pada 1912 ialah 65,102 orang, di mana 18 peratus adalah wanita.
Kehadiran lebih ramai buruh India dikatakan mampu mengurangkan kos pengendalian estet. Dalam The Singapore Free Press (23 Mac 1912) disebut buruh India lebih murah berbanding buruh Cina yang jauh lebih bijak tetapi mahal.
KONDUKTOR
Peladang British mampu menguruskan buruh Tamil tetapi sukar mengawal buruh Cina. Buruh Tamil dikatakan lemah dan malas (Straits Echo, 25 Jun 1910).
Perlu ditegaskan, pada peringkat awal industri perladangan tebu, kopi dan getah di Malaya, buruh Cina dari China memainkan peranan besar dan penting.
Peladang British dikatakan belum menyedari kelebihan buruh Telugu yang lebih tahan lasak dan lebih bijak berbanding orang Tamil.
Dalam hal ini, J.R.O. Aldworth selaku pegawai pengawal kemasukan buruh berkongsi pandangan dalam mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Peladang Malaya dan ucapannya disiarkan di akhbar Straits Echo (2 Mei 1913).
Selain depo di Nagapattinam khusus bagi buruh Tamil, dimulakan juga depo di Avadi, Madras bagi buruh keturunan Telugu dari Andra Pradesh. Ada kapal laut mingguan dari Madras menerusi Nagapattinam ke Pulau Pinang, Port Swettenham (Pelabuhan Klang) dan Singapura.
Aldworth yang melawat depo di kedua-dua lokasi itu merumuskan, pembawaan terlalu ramai buruh Telugu mungkin menimbulkan masalah kerana tidak ramai pengurus, konduktor, kangani dan dresser (pembantu perubatan) yang menguasai bahasa Telugu untuk komunikasi.
Bagaimanapun, beliau amat menyokong lebih ramai buruh Telugu dibawa kerana mereka lebih rajin dan mematuhi peraturan berbanding buruh Tamil.
Minit Mesyuarat Jawatankuasa Imigresen India (5 Mei 1913) menunjukkan urusan pengambilan buruh Telugu berjalan lancar.
Laporan tahunan Jabatan Buruh Negeri-negeri Melayu Bersekutu bagi 1912 menunjukkan secara jelas, pengambilan buruh Telugu meningkat manakala buruh Tamil menurun. Misalnya, jumlah buruh pada 1911 ialah 58,992 orang (Negapatam) dan 25,498 orang (Madras) berbanding 50,942 orang (Negapatam) dan 29,942 orang (Madras) pada 1912.
Straits Echo (8 Julai 1913) melaporkan, secara purata, sekitar 10,000 buruh Telugu datang ke Malaya setiap tahun.
Dalam mesyuarat Persatuan Peladang Malaya (28 Disember 1913), topik berkaitan upah buruh ladang getah dibincangkan secara khusus. E.B. Skinner mengusulkan tiga cadangan penting, iaitu upah kuli Tamil dan Telugu jangan dikurangkan, upah pekerja ladang tidak boleh melebihi 35 sen, dan pengurus ladang tidak boleh menetapkan masa kerja minimum bagi buruh.
Skinner menegaskan, buruh India dibawa oleh British dalam jumlah yang besar dengan pelbagai janji. Maka, tidak adil jika mereka ditindas.
Imbasan silam ini boleh membantu kita menjadi majikan yang lebih adil dan bertanggungjawab apabila menguruskan kemasukan tenaga buruh Bangladesh dan Indonesia bagi menyelamatkan sektor perladangan kelapa sawit pada masa kini.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










