MUNGKIN sebahagian daripada kita masih ingat kekecohan yang berlaku dalam dunia maya pada 2 September lalu, apabila beberapa warganet berlagak tunjuk pandai untuk menegur Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Ini berikutan ciapan Khairy dalam bahasa Inggeris melalui akaun Twitter yang mengesahkan penetapan harga siling kit ujian Covid-19 yang memaparkan perkataan ceiling yang bermaksud siling.
Ciapan itu diperbetulkan beberapa warganet kononnya sebagai salah dengan mereka pula mengeja sebagai selling atau jualan, sedangkan Khairy memang betul kerana ia adalah istilah ekonomi yang merujuk kepada harga barang paling tinggi boleh dikenakan oleh penjual kepada pembeli.
Itulah antara contoh sikap warganet kita yang suka tembak dahulu tanpa menyiasat kesahihannya.
Adakah hantaran dan ciapan warganet yang ilmu sejengkal jari ini harus dilayan dan perlu disebarkan?
Umpama tulisan novelis Indonesia, Era Ari Astanto yang menyentuh tentang soal tasawuf: “Aku baru tahu ternyata kalian belum pantas digurui oleh para murid. Ilmu kalian baru sejengkal jari.”
Di sini saya ingin menyentuh satu isu lain yang sebenarnya perkara lama yang telah dibangkitkan sejak Ogos lalu, tetapi terus ditimbulkan seolah-olah perkara itu sangat penting berbanding nasib rakyat yang terkesan akibat Covid-19.
Ini berikutan dakwaan wujud persamaan antara Deklarasi Keluarga Malaysia (DKM) dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada 2019 dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulung pada 22 Ogos lalu, sehari selepas dilantik ke jawatan berkenaan. Konsep ini telah dilancarkan secara rasmi pada 23 Oktober lalu.
Sama seperti kita membuat carian dalam Facebook dan mendapati sangat ramai individu yang mempunyai nama sama dengan kita. Adakah nama sama, bererti individu berkenaan serupa?
Ada pula warganet yang menyanggah: “Tiru yang baik-baik, tak salahkan? Lagipun banyak perkara baik yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ditiru kerajaan Pakatan Harapan (PH).”
Antara yang paling menonjol apabila kerajaan PH meneruskan bantuan kepada rakyat berpendapatan rendah iaitu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan BN, cuma nama sahaja yang ditukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH).
Berdasarkan penelitian saya, terdapat cukup banyak perbezaan konsep Keluarga Malaysia dengan DKM.
Pertama, cetusan idea konsep Keluarga Malaysia dicadangkan pada saat Malaysia berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 dan krisis berkembar ekonomi dan kesihatan.

SEMANTIK
Ia merupakan aspirasi jangka masa panjang yang kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi berlandaskan Keberhasilan Kebahagiaan (KHO) yang melengkapi petunjuk prestasi utama (KPI) dalam memantau pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia.
Sebaliknya, DKM adalah kesinambungan Dasar Keluarga Negara (DKN) yang dilancarkan oleh kerajaan BN pada 2010.
Deklarasi ini dicadangkan untuk meletakkan unit keluarga rumah tangga sebagai keutamaan dalam segala perancangan dan tindakan.
Ini berbeza dengan konsep Keluarga Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri sebagai dasar perpaduan negara untuk menghadapi cabaran krisis berkembar.
DKM pula memberi fokus terhadap keluarga sebagai projek perkembangan rumah tangga.
Kedua, daripada perbezaan semantik, konsep Keluarga Malaysia adalah simbolik di mana ia merupakan sebuah konsep untuk menyatupadukan Malaysia.
Kerajaan menjadikan konsep Keluarga Malaysia sebagai agenda negara dalam pelbagai program. Pelaksanaan dan terjemahannya memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran secara holistik.
DKM yang dicadangkan di bawah DKN memberi fokus kepada keluarga sebagai unit rumah tangga berbanding keluarga sebagai sebuah institusi negara yang dibawa konsep Keluarga Malaysia.
Deklarasi terbabit menggariskan enam prinsip teras. Antaranya memartabatkan institusi keluarga sebagai asas pembentukan negara sejahtera, memperkukuh peranan keluarga dalam pembentukan nilai murni sebagai asas perpaduan masyarakat dan menyokong usaha memanfaatkan penggunaan teknologi secara bijaksana bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan keluarga.
Ketiga, dari segi tujuan, objektif dan asas, sejak diilhamkan dalam ucapan sulung Perdana Menteri pada 22 Ogos, kerajaan tidak menunggu lama bagi memastikan pelbagai program dapat dilaksanakan melalui konsep Keluarga Malaysia yang bersifat actionable (boleh diambil tindakan) dan memberi limpahan manfaat kepada rakyat.
Antaranya, Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan Covid-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia.
Berbeza sekali dengan DKM ini yang merupakan cadangan untuk menjadi sebahagian daripada agenda nasional iaitu DKN, namun dari segi implementasi, ia tidak dijalankan.
Keempat, dari segi implementasi dan keterangkuman. Konsep Keluarga Malaysia mempunyai visi dan jangka masa untuk memulihkan negara serta mencapai status Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi.
Kerajaan telah memastikan pelaksanaan dilakukan mengikut tiga bidang tumpuan utama iaitu memulih semula dan merapatkan jurang ekonomi, menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia serta mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan.
DKM pula saya dapati tiada visi dan misi yang jelas.











