BERMULA lusa (31 Oktober hingga 12 November 2021) berlangsung satu persidangan penting berkaitan perubahan iklim. Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) 2021 (COP26) ini bakal dihadiri ketua-ketua pelbagai negara dan pakar-pakar dalam bidang perubahan iklim, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.
Terdapat 197 pihak yang menyertai UNFCCC termasuk Malaysia. Di bawah UNFCCC, Malaysia berada di bawah negara-negara membangun yang mudah terkesan dengan perubahan iklim serta layak mendapat bantuan dalam bentuk pelaburan, insurans dan pemindahan teknologi untuk mengatasi masalah berkaitan.
Persidangan kali ini akan melanjutkan perbincangan tentang usaha-usaha menangani masalah perubahan iklim atau secara spesifiknya membincangkan tindakan-tindakan untuk mencapai matlamat yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Paris 2015. Secara umumnya, perjanjian ini bermatlamat untuk menggerakkan langkah-langkah yang perlu bagi mengehadkan kenaikan suhu dunia di bawah 2 darjah Celcius berbanding tahap praindustri dan seterusnya meneruskan lagi usaha pengurangan suhu kepada 1.5 darjah Celcius.
Untuk mencapai matlamat tersebut, tiga perkara penting dipersetujui di bawah Perjanjian Paris iaitu setiap negara perlu menetapkan sasaran pengurangan pelepasan karbon di bawah Sumbangan Penentuan Kebangsaan (NDC), mendedahkan strategi jangka panjang menyahkarbon ekonomi negara masing-masing menjelang 2050 dan seterusnya negara-negara maju atau kaya perlu meningkatkan bantuan kewangan kepada negara-negara mudah terjejas dengan peningkatan suhu dunia.
Jumlah bantuan yang dipersetujui ialah sebanyak RM415 bilion setiap tahun menjelang 2020. Berdasarkan apa yang dipersetujui dalam Perjanjian Paris itu, maka COP26 yang bakal diadakan di Glasgow, United Kingdom (UK) akan menumpukan kepada dua perkara penting iaitu penilaian terhadap pencapaian sasaran pengurangan pelepasan karbon setiap negara dan seterusnya menetapkan sasaran baharu untuk lima tahun akan datang.
COP26 penting dan ditunggu-tunggu kerana keperluan untuk mengurangkan suhu dunia begitu kritikal. Keadaan menjadi lebih mendesak kerana pengurangan pelepasan karbon sejak Perjanjian Paris tidak menunjukkan hasil memberangsangkan.
Ada negara yang telah melaksanakan langkah-langkah positif ke arah mengurangkan pelepasan karbon seperti UK. Negara ini mempunyai perancangan strategik dan jelas untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Namun, banyak juga negara masih gagal menunjukkan perkembangan yang baik.
ARANG BATU
Pandemik Covid-19 turut mempengaruhi usaha ini kerana negara-negara yang baharu melepasi keadaan kritikal pandemik sedang berlumba-lumba untuk merancakkan ekonomi masing-masing. China misalnya, kembali bergantung kepada bahan api arang batu selepas ekonomi negaranya terjejas oleh pandemik. Ini merupakan satu berita buruk kerana China sendiri merupakan negara yang mencatatkan pelepasan karbon tertinggi di dunia.
Bukan itu sahaja, penarikan diri Amerika Syarikat (AS) pada 2020 daripada Perjanjian Paris juga merupakan petunjuk malang yang perlu dihadapi dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dunia.
Namun berita baiknya, dengan pelantikan Presiden John Biden, AS kembali menyertai Perjanjian Paris dan berjanji untuk mengurangkan separuh pelepasan karbonnya menjelang 2030 serta memberikan sokongan kewangan kepada negara-negara miskin untuk membantu mereka berubah ke arah ekonomi bebas karbon.
Permainan tarik tali AS ini pastinya memberi kesan kepada keseluruhan usaha mencapai matlamat Perjanjian Paris dan ini hanya boleh dinilai pada COP26 nanti.
Sepertimana disebutkan tadi, Malaysia akan menyertai COP26. Ramai pengkaji, pakar dan NGO tempatan menyuarakan pandangan dan peringatan kepada wakil Malaysia ke COP26 agar berhati-hati dengan ‘kenakalan’ negara-negara kaya yang hakikatnya sehingga kini ‘bermain-main’ dalam usaha mengurangkan sasaran pelepasan karbon mereka.
Ini kerana kebanyakan sasaran itu tidak tercapai dan natijahnya, matlamat untuk mengekalkan paras kenaikan suhu dunia di bawah 1.5 darjah Celcius tidak tercapai.
Kegagalan ini dengan jelas memperlahankan usaha mengawal kenaikan suhu dunia.
Lebih malang lagi, permainan negara-negara kaya ini dilanjutkan dengan cubaan-cubaan mereka untuk meletakkan bebanan pengurangan pelepasan kepada negara-negara lain termasuk negara-negara membangun dan miskin.
Dalam persidangan sebelum ini pun, mereka berjaya menyekat usaha untuk mengambil kira aspek sejarah pelepasan karbon dunia. Apa yang dimaksudkan di sini, jika dilihat dari sudut sejarah, negara-negara kaya telah lama atau terlebih dahulu melepaskan jumlah karbon yang tinggi sehingga menjadi negara maju. Oleh sebab itu, beban pengurangan pelepasan karbon yang lebih tinggi sewajarnya diletakkan di bahu mereka.
Namun, idea ini berjaya ditepis dan bermakna menafikan peranan mereka dalam pelepasan karbon dari sudut sejarah.
Jelaslah, terlalu banyak ‘drama’ yang terpaksa ditonton dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dan seterusnya menangani masalah perubahan iklim. Ini bukan satu usaha yang mudah apatah lagi setiap negara cuba mempertahankan hak masing-masing tanpa melihat kepada tanggungjawab yang harus mereka laksanakan.
Apa pun bentuk ‘lakonan’ yang sedang dipersembahkan itu, kita perlu komited. Kita tidak seharusnya bersikap tunggu dan lihat semata-mata. Kita perlu menetapkan NDC yang sesuai dengan mengambil kira kemampuan untuk mencapainya dan harus disusuli dengan tindakan-tindakan tertentu.
Perlu ingat, pembangunan negara penting tetapi membantu mengatasi perubahan iklim juga tidak kurang mustahaknya. Hal ini merupakan tanggungjawab moral semua negara dan tidak patut diabaikan semata-mata kerana kekayaan dan mengejar kemajuan kebendaan.
PENULIS ialah Felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










