Budu kalis Covid-19? - Utusan Malaysia

Budu kalis Covid-19?

KILANG Perusahaan Warisan Ketereh (PWK) menghasilkan 120,000 botol budu sehari di kilangnya terletak di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUKAH anda, budu antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak terkesan biarpun berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berbulan-bulan lamanya di negara ini. Ketika PKS lain merana teruk dalam tempoh lebih setahun seluruh dunia diancam Covid-19, perusahaan makanan tradisi itu sebaliknya kerana kalis pandemik. Kata orang Kelantan, tak gokgek sedikit pun.

Perusahaan Warisan Ketereh (PWK) sebagai pengeluar terbesar budu dari Kelantan, kini konsisten menghasilkan 10,000 dozen atau 120,000 botol Budu Cap Ketereh sehari di satu-satu kilang miliknya di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat. Jika bukan kerana ‘bercuti’ selama sebulan ekoran kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Julai lalu, pengeluaran tahunan PWK mungkin mencecah 30 juta botol budu di penghujung Disember kelak.

Prestasi tersebut jauh lebih baik berbanding lima tahun lalu apabila kilang sama dilaporkan menghasilkan kira-kira 10 juta botol budu setahun, iaitu sekitar 5,000 dozen atau 60,000 botol budu sehari.

PANIK BUDU HABIS

Fakta ini dikongsi Nur Shahiera Mat Ismail, 24, anak bongsu dari lapan beradik yang kini menguruskan secara bersama PWK selepas bapa mereka, Mat Ismail Jusoh atau Pak Wil meninggal dunia pada awal 2019.

“Sebulan kilang tutup kerana PKPD, kami tidak menang tangan melayani pertanyaan pelanggan dari pelbagai lokasi. Pemborong, peruncit, peniaga online, pembuat nasi kerabu dan penggemar tegar. Mereka semua panik budu habis.

“Selepas sebulan tutup, hari pertama kilang buka, lori pemborong dari seluruh Semenanjung sudah berbaris mahu memperbaharui stok. Alhamdulillah, musim PKP ini Budu Cap Ketereh tidak terkesan,” katanya.

Sebagaimana amalan arwah Pak Wil yang sentiasa mendahulukan kebajikan pengguna, kata gadis manis itu, PWK sedaya-upaya menyerap kenaikan kos bahan mentah terutama ikan bilis dan garam supaya harga borong sedozen budu RM11 kekal.

“Mula-mula kami fikir jualan akan merosot akibat PKP. namun sebaliknya terjadi. Jualan budu terutama untuk pasaran dalam Kelantan naik hingga 15 peratus sejak PKP dilaksanakan Mac tahun lalu hingga sekarang,” ujarnya.

Tidak dinafikan, teguhnya empayar berusia 42 tahun itu dibantu status budu sebagai makanan ruji orang Kelantan. Bukan sahaja rumah, bahkan warung tepi jalan dan restoran mewah perlu ada sekurang-kurangnya sebotol budu. Jika tidak, boleh hilang pelanggan.

Budu juga perasa tambahan yang wajib ada dalam nasi kerabu, menu rakyat yang kini dijual melangkaui sempadan, selain faktor ramainya anak Kelantan bertebaran di seluruh dunia yang tidak segan menikmati budu di perantauan.

FENOMENA OMB

Julai lalu, akhbar ini menyiarkan laporan eksklusif mengenai fenomena ‘orang miskin baharu’ atau OMB di Kelantan yang berkembang biak, ekoran kekangan pergerakan dan sekatan ekonomi berpanjangan. Penduduk negeri ini yang rata-ratanya bekerja sendiri dengan berniaga kecil-kecilan dikatakan hilang sebahagian atau seluruh punca rezeki

Lambakan OMB bertambah serius apabila ‘bos-bos’ kecil terbabit, terpaksa pula memberhentikan pekerja yang selama ini bergantung kepada upah diterima untuk menanggung keluarga masing-masing. Laporan ini disokong data Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang merekodkan sebanyak 95,561 permohonan bantuan zakat diterima sepanjang 2020, berbanding 33,537 permohonan pada 2019. Meningkat 185 peratus.

Susulan fenomena OMB, Maik melonggarkan syarat permohonan mendapatkan bantuan am melibatkan golongan B40 dan M40 bagi membolehkan lebih rakyat yang terkesan akibat PKP dibantu. Sebagaimana diumumkan Ketua Pegawai Pembangunan Maik, Mohd. Azman Ghazali sekitar Ogos lalu, had pendapatan kini dinaikkan dengan gaji RM2,000 sebulan masih dikira layak menerima bantuan zakat.

Jadi, apa kena-mengena fenomena OMB di Kelantan dengan kisah perusahaan budu yang kalis pandemik? Tiada kaitan, kecuali saya teringat keluhan sahabat baik yang berniaga roti tempayan di bandar Kota Bharu.

“Sejak PKP, keluarga aku makin kuat makan budu sebab hanya budu yang tak naik harga. Barang makanan lain, naik mencanak-canak macam negara kita tak ada kerajaan,” katanya.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×