FPDA tetap relevan menstabil rantau - Utusan Malaysia

FPDA tetap relevan menstabil rantau

FPDA menjamin keselamatan dan pertahanan bukan sahaja dari segi ketenteraan malah berpandukan sejarah dan legasi pakatan.– UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN ulang tahun ke-50 penubuhan Pengaturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA) merupakan wadah bermakna yang mencorak kegemilangan dan kepentingan pakatan pertahanan lima anggotanya, iaitu Malaysia, Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand.

Perjanjian pertahanan ini merupakan pakatan ketenteraan tertua selepas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di mana FPDA ditubuhkan sewaktu kemuncak Perang Dingin dalam suasana dan landskap keselamatan yang tegang dan berisiko tinggi.

Evolusi perkembangan sejak 50 tahun lalu menyaksikan kerelevanan dan kepentingan dalam memperkasa jalinan perlin­dungan dan keselamatan ahli tetap terpelihara.

Dalam menelusuri kancah konflik dan risiko keselamatan berbeza dan berubah mengikut skop, konteks dan dimensi berlainan, objektif dan matlamat asas FPDA kekal menjadi tonggak utama dalam memastikan aspek keselamatan dan pertahanan negara terus dipacu dan digilap untuk menghadapi spektrum konflik dan cabaran baharu.

Matlamat asal dalam melin­dungi Malaysia dan Singapura berdepan perubahan baharu dalam pentas politik dan keselamatan rantau dan global di mana ancaman bukan tradisional menjadi likuan baharu era pasca Perang Dingin. Dimensi persediaan dan kesiapsagaan dalam menghadapi ancaman baharu ini termasuk dampak perubahan iklim dan bencana alam, pandemik, jenayah transnasional, pemerdagangan manusia, keganasan, perang dimensi baharu termasuk perang nano, perang bio dan perang siber.

Dalam meneliti perubahan perjalanan geopolitik rantau dan global, kembalinya ancaman tradisional berpaksikan konflik berskala tinggi di antara negara sebagai pelaku utama menyebabkan pentas percaturan politik dan keselamatan dunia terus dibelenggu kemelut lebih berisiko dan berimpak mendalam. Di sebalik tirai persengketaan kuasa besar dalam memperluas pengaruh, kuasa dan kawalan ke atas pengawalan sumber dan pengaruh ekonomi serta sumber tenaga dan alam, kepentingan kelangsungan dan kedaulatan yang terpelihara menjadi nadi dan matlamat utama negara dalam pelaksanaan dasar dan strategi masa depan.

Negara sebagai pelaku utama dalam hubungan antarabangsa adalah berteraskan kepada kepentingan negara dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan wilayah terus dipertahankan dan bebas daripada ancaman dan pengaruh kuasa luar.

Bagi memperluas skop kawalan dan kuasa, kuasa besar dunia terus mengejar faktor kritikal penjana ekonomi dan perluasan pengaruh melalui pelbagai dimensi dan alat dasar luar berasaskan dominasi hard power dan soft power. Persengketaan kuasa besar yang didominasi Amerika Syarikat dan China serta impak ke atas kestabilan rantau dan global menjadi pencetus kritikal kepada dilema keselamatan pelbagai negara. Malaysia dan rantau Asia Tenggara menjadi medan hadapan dalam menerima impak negatif yang turut memberikan kesan berangkai kepada sektor lain dan masa depan keselamatan serta kestabilan negara.

TRADISIONAL

Dalam menghadapi konteks baharu ini dan gabungan ancaman bukan tradisional serta tradisional, tahap dinamika dan daya saing persediaan serta keupayaan kapasiti harus menjadi fokus dan kepentingan utama dalam merangka strategi pertahanan dan keselamatan berasaskan keperluan serta perubahan masa depan. FPDA terus memberi jaminan keselamatan dan pertahanan berpandukan kesepaduan bukan sahaja dari segi ketenteraan, malah berpandukan sejarah dan legasi pakatan.

Risiko konflik di rantau ini dan cabaran serta impak langsung yang bakal menimpa dalam dekad dan abad akan datang kekal menjadi risiko tahap tinggi. Usaha sesebuah kuasa untuk mempertingkatkan keupayaan ketenteraan sama ada skop pertahanan atau sebaliknya akan mengikat pilihan kuasa lain dan diterjemahkan dalam tindak balas untuk memastikan keselamatan terjamin.

Ini mencetuskan persaingan perlumbaan senjata yang membahayakan. Sebarang silap langkah atau analisis serta andaian terhadap musuh boleh mencetuskan kebinasaan melangkaui norma biasa. FPDA memainkan peranan bukan sahaja dalam memperbaiki aspek pertahanan dan kesepakatan solidari keselamatan dan kedaulatan negara, bahkan sandaran dalam menjana pentas kestabilan rantau. Ini bagi membina usaha nyahrintang konflik serta pemupukan arena dialog dan diplomasi.

Legasi dan sumbangan FPDA mungkin tidak dirasai dan dihayati oleh segenap besar masyarakat di Malaysia mahupun dalam kalangan negara-negara anggota, tetapi penubuhan pakatan ini menjadi titik mula kepada perencanaan strategi merentas usia dan skop keperluan pada zaman dahulu. Ia bukan sahaja kekal relevan pada masa kini, malah akan terus berkembang maju seiring keperluan dan sandaran mendalam dalam jaminan keselamatan, pertahanan dan kepentingan negara.

Aspek kedaulatan dan keselamatan terus menjadi tonggak dan nadi utama dalam memastikan keteguhan dan kelestarian pembangunan negara dan masyarakat. FPDA diharap akan terus mengekalkan kesinambungan daya saing dan teraju dinamik kekuatan pakatan ketenteraan sebagai simbol ikatan teguh kerjasama dan sepakat lima negara.

Malaysia sebagai tuan rumah sambutan ulang tahun ke-50 ini akan terus memainkan peranan bersepadu untuk menjana lembaran dan penanda aras baharu bagi memacu FPDA ke persada kegemilangan untuk kepentingan bersama dan masa depan.

PENULIS ialah Penolong Pendaftar, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN