Buat kebajikan biar umpama urip iku urup - Utusan Malaysia

Buat kebajikan biar umpama urip iku urup

RAMAI aktivis masyarakat yang memperjuangkan pelbagai isu sosial turut melibatkan diri secara terus dalam program kesukarelaan. – GAMBAR HIASAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BARANG SIAPA muncul di atas masyarakatnya, dia akan selalu menerima tuntutan daripada masyarakatnya. Masyarakat yang menaikkannya, atau yang membiarkannya naik.” – Pramoedya Ananta Toer.

Pengabdian diri seseorang kepada keperluan masyarakat amatlah penting bagi mengimbangi keperluan mendesak sesuatu komuniti dan keterbatasan sumber yang wujud secara semula jadi dalam mana-mana kelompok masyarakat.

Dalam peribahasa Jawa, banyak sekali ditekankan tentang peri penting keperluan mengabdikan usaha untuk kebaikan masyarakat. Contohnya, peribahasa urip iku urup yang bermaksud hidup itu nyala dan boleh difahami sebagai teguran agar hidup seseorang digunakan untuk menerangi hidup orang lain.

Dalam dunia yang dilimpahi dengan kepelbagaian kesenangan dek kemajuan teknologi, takrifan modal sosial juga berubah mengikut peralihan masa. Jika dahulu modal sosial hanya menekankan interaksi sosial dalam kalangan masyarakat setempat, kini modal sosial yang ditawarkan seseorang mampu memberi kesan bukan sahaja kepada masyarakat terdekat tetapi mampu juga mengubah kehidupan warganegara malah sehingga peringkat antarabangsa.

Atas kesedaran ini, ramai aktivis masyarakat yang memperjuangkan pelbagai isu sosial turut sama melibatkan diri secara terus dalam memperkasakan program-program kesukarelawanan dalam negara. Kesatuan aktivis memperkayakan lagi manfaat kesukarelawanan buat memelihara kebajikan masyarakat. Gerak kerja aktivis boleh dipecahkan kepada tiga kategori utama – kerja advokasi, kebajikan atau kemanusiaan.

Untuk gerak kerja advokasi, aktivis memfokuskan kerja mereka bagi mewujudkan kesedaran umum tentang sesuatu isu sosial di setiap peringkat masyarakat. Contohnya, apabila seorang aktivis menjalankan kempen kesedaran mengenai isu sosial seperti masalah kanak-kanak pelarian yang keciciran pendidikan.

Kerja-kerja kebajikan melibatkan bantuan yang disalurkan kepada suatu golongan rentan secara berterusan. Sebagai contoh, apabila aktivis menderma sejumlah wang untuk membantu mendirikan sebuah sekolah alternatif bagi manfaat kanak-kanak pelarian.

Bantuan kemanusian pula disalurkan kepada penerima secara mustahak akibat kerentanan yang dialami mereka kesan daripada berlakunya pelbagai jenis tragedi secara mendadak. Sebagai contoh, apabila aktivis mendermakan bekalan makanan kepada keluarga pelarian yang terkesan dengan situasi pandemik Covid-19.

Apabila aktivis berkumpul untuk menjalankan program kemasyarakatan, sudah tentu perkara pertama yang dititikberatkan adalah kesahan kumpulan aktivis itu sendiri.

Maka acap kali dalam kerja kemasyarakatan yang dijalankan secara teratur, kumpulan aktivis yang bernaung di bawah satu matlamat dan iltizam akan mendaftarkan gerakan kerja mereka sebagai sebuah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang.

Selalunya gerakan kerja sosial didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984 yang diwujudkan di bawah akta khusus ini.

Bagi mengawal selia pendaftaran pertubuhan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewujudkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang memantau sebarang pertubuhan selain syarikat, koperasi, kesatuan sekerja, persatuan ibu bapa dan guru atau badan sukan.

Syarat utama yang diletakkan ke atas mana-mana gerakan kerja sebelum boleh didaftarkan adalah pertubuhan itu mestilah tidak bertentangan dengan keamanan, kebajikan, keselamatan, ketenteraman awam, ketertiban atau akhlak negara. Syarat ini penting bagi memastikan tiada pertubuhan haram yang boleh didaftarkan khususnya bagi tujuan mengganggu ketenteraman awam.

Atas sebab ini, KDN mengharamkan pertubuhan kongsi gelap dan seumpama dengannya meskipun pertubuhan itu mungkin menyamari gerak kerja mereka sebagai kerja kemasyarakatan.

Meskipun janggal, ada juga pertubuhan yang didaftarkan sebagai sebuah syarikat. Ini lebih banyak dilakukan oleh aktivis yang menjalankan kerja-kerja advokasi kerana acap kali mereka juga menawarkan khidmat nasihat dan rundingan khususnya dalam hal melibatkan isu sosial yang mereka ungguli.

Kawalan selia pertubuhan yang didaftarkan sebagai syarikat adalah terhad berlandaskan peruntukan Akta Syarikat 2016 (Akta 777). Keterlibatan aktivis sosial sebagai ahli masyarakat yang peka tentang kelompangan yang wujud dalam masyarakat itu mampu memperbaiki kehidupan golongan rentan yang mereka santuni.

Namun, keterlibatan ini haruslah didasari dengan kebertanggungjawaban tinggi memandangkan amanah besar diletakkan di bahu mereka oleh masyarakat yang percayakan keupayaan mereka untuk menyelesaikan sesuatu masalah sosial. Amatlah menggusarkan apabila ada pertubuhan yang didaftarkan secara sah mengumpul dana awam untuk tujuan kerja-kerja kemasyarakatan lalu menyalurkan dana secara salah atau secara tidak amanah sehingga merugikan golongan rentan yang mereka santuni.

Amanah yang dimungkiri bukan sahaja kepada penerima bantuan tetapi juga setiap penyumbang dana. Perlu wujud pantauan lebih kemas bagi memastikan kewujudan pertubuhan yang menjalankan kerja sosial adalah benar-benar memberikan manfaat kepada masyarakat.

Ini kerana jika timbul waima sekelumit niat untuk memanipulasi masyarakat bagi kepentingan diri sendiri, keingkaran mereka akan menjadi bakar tak berbau sehingga sudah terlambat.

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi WAFIQ; Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN