Jadikan Piagam Madinah model - Utusan Malaysia

Jadikan Piagam Madinah model

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan pentadbiran awal dengan memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia.

Pengenalan konsep ini tepat pada masanya ketika rakyat diuji dengan pandemik Covid-19, kestabilan ekonomi dan kepimpinan. Perlu banyak perubahan dan hijrah ke arah merealisasikan agenda membina Keluarga Malaysia. Situasi rakyat yang mengharapkan transformasi drastik terutama berkaitan kebajikan rakyat dalam pelbagai bidang tumpuan pekerjaan, pendidikan, politik, ekonomi sama rata, kesepaduan etnik serta membina peradaban Malaysia yang konsisten dan stabil.

Bukan sahaja Malaysia, negara lain di seluruh dunia turut menghadapi cabaran dan ujian mencari penyelesaian terhadap pelbagai gejala yang timbul dalam masyarakat dan negara. Masalah sedia ada belum lagi selesai, timbul pula masalah baharu yang lebih rumit.

Piagam Madinah yang diasaskan Nabi Muhammad SAW sangat sarat dengan panduan dalam semua urusan berkait negara, masyarakat, diplomatik, ketenteraan, keluarga, kesepaduan etnik, telah sengaja ditinggalkan akibat terpengaruh dengan pendekatan warisan penjajah sehingga rela menganut dan mempertahankan ideologi asing, lalu menjadikan Islam tidak lagi memerintah tetapi diperintah. Islam hanya dijadikan agama dalam beribadat semata-mata, bukan lagi ad-din yang menjadi hidayah Allah sebagai panduan memimpin dan petunjuk dalam prinsip, konsep, pendekatan dan wawasan.

Bagi merealisasikan pembinaan Keluarga Malaysia, maka sudah tiba masa kita melupakan sengketa politik, berganding bahu menyelesaikan penularan Covid-19, memulihkan ekonomi negara dan menumpukan keharmonian etnik.

Antara alternatif terbaik adalah menjadikan Piagam Madinah sebagai model membentuk Keluarga Malaysia, kemenjadian warga berperadaban serta menjerawayakan etnik berbilang etnik yang harmonis. Secara khususnya, Piagam Madinah terbahagi kepada dua bahagian.

Bahagian pertama dengan 23 fasal menyentuh hubungan umat Islam dengan kaum Yahudi dan tanggungiawab sesama sendiri. Isi kandungannya berdasarkan fasal-fasal yang ada:

Fasal 1: Piagam ini adalah daripada Nabi Muhammad, antara orang Islam dengan penduduk Madinah lain, iaitu kaum Yahudi dan penyokong mereka.

Fasal 2: Mereka (penduduk Madinah sama ada orang Islam atau bukan Islam) adalah satu ummah.

Fasal 3: Golongan muhajirin bertanggungjawab membayar dan menerima wang daripada mereka yang ditawan secara makruf dan adil terhadap orang beriman.

Fasal 4: Bani Auf kekal dengan keadaan lama mereka dan sama-sama bertanggungjawab membayar dan menerima wang tebusan seperti dahulu dan menebus mereka yang ditawan dengan cara makruf dan adil sesama yang beriman.

Fasal 5: Bani Harith Ibnu Khazraj tetap dengan keadaan lama mereka sama-sama bertanggungjawab menerima dan membayar wang tebusan seperti dahulu dan menebus mereka yang ditawan dengan cara makruf dan adil.

KAMPUNG

Bahagian kedua pula mengandungi 24 fasal membabitkan etnik Yahudi dan tanggungjawab mereka terhadap negara Islam Madinah.

Konsep Keluarga Malaysia boleh dibina apabila pemerintah dan rakyat memahami hasrat murni kerajaan, tidak membantah pendekatan yang baik ini, berlapang dada, membina keutuhan etnik, saling menghormati dan meraikan, mengamalkan falsafah tabayyun, bukan berita-berita palsu.

Keluarga Malaysia pasti mencapai kejayaan sekiranya melihat saranan dan ketetapan yang terkandung dalam Piagam Madinah ini secara rasional, bukan prejudis, etnosentrisme serta berusaha mengasimilasikannya.

Model Piagam Madinah yang diperkasakan Rasulullah SAW, antaranya pemberian keadilan terhadap hak etnik Yahudi, kebebasan beragama, pembinaan sistem kerajaan, jabatan dan kepimpinan Islam yang kukuh, kebebasan warga negara Madinah yang dijaga, hubungan etnik pelbagai bangsa, agama dan budaya dalam kalangan komuniti Madinah yang disepadukan terdiri dua bangsa berbeza (Aus dan Khazraj) serta tiga bangsa Yahudi lain (Bani Qainuqa, Bani Nadhir dan Bani Quraizah), dan corak pentadbiran Madinah yang mengutamakan syura dalam menyelesaikan permasalahan rakyat, hubungan antarabangsa, hak beragama, kebebasan bersuara dan perundangan yang adil.

Baginda Rasulullah SAW juga berpandangan jauh dengan meletakkan asas bagi menghadapi masyarakat majmuk Madinah, membentuk peraturan yang dipatuhi bersama semua penduduk, menyatukan masyarakat pelbagai etnik, mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan, mewujudkan keamanan di Madinah, menentukan hak-hak dan kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat, memberikan garis panduan pemulihan kehidupan kaum Muhajirin, membentuk kesatuan politik dalam mempertahankan Madinah, merangka persefahaman dengan penduduk bukan Islam terutama Yahudi dan memberi peruntukan pampasan kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Mekah.

Perkara ini sekiranya dijadikan model merealisasikan Keluarga Malaysia yang harmonis, hormat-menghormati dan saling bantu-membantu pasti berjaya dicapai. Terdapat peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan sedia ada yang berupaya menjayakan hasrat murni ini antaranya Perkara 152, Perkara 153, Perkara 160, Perkara 11, Perkara 10, Perkara 8, Bahagian 12A, Perkara 161, Perkara 161A, Bahagian 2, Perkara 5, Perkara 6, Perkara 7 dan peruntukan-peruntukan lain yang boleh diguna pakai.

Sebagai rumusan, Keluarga Malaysia adalah sumber kekuatan negara kerana negara terdiri daripada wilayah-wilayah, dan wilayah-wilayah terdiri daripada negeri-negeri, daerah-daerah, kampung-kampung dan keluarga-keluarga. Sekiranya keluarga baik, nescaya kampung, daerah, negeri, wilayah dan negara pun akan menjadi baik. Dan sebaliknya keluarga ini rosak, pasti akan rosaklah negara itu dan masyarakat akan berada dalam kepincangan.

Maka apabila Keluarga Malaysia yang dibina itu berada dalam sejahtera, aman, makmur, pasti kehidupan keluarga ini dapat menghadapi pergolakan dan perubahan yang hebat dalam arus globalisasi, teknologi, dan kemajuan industri.

DR. Ahmad Nasir Mohd. Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan & Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×